Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, perkara sedemikian rupa tidak sewajarnya berlaku di dalam negara yang terdiri daripada pelbagai agama dan kaum.

Ujarnya, tiada masalah untuk mempromosikan barangan halal tetapi tindakan memboikot produk keluaran etnik lain adalah gejala yang tidak menyihatkan.

“Sebarang bentuk boikot sama ada terhadap orang Islam atau bukan Islam hanya akan menyebabkan satu pihak tidak berpuas hati, selain memberi kesan kepada pembangunan ekonomi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, bekas Timbalan Ketua Ulama Pas Selangor, Ahmad Dusuki Abdul Rani menyatakan, usaha memboikot barangan orang bukan Islam baik dari segi agama dan ‘menambah pahala’,
Dominic berkata, Malaysia adalah negara pasaran bebas dan kompetitif di mana pengguna menjadi semakin bijak serta tahu membezakan antara barangan berkualiti tinggi dan rendah.

Katanya lagi, mana-mana barangan berkualiti sama ada yang dihasilkan oleh orang Islam atau bukan Islam akan disokong pengguna dan tidak perlu mempromosikannya atas nama agama atau bangsa.

“Boikot sebegini tidak produktif. Ia bukan sahaja akan menjejaskan perpaduan negara tetapi akan menyebabkan pengguna kehilangan manfaat produk berkualiti tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, Dominic menyeru kerajaan mengambil tindakan segera terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dan mengarahkan supaya boikot menghentikan. – UTUSAN ONLINE