https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mengubah masyarakat Melayu bukan dengan kurang ajar

Oleh  Rahman Imuda 

 BEBERAPA hari kebelakangan ini teruk Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dibelasah oleh komentar daripada lawan dan kawan. Semua itu berpunca apabila Maszlee mengeluarkan kenyataan berkenaan kuota 90:10 matrikulasi.

Jika dia sekadar memberi komentar untuk mempertahan sistem sedia ada, barangkali serangan yang datang tidaklah seperti apa yang sedang ditanggungnya sekarang.

Masalahnya, seperti beberapa peristiwa lepas, lidahnya tersalah rentak silat dengan mengaitkan kuota ini dengan keperluan bahasa Mandarin ketika memohon pekerjaan. Ditambah dengan komen – ramai masyarakat bukan Melayu mempunyai kestabilan ekonomi untuk meneruskan pengajian walaupun dengan wujudnya sistem kuota ini.

Mujurlah universiti dengan penuh ikhlas berlumba-lumba menyokong pendirian Maszlee. Bukanlah saya ingin menambah minyak tanah pada api yang sedang cuba membakar karakter Maszlee, melainkan ingin memberi sedikit pandangan berkaitan isu kuota matrikulasi ini.

Mengubah Melayu

Apa jua hujah kita tentang perubahan di Malaysia, tanpa penyertaan sebilangan besar masyarakat Melayu, ia tidak akan berlaku. Seperti PRU14, pertukaran undi masyarakat Melayu menyaksikan kita menerima kerajaan baharu.

Masyarakat Melayu terkenal dengan sikap lemah lembut dan sopan, terutamanya ketika menyambut tetamu. Namun, masyarakat Melayu juga terkenal dengan sifat amuknya apabila dicabar atau diperlakukan dengan kurang ajar.

Apabila saya bertanya dengan rakan-rakan Melayu yang gusar, jawapan mereka lebih kurang sama. Mereka merasakan kerajaan dan bangsa lain semakin kurang ajar – apabila melakukan beberapa aksi yang dilihat boleh menggugat kedudukan istimewa mereka.

Kebanyakan insiden ini (misalnya isu ICERD dan Statut Rom) walaupun bukanlah menghina kedudukan istimewa Melayu, ia gagal dijelaskan dengan tuntas oleh kerajaan.

Setahun ini, ia kesalahan yang berulang-ulang; pasukan komunikasi kerajaan sering gagal memberi mesej yang betul kepada rakyat.

Berbalik kepada persoalan masyarakat Melayu, mereka tidak boleh diubah dengan ditekan atau berlaku kurang ajar. Masyarakat Melayu selalu dikatakan enggan berubah, dimarahi, dikatakan malas, dan dikata hanya mahu suapan kerajaan.

Semua ini adalah sifat ‘kurang ajar’ yang akan membangkitkan semangat Hang Tuah mereka, mujur keris belum dihunus.

Berfikir

Persoalan kuota pendidikan untuk masyarakat Melayu dan bukan Melayu sudah menjadi masalah yang semakin panas. Jika tidak dibendung, ia umpama barah. Kerajaan sebelum ini selalu lari daripada membincangkan isu ini. Lari dari membincangkan masalah tidak akan menyelesaikan masalah.

Umpama kesopanan masyarakat Melayu pada tamunya, seperti itulah kebanyakan masyarakat Melayu yang ‘gusar’ melihat bangsa lain. Mereka melihat bangsa lain sebagai tetamu, mereka terikat dengan kontrak sosial lebih setengah dekad lepas. Tetamu selalunya tidak minta hal-hal yang berlebihan.

Namun, jangan dilupakan sifat baiknya Melayu. Jika diberi kefahaman, saya pasti mereka akan memeluk perubahan. Misalnya, jika diberi pemahaman tentang isu pendidikan bukanlah semata-mata isu bangsa, tapi persoalan kelas. Stigma masyarakat bukan Melayu adalah kumpulan yang kaya raya dan mampu mendapatkan pendidikan swasta perlu diruntuhkan terlebih dahulu.

Masyarakat majoriti ini perlu difahamkan – ramai sahaja bangsa lain yang papa kedana dan bergadai harta benda untuk menghantar anak mereka ke menara gading. Kalau diutamakan mereka yang datang daripada keluarga yang susah, ia juga termasuk masyarakat Melayu dan Bumiputera yang sering dikatakan ‘malas’ kerana tidak punya harta.

Naratif ini perlu ditanam pada masyarakat Tuah: pendidikan adalah instrumen membaiki taraf hidup, tanpa mengira kaum. Sajikan mereka dengan cerita yang menyedihkan pelajar miskin cemerlang kaum lain yang gagal mendapatkan tempat. Nescaya pasti ada dalam kalangan mereka yang mengerti.

Kumpulan yang menuntut pendidikan yang adil untuk semua kaum tidak boleh gelojoh kalau tidak mahu tersadung kaki. Perubahan memerlukan masa, datang dengan kaedah ‘kurang ajar’ hanya akan menyulitkan keadaan.

Masyarakat Melayu pula perlu melihat isu ini bukanlah semata-mata soal bangsa, tapi lebih kepada persoalan kelas masyarakat. Sesiapa sahaja tanpa mengira kaum, jika mereka dalam keadaan yang susah, mereka harus dibantu. –

* Rahman Imuda adalah bekas aktivis mahasiswa.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.