Dong Zong rasis, tak pernah suka Melayu - Tun M
LANGKAWI-
Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan Persatuan Gabungan Jawatankuasa
Sekolah Cina (Dong Zong) sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju
dengan apa jua keputusan kerajaan.
Perdana Menteri berkata, Dong Zong sejak dahulu lagi
sering membantah termasuk ketika kerajaan mewujudkan Sekolah Wawasan
yang menggabungkan Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan
Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Beliau
dalam nada tegas berkata, persatuan itu tidak pernah menyukai orang
Melayu kerana bimbang anak-anak mereka bercampur dengan kaum itu.
“Dong
Zong ini rasis, kita buat Sekolah Wawasan letak SK, SJKC dan SJKT dalam
satu kampus mereka tak mahu, takut anak-anak dia konon bercampur dengan
orang Melayu.
“Dia tak suka orang Melayu, semua
dia bantah tak pernah bersetuju dengan apa-apa pun,” katanya kepada
pemberita selepas menghadiri Program Korban di Masjid Al Huda Padang
Matsirat, di sini hari ini.
Beliau berkata
demikian sebagai mengulas penentangan Dong Zong yang melakukan petisyen
terhadap pembelajaran dalam Jawi dan tulisan khat yang kononnya
merupakan satu bentuk Islamisasi untuk menyebarkan agama Islam.
Mengulas
lanjut, Dr. Mahathir menjelaskan, sebelum negara mencapai kemerdekaan,
kerajaan mendapati adalah sukar bagi penduduk bukan Melayu belajar dalam
bahasa Jawi sebelum memperkenalkan tulisan roman.
"Saya
masih ingat ketika negara hendak merdeka, kita dapati bukan Melayu
susah hendak belajar, jadi kerajaan ambil keputusan guna tulisan roman
untuk memudahkan mereka.
"Kerajaan sudah memberi
pertimbangan khusus kepada bukan Melayu, manakala Melayu masih terus
belajar Jawi kerana hendak membaca al-Quran," katanya.
Dalam
perkembangan berkaitan, Dr. Mahathir secara sinis ‘mengiktiraf’ Ahli
Parlimen Klang, Charles Santiago mempunyai kedudukan yang setaraf
dengannya susulan kenyataan pemimpin DAP itu terhadap beliau yang sering
membuat keputusan secara berseorangan.
“Pada
masa depan apabila saya nak buat keputusan saya akan tanya boleh atau
tidak Santiago bersetuju, kalau dia tak bersetuju saya tak buatlah,
mesti dapatkan pandangan dia kerana dia setaraf dengan saya,” ujarnya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.