"Bergolak Tanpa Henti: PN dan Drama Ketua Pembangkang"
Ketika kedudukan Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang menjadi tumpuan sama ada akan kekal atau tidak selepas krisis yang melanda Bersatu, PAS dikatakan diberi mandat untuk menentukan penyelesaian dan 'nasib Hamzah'.
Sumber memberitahu, soal kedudukan ketua pembangkang sudah dibincangkan antara Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
"Difahamkan Muhyiddin serah kepada PAS untuk tentukan mengenai kedudukan ketua pembangkang," kata sumber yang rapat dengan kepimpinan PN itu kepada Malaysiakini, hari ini.
Isnin lalu, pertikaian mengenai status jawatan ketua pembangkang yang disandang Hamzah, tercetus di Dewan Rakyat, susulan pemecatan bekas timbalan presiden Bersatu itu daripada parti.
Ia dibangkitkan RSN Rayer (PH-Jelutong) di bawah Peraturan Mesyuarat 4A(3) dan 4A(4), yang memberi kuasa kepada Speaker Dewan Rakyat untuk menentukan ketua pembangkang sekiranya berlaku sebarang pertikaian.
"Jika timbul sebarang keraguan atau pertikaian tentang siapa yang sedang atau menjadi ketua pembangkang pada bila-bila masa, perkara itu hendaklah diputuskan oleh Speaker, dan keputusan yang diperakui secara bertulis di bawah tandatangannya adalah muktamad dan konklusif," katanya memetik peraturan tersebut.
Rayer menarik perhatian bahawa krisis dalaman Bersatu semakin meruncing selepas Hamzah dan beberapa ahli parlimen lain dilaporkan dipecat daripada parti.
Dia kemudian mempersoalkan sama ada pejabat Speaker atau Timbalan Speaker telah menerima sebarang pemberitahuan rasmi berhubung perkara itu.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor kemudiannya berkata, Pejabat Speaker masih belum menerima sebarang arahan atau dokumen rasmi berkaitan perkara tersebut.
Pada hari sama, Hamzah ketika ditanya media berhubung perkara itu bagaiamanapun enggan mengulas sebaliknya hanya berkata 'kemudian'.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor memaklumkan bahawa Pejabat Speaker masih belum menerima sebarang arahan atau dokumen rasmi berkaitan perkara tersebut.
Justeru, kedudukan Hamzah di Dewan Rakyat masih kekal iaitu bersebelahan kerusi “musuh nombor satu"nya, iaitu Muhyiddin.
Dalam perkembangan itu Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan berpendapat dia bersama 17 lagi bekas wakil rakyat Bersatu berharap Hamzah akan kekal dengan posisinya itu.
Namun katanya dia bergantung kepada keputusan PN dan meletakkan keyakinan kepada Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sementara itu Penolong Setiausaha Agung PAS Syahir Sulaiman dalam satu posting di Facebook, hari ini, memaklumkan Muhyiddin dan Abdul Hadi sudah berbincang mengenai kedudukan ketua pembangkang.
Ketika dihubungi dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut, sebaliknya berkata penjelasan mengenai perkara itu akan dibuat oleh Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan.
"Insya-Allah ketua whip PN akan beri penjelasan nanti," katanya.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.