https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kematian yang menghidupkan lantaran hidup subur berjasa

Oleh USTAZ HAKIM MOHD NOR

Semalam, saya kehilangan sahabat yang cukup besar maknanya dalam hidup saya. Namun, kehilangan ini juga menyebabkan saya jumpa satu pengajaran yang cukup besar dalam hidup. Hidup berjasa! Ya, hidup ini wajib berjasa.

Inilah dinamakan kematian yang menghidupkan. Subhanallah. Semalam, saya menangis sepuas-puasnya. Dari jam 2 pagi saya terima berita kematiannya, saya menangis hingga bengkak mata malam tadi.

Masakan tidak, setiap kali berjumpa dengan teman yang hadir ke pengebumiannya, semuanya cerita kebaikannya. Buka sahaja Facebook, semua menanda nama arwah dan ratusan kebaikan yang arwah buat.

Dalam kumpulan WhatsApp pula, semua yang ada arwah menyatakan kerinduan kepada beliau. Semua ceritakan jasa beliau. Semuanya perkara baik sahaja.

Cerita-cerita kebaikannya ini buatkan saya betul-betul belajar satu perkara yang cukup besar. Hidup ini mesti berjasa!

Almarhum sejak muda sentiasa berjasa kepada orang sekeliling. Beliau selalu fikirkan orang lain. Selalu utamakan orang lain. Dan beliau tidak pernah bersikap memilih-milih dalam membantu orang lain.

Masa awal perkenalan, saya masih ingat jasanya menolak saya untuk lebih berani ke depan. Arwah cungkil potensi saya. Saat arwah tahu saya minat dalam bidang motivasi, terus arwah minta saya buat ceramah di sekolahnya yang terdiri dari pelbagai bangsa, dan dalam semi bahasa Inggeris.

Dan berkat jasanya, Alhamdulillah saya sudah ada keberanian bercakap di hadapan ribuan orang dalam dan luar negara. Bukan itu sahaja jasa beliau, beliau juga telah banyak mengubah cara berfikir.

Setiap kali bersembang dengannya, sudah pasti ada sahaja idea baru untuk beri impak kepada ummah. Hidupnya memang diwakafkan untuk ummah. Semangatnya untuk selalu memberi manfaat kepada orang lain benar-benar mengilhamkan saya.

Hingga hari ini tertubuhnya Avengers itu pun, berkat inspirasi daripada semangatnya. Allahu. Dan apabila saat kematiannya, ternyata jasanya menjadi asbab Allah memuliakannya.

Seluruh dunia datang memberi ucapan. Kawan-kawan dari luar negara banyak yang mengirimkan saya untuk utuskan penghormatan terakhir. Yang dalam negara, lagilah tidak terkira. Ribuan orang tulis kebaikannya. Yang datang berikan penghormatan terakhir cukup ramai, penuh masjid seolah-olah solat Jumaat. Subhanallah.

Lihat, apabila hidup kita memberi makna kepada orang, maka hidup kita pastinya bermakna. Babak yang saya tidak dapat tahan air mata dari tumpah selaju-lajunya, ialah semasa dibukakan penutup muka arwah.

Kenapa saya menangis sangat-sangat? Sebab saya lihat arwah sedang tersenyum puas. Wallahi. Muka arwah cukup tenang dan tersenyum, seolah-olah sedang menerima satu kejayaan yang cukup besar. Saya menangis kerana cukup terharu. Mulianya kematiannya. Allahuakbar.

Dan memang benar pun, kejayaan paling besar dari hidup kita ialah apabila mati dalam keadaan mendapat keredhaan Allah. Sakit itu penghapus dosa. Dua tahun arwah menanggung kesakitan ini, pastinya insya Allah menghapuskan semua dosa almarhum.

Allah pilih almarhum temuiNya dengan jiwa yang tenang. Bagi saya, kanser usus ini adalah kematian akibat sakit perut yang digambarkan dalam hadis sahih sebagai kematian syahid. Allah pilih almarhum dapat anugerah hidup mulia dan mati syahid.

Sebab itu, saya ulangi sekali lagi, kematian ini menjadi satu pengajaran yang cukup besar bagi saya. Hidup mesti berjasa. Ya, saya amat bersedih dengan kehilangannya.

Apatah lagi saya amat rapat dengannya. Allah berikan saya peluang untuk mandikannya, kapankannya, dan kebumikannya. Sudah pasti saya antara manusia yang paling sedih kehilangannya.

Namun, kesedihan ini perlu saya hadapi dengan baik. Ramai yang peluk saya semalam dan bisikkan yang hidup ini mesti diteruskan.

Ya, hari ini saya mula mengumpul sedikit sisa baki semangat yang ada, untuk mula bangkit perlahan-lahan.

Pengajaran terbesar yang saya dapat ini tidak boleh dipersia-siakan. Hidup mesti berjasa. Bahkan kata nabi, khairun nas, anfauhum linnas. Sebaik baik manusia ialah mereka yang beri manfaat kepada orang lain.

Ramai yang jumpa saya sejak pagi lagi minta saya teruskan legasi arwah. Awalnya, saya rasa cukup tidak bermaya untuk teruskan gerak kerja Serantau Muslim ini tanpanya di sisi.

Namun memikirkan, setiap kerja yang dibuat ini pastinya ada saham akhirat buatnya, insya Allah, dengan penuh rasa syahdu, saya berazam untuk teruskan langkah yang telah dibuka arwah demi menyambung legasi arwah.

Dan atas sebab itu juga, saya menjadi lebih tekad untuk buat siaran langsung dan posting dengan lebih banyak lagi. Saya nak gandakan pahala buat arwah. Saya niatkan pahala dari ilmu yang bermanfaat ini ditujukan khusus buat arwah.

Sesungguhnya, beliaulah mentor yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya hingga saya menjadi seperti apa saya hari ini. Beliaulah arwah Dr Raja Iskandar Al Hiss.

Buat teman semua, mohon hadiahkan Alfatihah buat arwah Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa beliau, menjadikan kuburnya sebagai taman syurga dan Allah tempatkannya bersama orang yang soleh.

*Penulis merupakan Setiausaha Agung Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim).

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.