https://critoxium.com/shop/

Terkini

‘Buy Muslim-made first’ untuk kukuh ekonomi ummah

Oleh Mazli Noor

Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat menyokong penuh kempen “Buy Muslim-made first” (BMF) yang dimulakan dan dipelopori badan bukan kerajaan (NGO) Islam Malaysia. Walaupun ia mendapat tentangan pihak tertentu yang dikepalai DAP, BMF terus mendapat sokongan ummah.

Bukti kejayaan kempen ini adalah kegusaran dan kelantangan DAP dan sekutu mereka membantah muafakat ekonomi ummah ini. Bukan sahaja dalam kalangan parti politik sekutu DAP, mereka juga mempergunakan ahli akademik bagi menyokong tindakan mereka.

Terbaru adalah kenyataan Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Mohamad Ghouse Nasuruddin. Ghouse antara lain menyatakan sokongan PAS kepada BMF menunjukkan kedangkalan dan pandangan singkat PAS terhadap bagaimana pasaran bebas berfungsi, terutama bagi negara dagang seperti Malaysia. Ini kerana Malaysia banyak bergantung kepada urusniaga dagangan dunia juga pelaburan asing langsung.

 Ghouse juga menuduh sokongan PAS tersebut adalah bermotif dan dimotivasi oleh niat politik.
Perlu diingat keseluruhan isu BMF ini perlu dilihat dengan perspektif yang betul. Kempen BMF tidak pernah dan tanpa niat untuk memboikot barangan bukan Islam. Ia hanyalah seruan agar umat Islam mengutamakan barangan buatan Islam seboleh mungkin. Sebab itu seruan yang digunakan adalah “Buy Muslim-made first”, bukan “Buy Muslim-made only”.

Sudah tentu seruan itu untuk memperkukuhkan lagi blok ekonomi umat Islam bagi menaikkan dan memperkukuhkan lagi ekonomi ummah dengan membeli produk Islam seboleh mungkin, tanpa mengetepikan blok ekonomi lain. Blok ekonomi Islam ini tidak ada bezanya dengan blok ekonomi yang juga wujud dalam suasana pasaran bebas diperingkat dunia.

Ghouse sudah tentu pernah mendengar blok seperti NAFTA, AFTA, EEC, APEC, AEC, RCEP dan sebagainya. Semua blok ekonomi ini diwujudkan untuk memberi keutamaan dan faedah kepada negara peserta yang akhirnya akan memperkukuhkan ekonomi negara peserta. Perlu diingat, walaupun blok ekonomi ini wujud, negera peserta tidak dihalang untuk berdagang dengan negara lain diluar blok. Pilihan di tangan mereka.

Adakah negara yang terlibat dalam blok ekonomi dunia ini dangkal dan berpandangan singkat bagaimana ekonomi pasaran bebas dunia berfungsi, sebagaimana dihujahkan Ghouse?

Ghouse juga menuduh sokongan PAS tersebut adalah bermotif dan dimotivasi niat politik.

Sememangnya ekonomi dan politik tidak dapat dipisahkan. Jika ia benar-benar wujud sekali pun, tidak ada apa yang salahnya dengan tindakan tersebut.

Tidakkah semua blok ekonomi dunia juga mempunyai niat dan bermotif politik? Tidakkah APEC diwujudkan oleh Amerika Syarikat (AS) bagi menyaingi idea EAEC yang dicetuskan oleh Dr Mahathir Mohamad pada 1997 dulu? Tidakkah inisiatif TPPA yang juga dipelopori AS dengan objektif politik bagi meminggirkan China daripada dagangan dengan negara dengan lokasi strategik dunia? Dan sebagai tindak balas China mengemukakan idea RCEP, bukankah itu juga ada niat politik? Ini hanyalah beberapa rujukan kes sebagai contoh.

PAS tidak pernah mengetepikan mana-mana kaum dalam apa sahaja yang diperjuangkan, termasuk ekonomi dan politik. Sebab itu dalam PAS sendiri ada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang menghimpunkan semua bangsa dan agama dalam PAS. Sokongan yang berikan oleh PAS kepada insiatif BMF oleh NGO ini hanyalah dengan niat penyatuan ummah melalui muafakat ekonomi.

Kami dengan ini sekali lagi menyokong penuh pendirian PAS dan menyeru agar semua umat Islam bersatu bersama gagasan BMF ini.

Mazli Noor ialah timbalan pengerusi Lajnah Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan PAS Pusat.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.