https://critoxium.com/shop/

Terkini

Harap Husam bawa dimensi baru dalam Kada


Oleh Mohd Sayuti Omar

DI Ibu Pejabat Lembaga Pertanian Kemubu (Kada) di Lundang Kota Bharu pagi semalam berlangsung peristiwa yang mungkin tidak memberi apa-apa erti kepada mereka yang melihat peristiwa itu dengan mata tikus atau ikan kering apa lagi dengan perasaan skeptikal.

Namun ia sesuatu amat bermakna dan bersejarah bagi mereka yang memahami keadaannya serta mereka yang kesekian lama menanti untuk melihat ianya menjadi kenyataan.


Peristiwa itu ialah penyerahan watikah pelantikan Husam Musa sebagai pengerusi Kada yang baru. Majlis itu disempurnakan sendiri oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub sempena lawatan kerja sehari suntuknya ke Kelantan.

Ikut sama menyaksikan penyerahan watikah itu yang berlangsung di auditorium Kada ialah KSU Mohd Sallehhuddin Hassan, Timbalan Pengerusi Kada Nik Roslan Idris serta para Pengarah Kada  dan beberapa yang lain.

Peristiwa semalam menjadi sesuatu yang penting dan suatu klimeks kerana ditunggu sejak beberapa bulan lalu. Peristiwa semalam boleh merelaikan air mata kepada mereka mempunyai concern kepada Kelantan dan mengenal kebolehan dan daya kerja dan berfikir Husam yang dianggap belum dimanfaatkan kebolehannya oleh kerajaan PH walaupun sudah 10 bulan memerintah.


Husam turun ke Aur Duri tinjau pam rosak.
Iya, walaupun pelantikan itu hanya dengan mengumum dan menyerahkan watikah berupa sekeping kertas, namun ia tidak semudah disangkakan prosesnya. Lantaran itu peristiwa semalam sangat memberi signifikan.

Ini semua kerana berpekan-pekan dan berbulan-bulan orang khasnya rakyat Kelantan menanti pengumuman penting itu sehingga ia menimbulkan berbagai spekulasi yang kurang menyenangkan.

Mereka yang tidak senang dengan Husam khususnya membuat berbagai cerita yang memedihkan telinga untuk mendengarnya. Beberapa nama lain yang juga disebut-sebut sebelum ini akan dilantik menimbulkan lagi situasi berbaur-baur.

Lantaran masanya tersengang begitu lama menjadikan individu yang disebut-sebut untuk dilantik dikira sudah ralat dengan hal itu. Apa lagi di kalangan warga Kada ikut sama ternanti-nanti kehadiran pengerusi baru yang dikira bakal merubah dan menambah baik kemajuan pertanian dalam lembaga berkenaan seakan tertanya-tanya. 10 bulan Kada dianggap seperti anak ayam tidak beribu apabila kelengahan melantik pengerusi.

Salahuddin selaku menteri bertanggungjawab berkaitan pelantikan itu, memahami keadaan dan kelambatan itu semua, tetapi ia bukan senang untuk dihuraikan. Ia bukan sesuatu yang disengajakan kerana pelantikan pengerusi Kada memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Seksyen 5 (2) Akta KADA 1972 (Akta 69). Sekiranya pelantikannya seperti pelantikan pengerusi agensi lain di bawah MOA, mungkin pengerusi Kada diumumkan awal-awal lagi.

Salahuddin penuh perhatian melihat ..
Semasa berkebetulan makan pagi bersama Salahuddin pagi semalam, beliau menyebut kepada saya kelewatan itu ada hikmahnya tersendiri. "Tetapi yang penting, Ti, rakyat Kelantan akhirnya mendapat seorang pengerusi yang terbaik yang mereka inginkan," kata Salahuddin.

Beliau tidak bercerita panjang akan kesulitan dan masalah untuk melantik pengerusi Kada, apa lagi orang bernama Husam. Namun beliau sebut dengan berkat kesabaran dan doa semua orang Kelantan dan Kada mendapat seorang pengerusi terbaik. Syukur.

Memang ternyata benar, semua orang excited menanti Husam diumumkan sebagai pengerusi Kada. Ini tergambar apabila kepulangan Husam dari Kuala Lumpur yang hampir serentak dengan ketibaan Salahuddin di lapangan terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa disambut para penyokongnya. Mereka juga mengiringi sampai ke Ibu Pejabat Kada untuk sama-sama menyaksikan majlis rengkas tetapi bersejarah itu.

Secara peribadi pula saya mengucapkan terima kasih di atas keyakinan dan kepercayaan Salahuddin kepada Husam dan menganggapnya itulah hadiah termahal Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani kepada rakyat Kelantan.

"Pelantikan Husam ni, Din adalah hadiah termahal enta untuk rakyat Kelantan, ia juga sebagai cenderamata enta yang pernah menjadi ahli parlimen Kelantan (Kubang Kerian) selama dua penggal kepada rakyat Kelantan. Rakyat Kelantan akan mengenang dan mengingati enta selama-lamanya. Ana bagi pihak orang Kelantan ucap terima kasih banyak kepada enta," kata saya.

Semasa berucapkan selepas menyerahkan watikah pelantikan, Salahuddin turut menyebut hal sama. Katanya, pemilihan Husam adalah terbaik dengan pengalaman yang ada kepadanya, beliau dapat memajukan Kada seperti diharapkan.

"Husam anak Kelantan jati dengan pengalaman yang ada pernah menjadi Exco (di zaman Tokguru Nik Aziz), beliau mampu jadi katalis kepada Kada disamping komitmen luar daripada para pegawai," tegas Salahuddin disambut tepukan bergemuruh.

Dengan mengambil kira pemerhatian Salahuddin itu, seharusnya warga Kada khasnya dan rakyat Kelantan amnya berbangga dengan pelantikan bekas Exco Kelantan itu. Mereka perlu mengucapkan terima kasih kepada Sallahuddin. Sebenarnya bukan sahaja rakyat, tetapi kerajaan Kelantan dibawah pimpinan Ahmad Yakob juga seharusnya menerima dengan baik. Pelantikan Husam itu secara tidak langsung akan turut memberi sumbangan kepada pembangunan kerajaan Kelantan seleruhnya.

Husam pula ketika berucap menyatakan kesyukuran dan terima kasih, menyembah takzim kepada Yang diPertuan Agong yang memberi perkenan atas pelantikan itu dan kepada menteri yang memilihnya.

Pelantikan Husam sebagai pengerusi Kada, menjadikan beliau pengerusi Kada yang kelima dan merupakan pertama kali pengerusi bukan daripada parti Umno selepas, Mohamad Yaacob, Hussein Ahmad, Annuar Musa dan Md Alwi Che Ahmad. Sejajar dengan itu juga diharap Husam dapat membawa dimensi baharu dalam pengurusan Kada mungkin akan menjemput sama MB Kelantan atau wakil kerajaan negeri menyertai lembaga Kada itu.

Mungkin tidak ramai di Kelantan atau diluar Kelantan menyedari, Kada (selain Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan - Kesedar) merupakan institusi atau lembaga menjadi tulang belakang kepada kemajuan pembangunan sosial ekonomi rakyat dan negeri Kelantan dan penyumbang pendapatan untuk Kelantan yang utama.

Kada meliputi empat jajahan atau daerah, Kota Bharu (U), Kota Bharu (S), Bachok, Tumpat, Pasir Mas dan Pasir Puteh. Sementara Kesedar pula meliputi jajahan, Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah. 

Justeru kedudukan dan fungsi Kada sangat penting dalam sosio pembangunan Kelantan. Kada menumpukan kepada penanam padi dan merupakan jelapang padi terbesar kedua di Malaysia dengan jumlah petani seramai 54,405 keluarga dengan jumlah penduduk seluruhnya seramai 458,243 orang. Sejajar itu ia memerlukan seorang yang komited dan berminat untuk bermain dengan argo pertanian khususnya padi.

Pilihan tepat.
 
Pemilihan Husam adalah ketepatan dengan apa ditunjukkan beliau selama ini orang mengenalinya. Beliau seorang minat dengan bidang pertanian dan mempunyai pelagai maklumat mengenai bidang pertanian, ternakan dan pelandangan. Pelantikan Husam itu bagaikan sirah pulang ke gagang.

Kesungguhan dan komitmen Husam terserlah, apabila belum sampai tiga jam dilantik beliau sudah turun ke bawah mengiringi menteri melawat ke sebuah pam air terbiar di kampung Aur Duri, Kota Bharu. Pam dibina dizaman British 1948 itu terbiar sejak berdekad lalu. Kewujudan pam itu suatu masa dulu sangat penting dalam menyediakan perairan kepada para petani dan sawah di sekitar Dun Salor dan Kota Bharu.

Pam itu rosak tanpa dibaik pulihkan walaupun pengerusi Kada sudah silih berganti. Lawatan itu boleh ditafsirkan sebagai simbolik menggambarkan kesungguhan Husam dan keprihatinannya kepada infrastruktur untuk petani.

Bukan itu sahaja, saya juga mengesan, dalam satu catatan dalam Facebooks nya sempena pelantikannya menjadi pengerusi Kada, beliau berceritakan mengenai sejarah beras dan padi dunia, suatu topik yang jarang diangkat ke dalam media massa atau menjadi minat perbualan. Suatu cerita yang diangkatkan sungguh menarik dan cerita-cerita "misteri" begini hanya dapat dikesan oleh insan ilmuan sepertinya.

Beliau mendedahkan bagaimana padi atau nasi mempunyai sejarah tersendiri yang cukup serasi dan menjiwai dengan kehidupan manusia. Dan negara-negara yang menjadikan nasi sebagai makanan utama dan penanaman padi mempunyai sejarah unik tersendiri. Antara negara yang memiliki sejarah tradisi penanaman padi dan penghasilan beras seperti Madagaskar, Brazil, Jepun, Vietnam, Thailand dan lain-lain.

Satu perkara yang menarik yang menunjukkan ketelitian serta minat Husam beliau berjaya mengesankan kenapa nasi orang Madagasy bernama Romazava sangat enak dan berbau wangi. Terdapat sejenis herba (rahsia) yang digunakan dalam penanakan nasi ini, dimana ia dicampur dengan ramuan sejenis daun bernama, Anamalao (Acmella Oleracea) yang juga disebut dengan Paracress.

Hasil ramuan herba atau daun inilah nasi Romazava enak dimakan dan terkenal dalam sejarah dunia kenasikan.

Husam tidak menulis dan mencari segala kerahsian ini sekadar untuk makluman sahaja, melain ia cuba membawa sesuatu secara nyata. Menurutnya kerana ada persamaan cuaca dan iklim di Madagaskar dan Brazil dengan negara kita menyebabkan beliau terfikir daun itu boleh tumbuh di negara ini dan dan dimanfaatkan untuk menghasilkan nasi Romazava di sini.

Dalam tulisan itu beliau ada menyebut, kemungkinan akan berjumpa dengan Duta Madagaskar untuk bertanyakan benih daun berkenaan dan dibawah ke negara ini. Nah, begitulah cara Husam berfikir dan bertindak memanfaatkan apa jua ilmu dan penemuan yang dijumpainya.

Mungkin sedikit masa lagi daun atau pokok Anamalao akan menjadi sebahagian pokok hiasan dalam kawasan Kada?

Sementara dalam satu kisah dan sejarah penanam padi lain, beliau mengisahkan akan kejayaan hebat seorang petani Jepun, Katsuyuki Furukawa yang kreatif mencipta alat dan kaedah penanam padi sendiri berjaya dan tidak dapat ditandingi oleh mana-mana petani di negara Matahari Terbit itu. Petani ini adalah petani contoh di Jepun. Beliau telah mengalahkan 4,000 petani lain selama lima tahun berturut-turut dalam pertandingan mencari penanam padi terbaik dan berkualiti tinggi.

Apa diceritakan Husam itu adalah motivasi awal beliau kepada para pegawai Kada dan warga Kada seluruhnya. Dapat diselami bahawa kisah-kisah dan sejarah padi dan beras dunia itulah yang bakal atau akan diambil sebagai inspirasi untuk menggerakan Kada sepanjang tempoh beliau berada di lembaga itu.

Mengenai aspirasi dan harapan ini, ia nampak ideal tetapi ia tidak akan mudah mencapai kejayaan kalau ia tidak diusahakan secara bersepadu dan ikhlas untuk mencapainya. Diharap semua pihak menerima dan memberi peluang kepada Husam menggerakkan Kada dengan bukan sahaja sokongan mulut tetapi harus bertindak sama.

Tahniah dan selama berhikmat kepada Husam. Anda kini sudah jatuh dalam jelapang padi, harapan yang disangkutkan kepada anda bukan sahaja kesuksesan sebagai pemimpin politik tetapi lebih murni dari itu akan muncul sebagai bapak pertanian di Kelantan dengan menggunakan Kada sebagai wahana

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.