Dakwaan Santiago tidak berasas! - Maszlee
KUALA LUMPUR- Kenyataan yang kononnya mendakwa Perdana Menteri, Tun Dr.
Mahathir Mohamad membuat keputusan secara unilateral disifatkan sebagai
satu bentuk pembohongan yang nyata.
Demikian tegas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik
sebagai membalas kenyataan Ahli Parlimen Klang, charles Santiago yang
semalam mendakwa Dr. Mahathir sering membuat keputusan secara
bersendirian dalam isu-isu penting negara.
Sambil
menyangkal dakwaan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) itu, Maszlee
menjelaskan, sepanjang menghadiri mesyuarat melibatkan Dr. Mahathir,
Pengerusi PH itu tegas dalam mencari kata putus dan dalam masa sama amat
menghargai suara setiap ahli mesyuarat yang hadir.
"Ingin
saya tegaskan bahawa Perdana Menteri merupakan pemimpin yang
mengutamakan kepentingan serta pandangan semua pihak dan setiap
keputusan yang dibuat di peringkat kerajaan atau PH merupakan keputusan
bersama.
"Saya percaya Ahli Mesyuarat Jemaah
Menteri yang lain boleh mengesahkan perkara ini. Isu seperti Statut Rom,
Lynas, ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala
Bentuk Diskriminasi Kaum ) dan pelbagai isu lain telah dibincang dan
diputuskan secara terbuka dan penuh muafakat," kata beliau dalam
kenyataan hari ini.
Semalam, Santiago yang juga
pemimpin DAP menyuarakan kebimbangan beliau terhadap kepemimpinan PH
apabila mendakwa Dr. Mahathir sering membuat keputusan secara
berseorangan dan seolah-olah mahu menunjukkan kekuasaannya walaupun
datang daripada parti kecil.
Dr. Mahathir ketika
ditemui pemberita dalam satu majlis di Langkawi semalam pula, secara
sinis membalas dakwaan itu dengan 'mengiktiraf' Santiago mempunyai
kedudukan yang setaraf dengan beliau.
"Pada masa
depan apabila saya nak buat keputusan saya akan tanya boleh atau tidak
Santiago bersetuju, kalau dia tak bersetuju. saya tak buatlah, mesti
dapatkan pandangan dia kerana dia setaraf dengan saya," sindir beliau. -
UTUSAN ONLINE




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.