https://critoxium.com/shop/

Terkini

Peranan Senator dan Dewan Negara perlu diperluas

Oleh Fakhrurrazi Rashid

MAJORITI rakyat masih kurang jelas akan tanggungjawab Senator, berbanding wakil rakyat. Antara faktor perkara ini berlaku ialah senator tidak dipilih melalui pilihan raya, kuasa yang terhad dan hubungan yang renggang dengan orang awam.

Di Malaysia, majoriti rakyat melihat senator hanya berkhidmat kepada parti pemerintah. Pandangan ini memberi kesan kepada legitimasi Dewan Negara yang didominasi golongan berkepentingan politik beberapa dekad yang lalu.

Maka, amat penting sekali memperluaskan peranan senator dan Dewan Negara untuk menangkis perspektif ini.

Persepsi negatif terhadap senator ini turut berlaku di negara lain. Donna Dasko, seorang senator bebas di Kanada, telah melakukan kajian untuk memahami pandangan rakyat ke atas Dewan Senat.

Hasilnya, hampir 46 peratus responden memandang negatif peranan senator Kanada dan beranggapan mereka ini tidak efektif dan golongan berusia yang membazirkan wang cukai rakyat.

Namun, kajian ini turut menunjukkan pesepsi positif rakyat yang masih menyokong usaha perubahan dan reformasi senat.

Hampir 77 peratus responden menyokong pembaharuan melantik Senator melalui sebuah lembaga penasihat bebas atau ‘Senator Independent Advisory Board for Senate Appointment’.

Badan ini menyemak setiap calon senator sebelum dibawa kepada perdana menteri untuk menasihati Governor atas lantikan mereka.
Keterbukaan ini memberi kesan kepada jumlah perwakilan Senat Kanada, 58 orang Senator bebas, 31 Senator daripada parti Konservatif (pembangkang) dan 9 Senator daripada parti Liberal (kerajaan). Lebih ramai Senator yang bebas berbanding wakil parti politik.

Penubuhan badan ini antara rancangan perubahan yang dibawa oleh Perdana Menteri Kanada Justin Turdeau pada tahun 2014 selepas proses lantikan senator dikatakan tidak progresif, berat sebelah dan didominasi parti pemerintah.

Badan ini akan menyemak permohonan dan cadangan untuk meluluskannya sebelum diumumkan oleh Perdana Menteri. Perkara ini berbeza dengan amalan di Malaysia apabila 40 orang Senator dilantik oleh Yang di-Pertuan Agung berdasarkan Perkara 45(b) atas nasihat perdana menteri, tanpa sebuah badan yang menyemak kelayakan setiap calon.

Tanggungjawab senator Kanada lebih luas berbanding Malaysia. Mereka mempunyai jawatankuasa pilihan khas dan mempunyai tanggungjawab untuk berjumpa dengan masyarakat di kawasan mereka, menjalankan aktiviti seperti sesi dialog dan menyiasat isu-isu setempat.

Di Australia, Senat mempunyai tanggungjawab seperti Senat di Amerika Syarikat. Senator Australia dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya dengan menggunakan sistem proportionate representation mengikut negeri atau provinsi. Pilihan raya telah memberi mandat yang kuat kepada Senator untuk menjalankan tugas mereka.

Senator di Australia mempunyai kuasa yang lebih luas berbanding Senator di Malaysia dan Kanada. Mereka boleh menolak undang-undang daripada kerajaan (kecuali undang-undang percukaian dan kewangan awam).

Jika diambil kedua-dua contoh Senat di Australia dan Kanada, maka Senator dan Dewan Negara mempunyai banyak ruang yang boleh ditambah baik.

Pertama, peranan senator perlu dikaji semula untuk memastikan mereka mempunyai tugas yang sesuai dengan kehendak semasa.

Dewan Negara boleh mengambil peranan dalam membahas dan menyiasat laporan daripada agensi dan suruhanjaya kerajaan seperti laporan Suhakam dan lain-lain yang tidak dibahaskan di Dewan Rakyat.

Mereka perlu diberikan hak untuk membahaskan sesuatu keputusan kerajaan menandatangani perjanjian antarabangsa seperti yang diamalkan Senat Australia dan Kanada.

Dewan Negara juga perlu menyemak dan meminda Akta 347 (Akta Majlis Parlimen Keistimewaan dan Kuasa) 1952) untuk memperluaskan peranan senator.

Kedua, senator perlu mendekati rakyat, sebagai satu usaha memaklumkan kepada orang awam tentang tugas senator dan peranan Dewan Negara.

Senat Kanada telah menganjurkan SENgage (Senator Engaging Youth), program yang diusahakan oleh senator untuk bertemu dengan golongan muda seluruh Kanada.

Cara ini memberi peluang kepada anak muda mengetahui tentang peranan senator dan bertukar pandangan dalam membincangkan dasar dan isu semasa.

Ketiga, pemilihan senator perlu dikaji semula bagi memastikan kepelbagaian dalam perwakilan. Perkara 45(4) membenarkan Parlimen menambah bilangan senator dari negeri dan mengurangkan ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Kajian ini perlu, khususnya menetapkan kuota 20 hingga 30 peratus yang dilantik daripada golongan pakar seperti yang dinayatakan dalam Perkara 45(2), iaitu golongan yang pakar dalam bidang tertentu dan ras minoriti.

Langkah ini seperti cadangan Lord Speaker Committee pada tahun 2017 untuk mengurangkan anggota House of Lords daripada 826 orang kepada 600 orang dan memperuntukan 20 peratus kerusi untuk anggota bebas yang dipilih melalaui sebuah suruhanjaya.

Langkah ini bagi memastikan pandangan yang berbeza dapat disuarakan berbanding perspektif parti politik.

Usaha reformasi Dewan Negara merupakan salah satu agenda utama dalam memperkuhkan sistem demokrasi berparlimen Malaysia.

Perubahan terhadap tugas senator secara langsung akan mengubah persepsi dan meningkatkan kepentingan Dewan Negara dalam urusan membuat keputusan tertinggi buat rakyat dan negara.


Fakhrurrazi Rashid ialah Koordinator Program Research For Social Advancement (REFSA).

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.