Hayati kembali Rukun Negara
Oleh Bartholomew Chan
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Sebab santan pulut binasa, sebab mulut badan binasa.
Demikian pepatah-pepatah Melayu yang sering kita dengar dalam perbualan seharian dan ruangan di dada akhbar. Kedua-dua pepatah tersebut sarat dengan maksud yang cukup mendalam.
Apa yang pasti, pemilihan perkataan yang ingin diungkapkan perlulah dilakukan secara berhati-hati kerana bukan semua orang memahami niat dan maksud ayat yang cuba disampaikan. Ada yang memahami apa yang cuba disampaikan tetapi tidak kurang juga yang memberikan reaksi yang berbeza.
Apabila dibangkitkan isu-isu yang panas sedemikian, dengan pantas mereka memberikan reaksi terburu-buru dan mudah melatah. Lebih mengecewakan, kebanyakan reaksi yang diluahkan dengan lantasnya dikaitkan dengan isu kaum dan agama hingga mewujudkan suasana yang kurang senang dalam kalangan rakyat.
Kejahilan pihak-pihak tertentu yang menyalahgunakan media sosial dengan menyebarkan kandungan-kandungan palsu dan menghina terhadap institusi diraja dan kaum lain membangkitkan lagi kemarahan masyarakat awam. Namun begitu, mereka tidak seharusnya dipersalahkan secara terang-terangan. Jujur kata, apakah anda tidak berasa marah jika anda diperkotak-katekkan sebegini rupa?
Bagi memastikan sikap toleran dan rasional rakyat Malaysia terus terpelihara, adalah lebih baik jika rakyat di negara ini kembali menghayati Rukun Negara yang menjadi paksi kepada kestabilan dan perpaduan negara sejak sekian lama.
Pada masa yang sama, prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara mampu membimbing masyarakat untuk menjadi sebuah komuniti yang waras, bertimbang rasa dan mengambil kira kepentingan semua pihak. Jika di Indonesia, Pancasila merupakan penyatu kepada rakyat mereka, di Malaysia pula, Rukun Negara menjadi panduan kepada rakyat jelata.
Sama-samalah kita ambil iktibar daripada situasi semasa yang berlaku di Hong Kong ketika ini. Disebabkan amarah mereka yang melampau terhadap kerajaan di sana, penunjuk perasaan sanggup melakukan apa sahaja termasuk merosakkan harta benda awam, mencederakan anggota-anggota polis yang bertugas dan melumpuhkan sistem pengangkutan awam bagi mencapai matlamat perjuangan mereka.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.