Indeks kos sara hidup cerminan kos sebenar
KUALA LUMPUR
- Hasrat kerajaan mewujudkan indeks untuk mengukur kos sara hidup
adalah langkah mendapatkan cerminan sebenar mengenai harga barangan dan
kos sara hidup rakyat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal
Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, usaha untuk
mewujudkan indeks itu telah dimulakan termasuk mendapatkan kerjasama
daripada beberapa agensi.
“Semalam dalam mesyuarat bersama Kementerian
Kewangan dan kementerian saya, perkara itu ada dibincangkan kerana
ukuran yang kita guna pakai sekarang adalah ukuran Indeks Harga Pengguna
(IHP).
“Kita menganggap ukuran itu seperti tidak
memberikan gambaran sebenar kepada apa yang berlaku,” katanya ketika
ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan
Cemerlang (APC)
Dalam majlis tersebut 108 warga kerja di bawah
kementerian itu menerima APC bagi tahun 2018 termasuk kakitangan
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kakitangan Perbadanan Harta
Interlek Malaysia (MyIPO) serta kakitangan Suruhanjaya Persaingan
Malaysia (MyCC).
Yang hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Muez Abd. Aziz.
Jelas Saifuddin Nasution, walaupun IHP yang diguna pakai ketika ini rendah namun tidak dirasai dalam kehidupan sebenar rakyat.
“Kita berpendapat ada keperluan untuk mengadakan
satu indeks yang tujuannya benar-benar boleh memberikan cerminan tentang
ukuran harga barang atau kos hidup.
“Usaha itu sudah bermula, sudah tentu akan
membabitkan Jabatan Perangkaan termasuk juga Khazanah Research
Institute, MyCC serta beberapa agensi lain,” katanya.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini
berkata, kerajaan merancang mewujudkan indeks untuk mengukur kos sara
hidup bagi membantu majikan menentukan kenaikan gaji yang bersesuaian.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.