Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Padang Serai, Khairul Anuar Ramli berkata, tindakan persatuan itu dikhuatiri akan menggugat perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dalam negara ini.

“Ada banyak persatuan Cina di Malaysia tetapi tidak rasis seperti Dong Zong. Maka, tindakan tegas dengan mengharamkan persatuan ini perlu dilakukan segera kerana tindakan mereka jelas dengan sengaja cuba mengganggu-gugat perpaduan.

“Sama ada mereka sedar atau hilang ingatan, bahawa mata wang China juga ditulis dalam beberapa bahasa termasuk Jawi. 

“Adakah dengan hanya menggunakan tulisan Jawi akan menjadikan bahasa Cina sudah tidak relevan lagi di negara ini,” soalnya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan tegas Tun Dr. Mahathir Mohamad yang secara terbuka menyifatkan Dong Zong sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan apa jua keputusan kerajaan termasuk isu tulisan Jawi.

Perdana Menteri juga berkata, Dong Zong sejak dahulu lagi sering membantah termasuk ketika kerajaan mewujudkan Sekolah Wawasan yang menggabungkan Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Ia susulan penentangan Dong Zong yang melakukan petisyen terhadap pembelajaran dalam Jawi dan tulisan khat yang kononnya merupakan satu bentuk Islamisasi bagi menyebarkan agama Islam. -UTUSAN ONLINE