https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mengubah persepsi negatif

Oleh PROF MADYA DR HUZILI HUSSIN

PERNAH saya mendengar ayat sebegini, “Jika dipakukan otaknya sedalam lima inci dengan paku ketaasuban, selagi itulah perasaan taasub yang ada dalam dirinya tidak akan hilang.” Pada mulanya saya berasa kata-kata tersebut agak kasar. Namun, itu adalah sebahagian analogi terbaik untuk kita memahami apa itu persepsi.

Merujuk kepada kamus bahasa Melayu, perkataan persepsi bermaksud, gambaran atau bayangan dalam hati atau fikiran tentang sesuatu yang akan menjadi tanggapan dan pegangan kepada diri mereka. Jika tanggapan itu buruk, sukarnya untuk mengubah kepada yang baik. Begitulah juga sebaliknya.

Menurut perspektif psikologi, persepsi bermaksud bagaimana kita memberi maklum balas terhadap segala maklumat yang kita terima. Ini bermakna persepsi merupakan suatu proses penerimaan maklumat daripada pelbagai sumber bagi tujuan berinteraksi dengan persekitaran pula. Setiap persepsi akan memberikan kefahaman dan kesedaran kepada individu untuk dimanfaatkan dalam hidup mereka. Justeru, sekiranya maklumat yang diterima itu salah dan tiada pula usaha untuk mencarikan kebenaran, maka sampai bila pun mereka boleh terdedah kepada membuat persepsi yang salah.

Selain daripada menerima maklumat yang salah, kesilapan dalam membuat persepsi juga boleh berlaku kerana terlalu fokus dengan maklumat yang lama sehingga tidak memberikan perhatian kepada perkara terkini.

Terdapat satu kajian persepsi yang begitu popular telah dilakukan oleh Daniel Simons dan Christopher Chabris pada tahun 1999 berkaitan inattentional blindness atau buta memberikan perhatian.

Menerusi kajian tersebut, para peserta telah diminta untuk melihat satu video di mana terdapat dua kumpulan yang memakai baju hitam dan putih sedang melontar bola kepada ahli kumpulan mereka. Peserta kajian diminta untuk mengira berapa kali bola yang diterima oleh pasukan putih sahaja. Selang beberapa ketika, seorang individu yang memakai kostum gorila berwarna hitam muncul dalam kelompok itu. Apa yang menarik, selepas tamat video, peserta kajian hanya memberikan jawapan yang dikehendaki tanpa menyedari kehadiran Gorila itu.

Sebetulnya, masih ramai yang bersandarkan maklumat yang lama tanpa mengambil kira maklumat yang baharu bagi membuat persepsi. Sebagai contohnya, masih ada sebahagian masyarakat yang suka membuat persepsi yang salah terhadap maksud kenduri ‘Walimatul urus’ dengan kenduri ‘kesyukuran’. Bagi mereka, jika ada perkataan ‘Walimatul urus’ dalam kad jemputan bermakna perlu hulur duit sebagai ‘bayaran’ kenduri kepada tuan rumah dan sekiranya ditulis perkataan kenduri ‘kesyukuran’ maka hanya datang makan percuma. Sedangkan perkataan ‘Walimatul urus’ dalam bahasa Arab sudah pun bermaksud kenduri perkahwinan.

Pada hemat saya, kelompok ini bukannya tidak memahami isu sebenar tetapi telah terpengaruh dengan persepsi yang salah kesan daripada budaya lama yang dianggap betul. Akibatnya, orang yang hulur duit kepada tuan rumah atas niat tumpang kenduri telah dipandang serong oleh mereka. Malah jika ada yang sengaja tidak membawa hadiah untuk pengantin kerana beranggapan boleh ‘bayar’ selepas makan dan ditolak pula oleh tuan rumah, mula berasa bersalah kerana tidak membawa apa-apa hadiah sebagai ganti. Walhal tuan rumah tidak kisah pun sama ada tetamu hadir untuk makan sahaja, bagi hadiah atau hulur duit kerana niatnya hanya untuk dapatkan keredaan ALLAH semata-mata.

Berkaitan hal ini ALLAH berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman. Jauhilah daripada berprasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang mengejek sebahagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu berasa jijik. Bertakwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH maha penerima taubat, lagi maha penyayang.” (Surah Al-Hujurat, 49:12)af

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.