https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kemelut Muhyiddin–Hamzah Ujian Besar Pengerusi Baharu PN


Cabaran besar menanti Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri dalam menyelesaikan isu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainudin bagi menjamin kestabilan gabungan itu mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Pemerhati politik dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, timbul persoalan sama ada Pas yang mempunyai hubungan baik dengan Hamzah yang bakal menerima ‘rumah baharu’ untuk bersama di dalam PN.

Katanya, selain itu adakah Muhyiddin boleh menerima Hamzah dan pasukannya untuk bersama-sama di dalam PN?

“Tanpa solusi kepada isu Hamzah dan Muhyiddin, sukar untuk PN kembali stabil. PN hanya mampu kembali kukuh jika Ahmad Samsuri mampu memainkan peranan selaku Pengerusi PN mengurus isu atau kemelut dalaman Bersatu itu.

“Persoalan kini, apa status Hamzah dan pasukan di dalam PN dan sejauh mana Bersatu boleh menerima jika ‘rumah baharu’ Hamzah itu ingin menjalinkan kerjasama di dalam PN. Persoalan tersebut perlu dimuktamadkan segera sebelum PN mampu bergerak jauh ke hadapan.

“Jika Hamzah bersama parti baharu, mereka hendak bekerjasama bersama siapa, adakah PN sedia memberi ruang. Ia menjadi antara cabaran besar kepada Ahmad Samsuri ketika ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang bersama 16 Ahli Parlimen Bersatu akan menyertai parti politik lain atau ‘rumah baharu’ pada minggu depan.

Tidak lama kemudian, PN mengumumkan pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN bagi menggantikan Muhyiddin yang melepaskan jawatan pada 1 Januari lalu.

Muhammad Izmer berkata, tidak dinafikan Ahmad Samsuri cemerlang selaku Menteri Besar Terengganu namun cabaran sudah pasti berbeza apabila mengetuai PN.

“Jika Ahmad Samsuri mampu melepasi ujian pertama itu, tidak mustahil beliau (Ahmad Samsuri) mampu membawa PN ke arah lebih kuat mendepani PRU16 selepas ini,” katanya.-UTUSAN

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.