Turunnya bendera Union Jack
Oleh Zin Mahmud
Pada hari Jumaat malam 30 Ogos 1957, orang ramai berkumpul di Padang Kuala Lumpur untuk menyaksikan upacara penurunan bendera kebangsaan Britain, Union Jack bagi digantikan dengan bendera kebangsaan Tanah Melayu yang ketika itu tidak bernama.
Bendera kebangsaan Federation of Malaya hanya dinamakan sebagai Jalur Gemilang pada tahun 1997 setelah ditambah jalur dan bucu bintang pada 16 September 1963 apabila ia menjadi bendera kebangsaan Persekutuan Malaysia.
Padang Kuala Lumpur itu adalah tempat aktiviti sukan khususnya permainan kriket oleh ahli-ahli Royal Selangor Club yang bangunannya terletak di hujungnya. Sebab itu ia sering dipanggil sebagai Padang Selangor Club. Apabila merdeka dan bahasa Melayu sudah menjadi bahasa kebangsaan, ia dikenali sebagai Padang Kelab Selangor. Pada 1 Januari 1990, ia dinamakan Dataran Merdeka, dalam bahasa Inggerisnya disebut, Merdeka Square.
Pada zaman pentadbiran British, kesemua bandar besar dan kecil di Tanah Melayu mempunyai padang utamanya di mana aktiviti-aktiviti perhimpunan diadakan. Padang yang berumput pendek itu juga digunakan sebagai tempat aktiviti sukan, riadah dan juga perhimpunan politik serta kawad pasukan tentera. Dalam bahasa Inggeris, ia dipanggil sebagai The Padang. Fungsinya adalah seperti “the square” (medan) di negara-negara Eropah.
Padang paling utama di Tanah Melayu tentunya terletak di Kuala Lumpur sebagai ibu kota negara itu. Ia adalah Padang Selangor Club itu. Padang itu adalah empat segi tidak tepat. King Road membataskannya dengan bangunan Government Offices yang bertentangan dengan Royal Selangor Club.
King Road itu kemudian ditukar namanya kepada Jalan Raja. Selepas merdeka, Bangunan Government Offices yang menempatkan pejabat-pejabat kerajaan negeri Selangor dan pentadbiran Federated Malay States (FMS) ditukar nama kepada kepada Bangunan Sultan Abdul Samad.
Menghadap kelab itu di sebelah kiri terletak bangunan Chartered Bank dan Selangor Public Library. Lama kemudian bangunan Chartered Bank itu digunakan sebagai pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sebelum menjadi Muzium Sejarah. Selepas merdeka, Selangor Public Library itu menjadi Perpustakaan Awam Selangor.
Selepas perpustakaan itu berpindah ke Shah Alam, bangunan itu menempatkan Perpustakaan Kanak-kanak Kuala Lumpur. Sebuah bangunan bangunan baharu didirikan di sebelahnya untuk menempatkan Perpustakaan Kuala Lumpur.
Di sebelah kanan padang ialah St Mary Anglican Cathedral. Terdapat sebuah air pancut di penjuru King Road dengan simpang Market Street, yang kemudian ditukar nama menjadi Lebuh Pasar Besar.
Bangunan Government Offices itu mempunyai menara jam yang dianggap sebagai jam paling tepat bagi Tanah Melayu dan menjadi rujukan bagi seluruh negara ketika itu. Di depan jam itu terdapat tiang bendera yang mengibarkan Union Jack.
Semasa pentadbiran kolonial British, seperti di Eropah, semua bandar utama mempunyai jam besar yang menjadi rujukan bagi pelarasan waktu pada pentadbir dan rakyat bandar berkenaan. Bagi Kuala Lumpur, pada mulanya jam utamanya terletak di Market Square bersebelahan pasar besar lama.
Market Square itu kemudian bertukar nama kepada Old Market square apabila pasar besar itu dipindahkan. Selepas merdeka, ia bernama Medan Pasar. Apabila bangunan Government Offices itu telah dibina, jam besar di menara bangunan itu menjadi jam utama.
Sambut merdeka
Kebanyakan yang hadir di Padang itu pada malam itu adalah dipercayai penduduk Kuala Lumpur dan tidak kurang juga dari daerah Selangor yang berhampiran. Pada masa itu Kuala Lumpur adalah ibu kota negeri Selangor dan juga Persekutuan Tanah Melayu.
Apa yang dimaksudkan dengan daerah Kuala Lumpur itu adalah juga termasuk Petaling Jaya.
Kedudukan ekonomi warga negara Kuala Lumpur ketika itu bukanlah sesuatu yang senang. Tanah Melayu ketika itu masih berada dalam keadaan Darurat, iaitu sejak tahun 1948 walaupun kemenangan dilihat berada pada pihak kerajaan.
Adalah dibayangkan bahawa bukan saja warga Kuala Lumpur ketika itu berada dalam keadaan hidup yang sempit tetapi juga sistem pengangkutan ibu kota juga masih berada dalam keadaan sukar. Kereta lembu dan beca masih kelihatan di Kuala Lumpur walaupun terdapat perkhidmatan bas dua tingkat.
Bagi mereka yang berkemampuan, adalah disangka tidak banyak menggunakan kereta yang ketika itu semuanya berwarna hitam. Ada yang datang dengan bas. Tidak kurang pula yang datang dengan beca. Ada yang mengayuh basikal ke Padang itu. Ada yang menaiki keretapi wap. Terdapat perkhidmatan keretapi bukan saja yang menggunakan laluan dari selatan dan utara, tetapi juga dari Klang, Cheras dan Ampang. Tidak kurang pula yang berjalan kaki.
Tetapi bagi mereka yang menaiki keretapi turun di Kuala Lumpur Railway Station. Mereka berjalan di Victoria Avenue (kini dikenali Jalan Sultan Hishamuddin) melintas tugu Cenotaph sebelum sampai di King Road. Bagi yang menaiki bas, mereka turun di stesen bas yang terletak di Malacca Street (Jalan Melaka) dan Johore Street (Jalan Johor).
Mereka mungkin berjalan di sepanjang Mountbatten Road (Jalan Tun Perak) sampailah ke King Road. Mungkin ada yang berehat di Masjid Jamek atau Masjid India dan makan di kawasan Malay Street (Jalan Melayu) dan Indian Mosque Street (Jalan Masjid india).
Mereka sampai lebih awal iaitu pada petangnya. Ada yang meletak kereta dan basikal di tepi Padang. Di kalangan mereka ialah wakil-wakil Pergerakan Pemuda UMNO dari seluruh negara. Mereka berpakaian kemeja dan seluar putih serta bersongkok. Orang ramai tunggu hinggalah pukul 11.58 malam, 30 Ogos 1957 apabila Tunku Abdul Rahman sampai di situ.
Sebaik saja dentingan jam hingga 12 kali, bendera Union Jack diturunkan dan bendera Tanah Melayu dinaikkan dengan lagu Negaraku dinyanyikan.
Kemudian orang ramai melaungkan Merdeka sebanyak tujuh kali. Tunku pun berucap dengan menyatakan bahawa detik malam itu adalah paling bermakna bagi rakyat negara ini. Selepas itu wakil Pemuda UMNO menyampaikan kalungan cenderamata pada Tunku. Acara berakhir pada pukul 1 pagi.
Adalah dibayangkan bahawa orang ramai yang hadir itu teruja dengan kegembiraan. Tidak semua dapat pulang ke rumah pada malam itu. Perkhidmatan bas dan keretapi sudah berakhir. Mungkin ada beca yang sanggup menghantar pulang sebahagian daripada mereka. Bagi mereka yang mempunyai kereta dan basikal, mereka pulang sendirian.
Tidak kurang pula yang bermalam di Kuala Lumpur. Mereka yang mampu, tentunya tidak ramai bermalam di hotel dan rumah tumpangan. Ada yang bermalam di rumah sanak saudara dan sahabat handai. Tetapi tidak kurang pula yang tidur di stesen keretapi dan masjid.
Ini kerana keesokan harinya, pada pukul 9.30 pagi 31 Ogos 1957, satu acara lebih besar akan diadakan di Stadium Merdeka yang baru dibina. Perisytiharan kemerdekaan dilakukan oleh Tunku selepas penyerahan dokumen kekuasaan dari wakil kerajaan British.

Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.