https://critoxium.com/shop/

Terkini

Masa Depan Negara Akan DiCorak Anak Muda


Pemuda Pakatan Harapan Negeri Perak (HARAPAN) menyokong penuh titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam Istiadat Konvokesyen ke-48 Politeknik Ungku Omar (PUO) di Dewan Jubli Perak Politeknik Ungku Omar di sini hari ini.

Antara petikan titah Tuanku yang harus dihayati adalah saranan baginda agar anak muda memikirkan tiga tanggungjawab utama dalam mendepani dinamik yang berlaku ketika ini terutamanya dalam landskap politik negara iaitu tanggungjawab politik, tanggungjawab kepimpinan dan tanggungjawab kenegaraan.

Pemuda HARAPAN juga menyokong titah Tuanku yang menegaskan bahawa perubahan yang berlaku dalam sistem politik terutamanya dalam hal menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun perlulah ditafsirkan sebagai peluang yang memberikan kuasa lebih besar kepada anak muda untuk mencoraki kepimpinan negara dan memilih kerajaan.

Dalam suasana hari ini, dengan timbulnya isu-isu melibatkan kaum dan agama, Tuanku hadir dengan menyampaikan nasihat penting supaya masa depan negara tidak diberikan kepada ekstremis kaum - ekstremis agama dan memberi perhatian kepada perpaduan serta sifat MERANGKUMI (inclusiveness).

Justeru, Pemuda HARAPAN berharap agar kita semua dapat menghayati titah Tuanku ini yang sarat dengan pesanan dan panduan berguna , terutamanya di kalangan anak muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa depan.

Menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, kami Pemuda HARAPAN Negeri Perak akan mengambil perhatian sepenuhnya atas titah Tuanku dan akan berusaha menyampaikannya kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya di negeri Perak yang tercinta ini.

HASNUL ZULKARNAIN ABD MUNAIM
Ketua Pemuda Pakatan Harapan Negeri Perak

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.