Berundurlah Kit Siang, Malaysia perlukan kesegaran baharu
Oleh
Saya rasa terpanggil memberikan pandangan berhubung
kenyataan YB itu sendiri. Saya sarankan YB melupakan sahaja retorik
Malaysia Baharu. Pasti YB sendiri sangat sedar bukan, bahawa Malaysia
Baharu itu tidak diasaskan pada pemikiran politik yang sebenar?
Pertama,
tiada yang baharu tentang Malaysia setelah kemenangan PH. Apa yang
barunya tentang drama Anwar Ibrahim yang terus berharap untuk
menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad? Maaf, setakat ini belum ada
kekosongan jawatan.
Apa yang barunya dengan
dasar-dasar PH yang hanya menjenamakan semula program lama? Dulu Lynas
bakal menjadikan Malaysia beracun. Sekarang ia diteruskan dengan seribu
justifikasi.
Apa yang barunya dengan penipuan
pemansuhan tol oleh YB Tony Pua, penghapusan bayaran hutang PTPTN dan
kos sara hidup yang tinggi? Apa yang barunya dengan naratif kononnya
Sabah dan Sarawak tidak terbela dengan baik?
Sedangkan
kini sekolah-sekolah di Sarawak diugut oleh anak YB sendiri agar tidak
diberikan bantuan sehinggalah hutang Kerajaan Negeri lunas.
Apa
yang barunya apabila berjuta peluang pekerjaan yang dijanjikan sebelum
ini rupanya dijawab dengan memperkenalkan Gojek. Barangkali 300 ribu
rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura yang dijanjikan untuk dibawa
pulang sebelumnya kini akan berlumba-lumba pulang demi merebut peluang
keemasan ini.
Apa yang barunya bila Menteri
Pendidikan, sehingga sekarang tidak boleh membuat keputusan sama ada UEC
akan diiktiraf atau tidak. Biarpun itu adalah manifesto PRU. Apa yang
barunya, jika YB sendiri gagal meyakinkan masyarakat Cina dan India
untuk menerima khat di sekolah vernakular.
Sedangkan, kalian
mendendangkan Malaysia yang lebih terbuka, tidak rasis dan tidak
prejudis.
Apa yang barunya bila Ketua Pesuruhjaya
SPRM, Ketua Polis Negara, Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya, Ketua
Pesuruhjaya SPAD, 13 pegawai penyelaras sukan negeri dan pelbagai
lantikan ke institusi awam dan akademik dibuat tanpa melalui proses dan
mekanisme yang kamu janjikan. Malah, hampir kesemuanya adalah lantikan
politik dari kalangan parti dalam pakatan anda?
Apa
yang barunya dengan retorik Perdana Menteri dan rakan-rakan YB tentang
kebanjiran pelabur China di Johor adalah satu penjajahan dan penjualan
negara. Yang peliknya, kini semua itu semakin digalakkan. Sehinggakan
pembinaan rumah kos rumah pun hendak diserahkan kepada kontraktor China.
Apa
yang barunya dengan cerita hutang negara yang melambung? Sedangkan kini
Kerajaan merancang untuk menerbitkan pula Bon Samurai Kedua biarpun
setelah menambah hutang negara ke tahap yang sangat menggerunkan?
Apa
yang barunya tentang luar bandar Malaysia sekarang? Felda tidak
bertambah baik. Harga sawit terus merudum. Hidup petani dan pesawah
semakin sempit.
Kesemua ini adalah petunjuk jelas bahawa Malaysia Baharu adalah satu gimik politik yang tidak boleh dipertahankan.
Kedua,
saya ingin mengingatkan YB bahawa DAP selalu menggunakan alasan yang
suhu perkauman di Malaysia semakin meningkat kerana pihak tertentu
menggunakan sentimen perkauman.
Siapa mereka itu YB? UMNO-PAS atau Malaysiakini atau akhbar Cina? Atau YB, anak YB dan parti YB?
Biar
saya nyatakan realitinya. Pergilah ke mana-mana sudut negara ini, tiada
orang Melayu yang menzalimi bangsa Cina dan tiada orang Cina yang
menzalimi bangsa Melayu atau India. Keadaan di lapangan sangat harmoni.
Kebanyakan kami rakyat di bawah tidak melihat ras sebagai masalah harian dalam kehidupan Malaysia yang majmuk.
Orang
Melayu terus ke kedai Cina, menggunakan kontraktor Cina dan setia
berurusan dan menyimpan dengan bank-bank milik Cina. Orang Cina terus
mengunjungi kedai nasi lemak orang Melayu, sarapan roti canai di kedai
India dan menaiki Grab yang dipandu orang Melayu.
Realitinya,
kehidupan Malaysia muhibah. Hanya YB, anak YB dan rakan-rakan DAP
sahaja yang terus meniupkan rasa khuatir seolah-olah suhu perkauman
semakin meningkat, hanya kerana orang Melayu tidak mendukung Pakatan
Harapan.
Jangan YB lupa bahawa Tun Mahathir
pernah menjadi sebahagian dari Perkasa. Dan pernah dilabel oleh DAP
sebagai ultra Melayu. Nah, yang itulah sekarang pujaan hati YB dan
sekutu.
Ketiga, pada kebanyakan rakyat Malaysia, tiada Malaysia baru atau Malaysia lama. Hanya Malaysia.
Ini negara kami nan satu-satunya. Menukar pemerintah bukan bererti menukar negara dan segala struktur asasnya.
YB
bercakap tentang Malaysia Baharu, adalah YB, anak YB dan konco-konco
YB. Seolah-olah YB adalah pejuang pembebasan yang terpenjara berpuluh
tahun dan akhirnya setelah dibebaskan berjaya menumbang Kerajaan yang
zalim.
Biar saya ingatkan YB. Yang baru tidak
semestinya baik dan yang lama tidak semestinya jelik. Pemikiran sebegini
sangat songsang dan keanak-anakan.
Apa YB lupa, BN telah membina negara ini dengan jayanya. Jika tidak, masakan peralihan kuasa berlaku dengan aman dan baik.
Jika
tidak, masakan Kerajaan dapat berfungsi seusai pilihan raya. Jika
tidak, masakan wujud generasi yang sangat waras dan tegas menentang apa
yang mereka anggap korupsi dan kejahatan.
Jika
benar BN dan orang Melayu yang mendukung UMNO ini terlalu jahat, tidak
akan pernah wujud ruang peralihan kuasa dan pemugaran demokrasi di
negara ini.
Setelah BN tumbang, tidak ada satu
pun tunjuk rasa yang UMNO dan PAS anjurkan. Kami sangat menghormati
pilihan rakyat dan kami menerimanya dengan berlapang dada.
Malangnya,
setelah lebih setahun memerintah dengan kualiti pentadbiran yang gagal,
maka cara paling mudah untuk mengalih ketidakpuasan hati rakyat ialah
mencari kambing hitam.
YB enggan menerima
hakikat bahawa yang menggantikan kleptokrasi adalah kakistokrasi. Malah
kini, pelbagai episod video seks, jenayah seksual dan rujukan bahan
lucah dilakukan oleh anggota Kerajaan. Seolah-olah, kakistokrasi kini
berubah pula menjadi pornokrasi.
Maka timbullah
tuduhan bahawa ada pihak tertentu yang bermain sentimen kaum dan agama.
Malah, rakan-rakan YB sehingga ke hari ini masih bercakap tentang
‘kartel’ dan ‘deep state’ yang tidak ada siapa pun faham maksudnya.
Barangkali, para jemaah menteri yang bersijil palsu dengan kelayakan
luar negara yang ditipu boleh memberikan pencerahan kepada kami yang
hanya belajar dengan jujur di universiti tempatan.
Saya ingin bertanya. Selain perkauman, selama 60 tahun apa yang sebenarnya telah YB atau DAP bantu jayakan di tanah air ini?
Jika
DAP bukan perkauman, masakan setelah 60 tahun, ia terus gagal
meyakinkan orang Melayu untuk mendukung perjuangannya. Jika DAP bukan
perkauman, mengapa ia menjadi cacing kepanasan apabila Perdana Menteri
menyelar Dong Zong sebagai rasis?
Jika DAP bukan perkauman, mengapa penyatuan orang Melayu Islam disamakan dengan gerakan pengganas?
Setelah
60 tahun, satu-satunya ‘jasa’ DAP adalah memastikan orang Cina hanya
menyokong agenda rasis DAP. Sebab itu, sejak 6 dekad sehinggalah setelah
membentuk Kerajaan, tiada Melayu atau India atau Iban atau Kadazan atau
orang Asli yang berbondong-bondong menyertai DAP.
Sebabnya mudah. Impian DAP tentang Malaysian Malaysia yang tidak beragama rasmi itu sangat terpisah dari realiti Malaysia.
Keempat, berundurlah YB. Malaysia memerlukan kesegaran baharu.
Malaysia
berterima kasih kepada Tun Mahathir, Anwar dan rakan seangkatan mereka
kerana sama-sama menyumbang dalam mencorakkan politik Malaysia.
Tetapi,
Malaysia ini bukan tentang anda semua selamanya. Malaysia bukan tentang
legasi Tun Mahathir dan cita-cita Anwar Ibrahim. Negara ini memerlukan
generasi pelapis untuk mengambil alih. Kalau Singapura, Filipina,
Indonesia, Thailand hatta Vietnam sudah ada generasi pemimpin baharu,
mengapa kita masih lagi bergantung harap pada sang negarawan yang dari
generasi pertama.
Ingatlah YB, yang Malaysia
perlukan bukan sekadar menukar nama. Tetapi melebar makna dan menebar
pesona. Itu, bukan sesuatu yang anda fahami. Apatah lagi miliki.
* Penulis ialah Naib Presiden UMNO
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.