https://critoxium.com/shop/

Terkini

PH yakin boleh menang PRU

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad yakin Pakatan Harapan (PH) akan kekal berkuasa jika Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan sekarang.

Perdana Menteri menyatakan keyakinan itu berikutan timbul dakwaan pengaruh PH semakin merosot dan pengundi mula beralih arah kerana tidak berpuas hati dengan beberapa isu semasa.

“Walaupun ada yang kata kita akan kalah, tetapi kita yakin jika kita bertanding hari ini, kita menang juga.

“Tiada siapa nak ambil balik Datuk Seri Najib Razak sebab kita tahu dia ‘sauk’ duit banyak, kita tak ambil duit,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Al-Bukhary di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Mengulas Piagam UMNO-PAS, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata, kedua-dua parti itu cuba memainkan isu kaum dan agama, sedangkan perkara itu boleh mencetuskan permusuhan.
“Ini (isu agama dan kaum) tidak sihat untuk negara kita yang berbilang kaum kerana jika main isu ini, ia akan cetuskan permusuhan seperti berlaku di negara lain.

“Kita main isu baik atau tidak baik (berkaitan) sesuatu dasar, bukan nak cucuk atau api-apikan perasaan kaum dan agama,” katanya.

Ditanya janji untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar, beliau berkata, akan tetap berpegang kepada prinsip menunaikan janji.

“Saya buat janji dan pegang janji saya. Apabila saya kata nak letak jawatan, ada pembangkang pada masa itu yang kini kawan saya kata, tak mungkin saya akan letak jawatan, tetapi saya letak jawatan,” katanya.







Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.