https://critoxium.com/shop/

Terkini

Gerakan bawa balik Ahmad Zahid bukan sesuatu yang baik bagi Umno

JOHOR BARU, 20 Mei — Gerakan untuk membawa balik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan mengambil semula tugas sebagai Presiden Umno bukan sesuatu yang baik untuk parti itu, yang baharu sahaja bangkit dan bergerak ke hadapan.

Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang berkata, perlu diingat bahawa antara sebab berlaku desakan untuk Ahmad Zahid bercuti adalah disebabkan tiadanya halatuju jelas semasa beliau menjadi presiden Umno sehingga berlaku kes lompat parti oleh sebahagian anggota parlimen dan ketua ketua bahagian.

Malah Umno dijangka terus lemah jika beliau (Ahmad Zahid) tidak berhenti atau bercuti pada ketika itu, kata Maulizan dalam satu kenyataan di sini hari ini.

“Umno dilihat stabil dan mula mendapat kembali keyakinan masyarakat khususnya orang Melayu di bawah kepimpinan Tok Mat Hassan (Datuk Seri Mohamad Hasan) yang dilihat lebih diyakini dan bersih di mata masyarakat,” tambah Maulizan.

Beliau turut mengakui belum semua penyokong Umno balik menyokong parti itu kerana masih ada golongan yang menganggap parti itu belum benar-benar berubah kerana masih mendokong pemimpin yang dituduh dengan pelbagai tuduhan salahguna kuasa dan rasuah.

Namun begitu, bukan juga mudah untuk mewujudkan persepsi bahawa Umno sebenarnya sudah berubah kerana sikap acah-acah bekas Timbalan Perdana Menteri itu, yang tidak memberi keuntungan kepada Umno.

Menurut beliau, Umno juga perlu mengambil hati golongan pertengahan, profesional dan atasan yang  mahukan pemimpin Umno yang mempunyai persepsi positif di mata mereka seperti latarbelakang yang meyakinkan, sejarah kepimpinan yang tidak terlalu dilihat mengamalkan kronism, tidak dilihat mengamalkan politik wang dan lain-lain.

“Kepada mereka ini, Umno sepatutnya harus terus diberi nafas baru dan Ahmad Zahid bukanlah orangnya.

“Lepaskanlah Umno ini kepada pemimpin yang ada dan tak perlulah lagi beracah-acah untuk kembali,” tambah Maulizan. — Bernama

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.