https://critoxium.com/shop/

Terkini

Malaysia ini milik siapa?

Oleh Wan Ji

Dr.Siddiq Fadzil bukan tokoh yang asing bagi masyarakat Melayu. Pernah memimpin ABIM bersama Anwar Ibrahim. Kini beliau memimpin WADAH, sebuah NGO yang banyak ke hadapan dalam wacana-wacana ilmu dengan mengangkat Islam dan kebudayaan Melayu.

Tidak dinafikan, ramai yang teruja dengan ketokohan Dr.Siddiq Fadzil dalam hal mengangkat soal akhlak, adab dan kesopanan Melayu. Beliau memberi kesedaran kepada anak bangsa bahawa kewujudan bangsa selain Melayu bukan ancaman, tetapi itu adalah keistimewaan dalam membina Malaysia sebagai negara yang hebat berbanding negara-negara lain dalam dunia.

Walaupun sudah berkali-kali saya mendengar ucapan Dr.Siddiq, tetapi menghadiri usrah pimpinan beliau adalah pengalaman baru bagi saya. Ini adalah pertama kali bagi saya. Saya teruja. Terutama, apabila beliau membawa wacana ketuanan Melayu, dan terbuka kepada sebarang hujah, mahupun kritikan secara akademik dan intelektual dari rakan-rakan yang hadir.

Milik siapa?

“Malaysia ini, apakah milik Melayu, atau milik kita semua?”, satu soalan yang dilontarkan beliau untuk mencetuskan wacana menarik kami pada malam itu.

Menurut beliau, tidak ada satu bukti pun dari sudut perundangan bahawa bangsa selain Melayu tidak memiliki negara ini. Beliau menjelaskan lagi, dalam situasi tiada bukti kukuh ini, Datuk Hasan Adli (bekas pemimpin PAS) yang pernah menjadi Ahli Parlimen dalam era 1970-an mendesak agar parlimen ketika itu membuat satu pernyataan yang jelas bahawa Malaysia adalah kepunyaan bangsa Melayu. Tetapi, desakan itu mendapat bantahan dari ramai ahli parlimen ketika itu, termasuk yang berasal dari UMNO.

Sedang rancak berwacana, seorang pakcik yang turut hadir dalam usrah kami menyampuk dengan memberikan hujah bahawa orang yang memiliki sesebuah rumah, boleh sahaja menghambat keluar orang lain dari rumahnya. Tetapi di Malaysia, bangsa Melayu tidak boleh hambat bangsa lain dari menduduki negara. Justeru itu, dakwaan bahawa hanya Melayu sahaja memiliki negara ini adalah tidak benar. Bahkan beliau menegaskan, bangsa lain juga memiliki negara ini sepertimana Melayu.

Walaupun beliau sekadar menyampuk dengan disertakan nada yang menyebabkan kami ketawa, tetapi hujah beliau itu ternyata menarik minat saya, kerana ia menyebabkan saya berfikir kebenaran di sebalik hujah tersebut.

Keamanan

Dengan naratif “keamanan”, Dr.Siddiq berjaya menarik perhatian semua hadirin agar berfikir dari dua sudut, iaitu Islam dan Melayu.

Dari sudut Islam, beliau menjelaskan bagaimana mesej “keamanan” itu diangkat pada kedudukan yang amat tinggi. Buktinya, penggunaan kalimah “al-Salam” yang membawa maksud “kesejahteraan”, yang ia bukan sekadar digunakan pada permulaan bicara, bahkan ia digunakan dalam setiap inci kehidupan muslim. Contohnya, kalimah “Islam” itu sendiri berasal dari akar kata “salam”; salah satu nama Tuhan itu “Salam”; masuk ke syurga juga dengan ucapan “Salam”.

Beliau turut mengungkapkan konsep keamanan dalam bahasa Melayu. Antara contohnya ungkapan orang Melayu yang amat sinonim dengan kalimah “selamat” yang semuanya membawa mesej keamanan dan kesejahteraan. Misalnya, ungkapan “selamat pagi”, “selamat malam”, “selamat hari raya”, “selamat berpuasa”, “selamat jalan”, hatta dalam hal kematian pun masih lagi dekat ungkapan keamanan, iaitu diungkapkan “selamat dikebumikan”.

Dengan hujah-hujah ini, Dr.Siddiq melahirkan kebimbangan terhadap sebilangan masyarakat muslim berbangsa Melayu di Malaysia yang seakan-akan tidak menghayati akar agama dan kebudayaannya sendiri, setelah melihat perkembangan politik mutakhir ini.

Kongsi kuasa

Melihat keadaan politik semasa, beliau membangkitkan persoalan kekuatan politik di Malaysia, apakah berasaskan kepada “perkongsian kuasa”, ataupun berasaskan kepada “dominasi sesuatu kaum”.

Secara tegas Dr Siddiq menyatakan, walaupun UMNO sudah berkuasa untuk lebih 60 tahun, tetapi pendekatan “dominasi kaum” menjadi antara faktor UMNO kalah dalam pilihan raya umum baru-baru ini. Justeru, beliau menyatakan pendekatan “perkongsian kuasa” adalah satu teori yang wajar diketengahkan dalam budaya politik baru.

Walaupun saya hanya sebagai hadirin, Dr.Siddiq memberikan peluang kepada saya untuk memberikan pandangan. Atas asas wacana “perkongsian kuasa”, saya kira ulama kontemporari terkenal dalam dunia Islam seperti Yusuf al-Qaradawi dari Qatar, Bin Bayyah dari Mauritania dan Rashid Ghanoushi dari Tunisia juga sudah sedar konsep ini dalam wacana politik moden dengan disertakan hujah-hujah mereka menerusi al-Quran dan Hadis.

Contohnya, al-Qaradawi sudah menjelaskan bahawa nas al-Quran tidak menghalang pelantikan non-muslim sebagai pemimpin dalam sesebuah negara, sebaliknya larangan-larangan itu tertumpu kepada melantik pemimpin yang menyerang agama Islam dan mereka berusaha mengeluarkan muslim dari negara mereka. Demikian juga, komentar Bin Bayyah yang menjelaskan perkara yang hampir sama. Cuma, dalam nas itu hanya melarang non-muslim campur tangan dalam urusan yang melibatkan kepercayaan Islam.

Penutup

Dengan keunikan budaya dan kepelbagaian anutan agama, Malaysia boleh disifatkan sebagai negara yang menarik. Namun, kadangkala budaya perkauman dan permusuhan berasaskan agama sengaja diapi-apikan oleh sebilangan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Budaya saling menghormati, toleransi dan saling menghargai amat wajar diangkat sebagai teras dalam bernegara. Ini kerana, teras ini yang menjadikan kita aman sejak dahulu lagi.

Disiarkan di Oriental Daily (14 Disember 2018): http://www.orientaldaily.com.my/s/271402

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.