Lapor Mail Online, insiden ter­sebut adalah yang pertama kali serta paling terburuk dalam sejarah negara ini sejak Jun 1994.

Suspek utama yang merupakan rakyat Australia dan dikenali sebagai Brenton Tarrant, mele­paskan lebih 100 tembakan di Masjid Al Noor pada pukul 1.30 pe­tang waktu tempatan, ketika umat Islam sedang bersiap untuk mengerjakan solat Jumaat.

Pada masa yang sama, seorang lagi penyerang melepaskan tembakan di Masjid Linwood Avenue yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Masjid Al Noor.

Seramai 41 orang dilaporkan maut di Masjid Al Noor manakala tujuh di Masjid Linwood Avenue manakala seorang lagi meninggal dunia seketika menerima rawatan di hospital.

Kira-kira 48 yang cedera dikejarkan ke Hospital Christchurch, 20 daripadanya kritikal.

Rakaman video yang tular menunjukkan Tarrant melepaskan tembakan ketika orang ramai cuba melarikan diri dan serangan itu disiarkan dalam Facebook, seperti perma­i­nan PUBG, sejenis permainan tembak-menem­bak.

Sebelum kejadian, Tarrant sempat memuat naik manifestonya sebanyak 74 muka surat di akaun Twitter miliknya.

Insiden serupa turut berlaku di luar Hospital Christchurch namun tiada kecederaan atau kematian dilaporkan di kawasan tersebut.

Pesuruhjaya Polis New Zealand, Mike Bush berkata, empat suspek ditahan, tiga lelaki dan seorang wanita, dengan suspek utama akan dihadapkan ke mahkamah esok.

“Ini sememangnya tragik. Ter­lalu ramai orang yang terlibat. Kami tidak tahu identiti mereka yang terkorban kerana kawasan itu dikepung,” katanya.

Seorang daripadanya ditahan ketika sedang memakai jaket yang dipasang dengan bahan le­tupan manakala seorang lagi diberkas di luar Sekolah Tinggi Papanui.

Menurut Bush, pihaknya turut menemukan dua kereta berisi bahan letupan kepunyaan suspek berdekatan kawasan masjid.

“Polis sedang melakukan se­gala yang termampu bagi mengawal situasi tetapi risiko masih berada pada tahap paling tinggi. Polis menyarankan penduduk tempatan di seluruh Christ­church agar tidak keluar rumah sehingga diberitahu kelak. Sekolah juga akan ditutup,” kata­nya.

Dalam pada itu, pemain dan kakitangan sokongan pasukan kriket Bangladesh yang dalam perjalanan ke Masjid Al Noor, dilaporkan selamat.

Salah seorang anggota pasukan berkenaan, Tamim Iqbal berkata, ini merupakan ‘pe­nga­laman menakutkan’ dan memin­ta penyokong mendoakan kese­lamatan mereka.

Selain itu, kapten pasukan, Mushfiqur Rahim berkata, Allah telah menyelamatkan seluruh pasukan terbabit.