https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pengaruh Komik Dalam Jiwa Melayu

Oleh Mohd Sayuti Omar

Masa makan pagi dengan sdr Yusri tadi beliau memberi tahu apa yang sedang tular dalam grup-grup WhatsApp orang Melayu ketika ini. Katanya sedang heboh kini kempen agar memulaukan barangan keluaran (kedai) orang Cina.

Dalam masa sama juga diberi tahu perang untuk merampas kerajaan PH yang dianggap kerajaan DAP akan meletus bila-bila masa sahaja. Wow...

Mulanya saya tidak mahu ambil pot dengan cerita itu. Dalam PM saya juga masuk hal-hal itu tetapi saya tidak "double blue tip" pun. Buang masa sahaja ikut melayani pemikiran bodoh.

Cerita umat Islam diseru agar pulau barangan orang kafir termasuk Yahudi ini sudah lama berlaku.

Setiap kali tentera Isreal serang Palestin, maka kempen itu pun akan bergemercingan. Disenaraikan nama produk keluar Yahudi atau kafir. Disebar di masjid-masjid dan ditampal di pokok getah.

Tok khatib pula sampai keluar urat semerih membaca khutbah memberi kesedaran akan kejahatan orang kafir dan menyeru umat Islam melakukan tindak balas dan melarang keras agar tidak makan makanan subahat.

Hari ini ada kemudian media sosial yang dibangunkan oleh orang Yahudi juga, maka digunakan medium ini seluas-luasnya bukan sahaja Ustaz janggut renggeh tetapi kaum ibu di dapur yang ada akaun media sosial juga ikut sama berpartisipasi dengan harapan mendapat pahala. Tidak malu sungguh umat Islam sebegitu ini.

Dalam pada itu, ceritanya ada WhatsApp menceritakan akan persediaan orang Melayu untuk berperang.

Kononnya orang Melayu ini gagah berani dan mempunyai berbagai ilmu hikmah yang boleh menawan musuh dengan cara di luar kekuatan lazim dalam masa sekelip mata sahaja.

Kononnya orang Melayu boleh menghantar keris terbang, pedang melayang, badik menarik, parang berjoget dan sebagainya.

Saya hanya mendengar sahaja, acuh tidak acuh sambil "menonyen" dalam hati. Itulah retorik dan kerja orang Melayu. Itulah angan-angan orang Melayu dalam usaha untuk mendapat dan mengekalkan kuasa. Suka mengambil pendekatan secara mitos, khurafat dan juga tahyul serta toyol.

Kenapa saya kata tahyul kerana semua itu kehebatan itu dongengan yang karut marut sahaja.

Pemikiran demikian kolot tidak berpijak di bumi nyata, melainkan penuh angan-angan dan ilusi bernanah.

Orang sudah sampai ke bulan, malahan masuk ke dalam "black hole" kita masih lagi meraba dan merangkak di bumi.

Orang sudah jauh melangkah benua kita masih di pengkalan menunggu saat bila kaki boleh melangkah atas air tanpa menaiki perahu atau kapal. Atau menunggu saat boleh terbang tanpa sayap. Terus kekal dengan jampi serapah dan lemas dalam kepulan asap dupa dan kemenyan sampai kelemasan.

Pada saya angan-angan dan impian Melayu seperti disebut Yusri seperti mana dikait daripada grup WhatsApp Melayu itu adalah hasil pendidikan dan terpengaruh dengan kesaktian hero-hero dalam komik klasik Melayu di tahun 50an 60an. Komik itu adalah imaginasi, maka imingnasi itulah kita yang cuba diangkat ke alam realiti oleh orang Melayu. Kesian

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.