https://critoxium.com/shop/

Terkini

Tugas berat Latheefa

Oleh

“SATU tugas berat untuknya. Mampukah dia melaksanakannya?” Begitulah kata-kata seorang sahabat, Datuk Bakar (pesara kerajaan berusia 70 tahun), pada Jumaat lalu (hari raya ketiga). Beliau bertandang ke rumah sempena Hari Raya Aidilfitri dan saya tanya pendapatnya mengenai pelantikan Latheefa Koya (peguam wanita berusia 46 tahun) mengisi jawatan tertinggi dalam agensi antirasuah negara.

Sahabat saya menjawab, barangkali ramai tidak sedar bahawa Latheefa (lahir di Kerala, India pada 4 Februari 1973) bukan orang pertama dari luar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilantik memegang jawatan ketua badan itu. Semenjak ditubuhkan pada 1967 dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR), kemudian dijenamakan semula sebagai SPRM (di bawah Akta SPRM 2009), 10 orang ketuanya (termasuk Latheefa) dilantik dari luar, manakala ketua yang dilantik dalam kalangan pegawai SPRM hanyalah tiga orang, iaitu Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull. Latheefa merupakan orang ke-13 memegang jawatan ketua badan itu. Oleh itu, sepatutnya tidak timbul isu orang luar tidak boleh dilantik menjadi ketua dalam badan antirasuah tersebut.
PROSEDUR

Bila saya sebutkan tentang isu bagaimana Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir melantik Latheefa, sahabat saya menjawab itu hanyalah isu prosedur, bukan perkara pokok. Yang penting adalah Dr. Mahathir ada budi bicara sepenuhnya melantik sesiapa sahaja yang beliau fikirkan layak memegang jawatan tersebut dan pelantikan itu telah pun diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong. Apabila saya sebutkan kepada sahabat saya itu bahawa semua ketua SPRM sebelum ini adalah lelaki, beliau menjawab tidak timbul isu Latheefa tidak layak semata-semata kerana dia seorang wanita muda. 

Jantina dan usia bukan halangan, katanya lagi. “Sekarang adalah era kepimpinan wanita, dan Malaysia sudah lama mengiktiraf kemampuan wanita sebagai pemimpin dalam kerajaan dan sektor swasta.”

Mengikut Datuk Bakar, apa yang lebih signifikan adalah pelantikan wanita muda itu mendapat sokongan padu daripada warga kerja SPRM kerana Datuk Seri Azam Baki (Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi) sendiri telah mengesahkan perkara ini.

Benar juga apa yang disuarakan oleh sahabat saya itu. Dunia sudah sekian lama mengiktiraf kemampuan wanita sebagai pemimpin dalam kerajaan dan luar kerajaan, misalnya Benazir Bhutto (Pakistan), Sonia Gandhi (India), Oprah Winfrey (Amerika Syarikat), Margaret Thatcher (United Kingdom, UK), Angela Merkel (Jerman), Theresa May (UK), Jacinda Ardern (New Zealand) dan Christine Lagarde (IMF-Tabung Kewangan Antarabangsa).

Dalam bidang perniagaan di peringkat global, antara nama-nama wanita yang dihormati sebagai pemimpin adalah Mary Barra [Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) General Motors], Gillian Tans (CEO Booking.com), Isabelle Kocher (CEO Engie), Marillyn Hewson (CEO Lockheed Martin) dan Rosalind Brewer (Ketua Pegawai Operasi Starbucks). Semua syarikat yang disebutkan ini adalah entiti besar dalam senarai Fortune 500.

Bagi saya, isu yang lebih kritikal mengenai pelantikan Latheefa sebagai ketua SPRM adalah mengenai tempohnya. Apakah tempoh kontrak selama dua tahun itu sudah cukup untuknya melakukan sesuatu yang berimpak besar mentransformasi dan memperkasakan badan antirasuah negara itu?

Kita biasa mendengar nasihat pakar pengurusan bahawa seorang ketua yang baharu dilantik memimpin sebuah organisasi itu perlu diberi masa secukupnya untuk melakukan tiga perkara penting, selepas dia menjalankan pemeriksaan awal.

3 PERKARA PENTING 

1. Menentukan hala tuju (merangka satu wawasan baharu dan matlamat yang dikehendaki); 2. Merancang (merangka strategi dan pelan tindakan yang akan dilaksanakan); 3. Melaksanakan (melantik dan meletakkan tenaga kerja, membina sistem pemantauan untuk mengukur tahap kemajuan dari semasa ke semasa).

Pada hari pertama Latheefa memulakan tugasnya minggu lalu, beliau ada menyatakan: “Siapa pun berhak menyoal, mengkritik atau mengeluarkan pendapat masing-masing (mengenai pelantikannya), ini tidak mengapa. Tugas saya jelas iaitu untuk membanteras rasuah di mana-mana saja.”

Beliau berharap dengan sokongan rakyat dan warga kerja SPRM akan dapat menjadikan masyarakat yang alah dan bebas rasuah. Dalam jangka panjang, beliau mahu mewujudkan satu budaya yang tidak bertoleransi kepada rasuah.

“Adalah hak asasi setiap rakyat Malaysia untuk dibenarkan hidup, bekerja dan makmur dalam satu persekitaran yang bebas rasuah. Dengan pertolongan Allah SWT, saya berharap untuk berjaya dalam tugas saya ini,” katanya lagi.

Media tempatan pada Januari 2019 lalu melaporkan, satu soal selidik yang dijalankan oleh SPRM sedikit masa lalu menunjukkan 82 peratus responden berpendapat isu rasuah dan salah guna kuasa di Malaysia berada pada tahap membimbangkan.

Buktinya bagi 2018, Malaysia berada di tangga 61 daripada 180 buah negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI). Ini bukan sesuatu yang boleh kita banggakan. Denmark dan New Zealand kekal sebagai negara paling bersih rasuah dengan catatan skor masing-masing iaitu 88 dan 87, manakala Somalia, Sudan Selatan dan Syria menduduki tangga terbawah.

Seiring dengan janjinya untuk menghapuskan rasuah di negara ini, pada 29 Januari lalu, kerajaan melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023. Matlamat utama pelan itu adalah menjadikan Malaysia bebas rasuah melalui tiga prinsip utama berikut:
  • Akauntabiliti dan kredibiliti kehakiman, pendakwaan dan agensi penguatkuasaan undang-undang;
  • Kecekapan dan responsif dalam penyampaian perkhidmatan; dan
  • Integriti dalam perniagaan.
NACP akan menumpukan perhatiannya kepada enam perkara - iaitu tadbir urus politik, pentadbiran sektor awam, perolehan awam, perundangan dan kehakiman, penguatkuasaan undang-undang dan tadbir urus korporat. Mengikut Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, pelan itu adalah satu dokumen hidup dan ‘milik kita semua’. Pelaksanaan pelan ini kini menjadi tugas berat yang mesti dipikul oleh Latheefa.

Kepimpinan adalah sebenarnya satu amanah dan beban, bukan kuasa. Masa akan menunjukkan apakah ketua baharu SPRM ini akan mampu menunaikan tugas beratnya dengan baik.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.