https://critoxium.com/shop/

Terkini

Exco Agama Sewajarnya Sekat Berita Paslu Bukan Zakir Naik



1. Percanggahan pendirian dua exco Kerajaan Pakatan Harapan Kedah, berkenaan tokoh pendakwah terkenal, Dr. Zakir Naik

menggambarkan kecelaruan pakatan tersebut sama seperti yang berlaku di peringkat Kerajaan Pusat.
2. Di peringkat Pusat, DAP menyerang dan mendesak supaya dihantar balik namun satu pihak lain di dalam pakatan yang sama mempertahankan beliau. Ini cukup jelas menunjukkan kecelaruan dasar dan budaya pentadbiran negara yang tidak sihat.

3. PAS Kedah khususnya berpendapat Dr Zakir Naik adalah amanah Allah untuk umat Islam di Malaysia dan merupakan aset yang amat berharga untuk negara. Keupayaan dan kebolehannya sewajarnya dihargai serta dimanfaatkan, bukannya disekat atau dinafikan. Tokoh tersebut bukanlah punca tercetusnya masalah sebaliknya pemutar belit dan pemberitaan tidak betul berkaitan kenyataannya yang menjadikan keadaan menjadi tegang.

4. Justeru itu PAS Kedah mencabar Exco Agama, Dato' Ismail Salleh agar tunjukkan apakah kerosakan yang dibawa oleh Dr Zakir Naik sehingga dihalang kononnya menjaga keharmonian kaum.

5. Beliau juga diingatkan agar jangan mengkambing hitamkan tokoh terkenal itu dengan pelbagai provokasi murahan sedangkan realiti sebenar yang menimbulkan ketegangan kaum adalah hasil bawaan DAP bukannya Dr Zakir malah berkemungkinan besar halangan itu kerana patuh dan akur dengan kehendak parti terbabit.

6. PAS meyakini, masyarakat bukan Islam tidak akan membenci agamawan itu sekiranya mereka menerima maklumat yang betul bukannya yang diputar belitkan sehingga menimbulkan kebimbangan di kalangan mereka.

7. Sehubungan itu PAS Kedah menyokong penuh tindakan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah membuat laporan polis terhadap menteri dan media yang cuba mencetuskan ketegangan agama serta kaum di negara ini.

8. Tindakan berkenaan juga sebagai bukti PAS menghormati undang-undang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menangani isu yang ditimbulkan dengan cara yang baik.

ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN

USTAZ AHMAD YAHAYA
PESURUHJAYA PAS KEDAH

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.