https://critoxium.com/shop/

Terkini

Bauksit: Kerajaan Pahang jamin saringan teliti

LIPIS: Proses saringan teliti terhadap permohonan lesen melombong bauksit akan dilakukan bagi mengelakkan insiden pencemaran daripada berulang, kata Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau menyifatkan saringan itu sebagai penting bagi memastikan mereka yang diberikan lesen operasi perlombongan dan pengeksportan bauksit memenuhi kriteria prosedur operasi standard (SOP) yang baru ditetapkan.

“Kita bersetuju untuk mengguna pakai SOP yang ditetapkan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dan untuk pastikan ia berkesan, lesen operasi perlombongan bauksit tidak boleh diberikan dengan mudah.

“Tapisan yang teliti akan dilakukan sebelum aktiviti perlombongan boleh dimulakan dalam masa terdekat selepas kerajaan negeri selesai dengan permohonan lesen,” katanya selepas melancarkan Projek Perumahan Makmur Tanjung Gahai di sini, hari ini.
Wan Rosdy memberi jaminan tindakan tegas, termasuk menarik semula lesen akan dikenakan terhadap mereka yang didapati gagal mematuhi SOP pada pemantauan yang akan dilaksanakan bersama oleh kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Mengulas mengenai perumahan Makmur, Wan Rosdy berkata, setakat 31 Ogos lepas, kerajaan negeri meluluskan 21 tapak projek melibatkan 7,088 unit rumah Makmur antaranya di Kuantan, Temerloh, Bera, Maran dan Rompin.

“Projek rumah Makmur ini merupakan lanjutan usaha kerajaan negeri menyediakan perumahan mampu milik dengan harga yang cukup menarik, iaitu RM80,000 seunit menjadikan permintaannya amat tinggi” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.