https://critoxium.com/shop/

Terkini

Rombakan Kabinet: Tok Pa dilantik jadi menteri?

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mustapa Mohamed dikatakan akan dilantik mengganggotai Kabinet dalam masa terdekat.

Menurut sumber, Ahli Parlimen Jeli itu akan menjawat jawatan menteri penuh di kementerian yang masih tidak dapat dipastikan.

"Beberapa pertemuan dibuat Tok Pa dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dipercayai untuk membincangkan isu berkenaan.

"Keputusan kementerian mana sudah dibuat, namun kata akhir tentu di tangan Dr Mahathir sendiri sama ada lantikan itu akan diumum dalam masa terdekat atau sebaliknya.

"Difahamkan Tok Pa akan diletakkan sama ada di Kementerian Kewangan atau MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri). Semuanya disusun oleh Tun (Dr Mahathir)," kata sumber berkenaan.

Mustapa Mohamed menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 27 Oktober lalu selepas keluar UMNO pada 18 September tahun lepas.

Sebuah portal sebelum ini melaporkan dua akhbar berbahasa Cina -- Oriental Daily dan Sinchew Daily -- mendakwa dalam rombakan itu, Mustapa Mohamed hampir pasti menyertai Kabinet.

Oriental Daily mendakwa tindakan itu akan diambil memandangkan Kabinet memerlukan anggota berpengalaman.

Pada Julai lepas, Dr Mahathir menafikan rombakan Kabinet akan diadakan.

Sebelum ini, Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Muhammad Fuad Othman menjelaskan rombakan Kabinet perlu dibuat untuk memperkukuhkan lagi jentera kerajaan selain meletakkan kepentingan rakyat di tempat teratas.

Jelasnya, ia memastikan penyampaian sistem kerajaan berjalan baik walaupun pada masa landskap politik negara mungkin tidak berada pada tahap terbaik.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.