Samsuri Naik, Ulama Tetap Di Belakang?
Oleh Mohsin Abdullah
Saya katakan Presiden PAS Hadi Awang tidak akan calonkan Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai pengerusi Perikatan Nasional jika tidak yakin Samsuri akan mentadbir negara dalam cara yang dimahukan ulama walaupun beliau bukan ulama. Golongan ulama kita tahu mahu ulama menerajui negara sesuai konsep pegangan PAS — kepimpinan ulama. Ini kata mereka mesti dipertahankan. Hadi juga ulama. Mustahil beliau tidak berpegang teguh pada konsep itu. Mustahil Hadi tidak sependapat dengan para ulama dalam PAS berhubung kepimpinan ulama.
Oleh itu apabila Hadi mencalonkan Samsuri untuk jawatan pengerusi PN sekali gus poster boy gabungan itu, beliau yakin Dr Sam can do the job just like an ulama.
Samsuri pernah jadi setiausaha politik Hadi. Untuk sekian lama Hadi memupuk dan menjaga beliau. Hadi senang dengan Samsuri yang progressive dan profesional, tidak seperti dengan golongan progressive dan profesional PAS zaman lalu.
Kita tahu apa yang terjadi dengan Mujahid Yusof Rawa, Dzulkifli Ahmad, Hatta Ramli, dan Salahuddin Ayub. Bak kata aktivis media, Fathi Aris Omar, “Samsuri dipayung Hadi”.
Fathi anak kelahiran Terengganu. Samsuri junior beliau di sekolah. Usrah sama. Saya ulangi catatan Fathi pada Mac 2024, yang pernah saya tulis untuk artikel di FMT yang disiar sebulan lalu. Hadi beri peluang luar biasa kepada Samsuri. Beliau serahkan kerusi DUN Rhu Rendang yang sangat kebal dan sarang tarbiah PAS kepada Samsuri. Ertinya beri kerusi pasti menang. Menurut Fathi, presiden PAS meminta Samsuri bertanding pilihan raya 2018 dengan harapan boleh dilantik sebagai menteri besar Terengganu. Memang Samsuri menang. Hasrat kesampaian.
Malah menurut Fathi lagi, Hadi bersusah payah melindungi Samsuri daripada serangan dalam dan luar parti apabila menteri besar Terengganu itu bercuti di New Zealand ketika negeri dilanda banjir teruk pada Disember 2022. Maka mustahil si anak emas tidak akan turuti kemahuan tokoh yang banyak menolongnya. Lagi pun meskipun beliau bukan ulama, Samsuri sebagai ahli PAS tahu akan dasar serta prinsip parti.
It’s not that he walked in blindly. He came into PAS with eyes wide open, dan beliau akur.
Hadi seorang yang pragmatik. Beliau tahu PAS (dan PN) tidak boleh hanya bergantung pada sokongan orang Melayu-Islam untuk memerintah Malaysia. Sokongan masyarakat bukan Melayu bukan Islam juga diperlukan. Hadi tahu imej keras PAS boleh menakutkan golongan itu. Maka Hadi tampilkan Samsuri untuk menambat hati pengundi bukan Melayu bukan Islam tetapi pada masa sama tidak melupakan prinsip asal PAS.
Pada pandangan saya Samsuri boleh ‘dinasihati’ Hadi dan ulama parti. Bukan saya tuduh Samsuri is not his own man yang boleh dikawal dari belakang, tetapi tidak mungkin beliau akan abaikan ulama terutama Hadi.
Meskipun bukan ulama, dasar Samsuri mentadbir Terengganu disenangi golongan ulama. Walaupun tidak sekeras peraturan di Kelantan yang juga ditadbir PAS, di Terengganu juga tidak ada kelab malam dan kedai jual nombor ekor. Bawah pentadbiran Samsuri juga ada dijalankan hukuman sebat di khalayak ramai mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.
Kata bekas pengarah berita Media Prima, Kamarul Zaman Zainal, menerusi Facebook saya: “Sesiapa sahaja calon PM, mereka memerlukan sokongan dari GPS (Sarawak) dan GRS (Sabah). Dr Sam perlu membuktikan bahawa model pentadbiran beliau tidak akan menggugat autonomi dan cara hidup di Borneo.”
Betul. Pastikan juga tidak gugat cara hidup masyarakat bukan Islam di Semenanjung obviously. Seperkara lagi: Samsuri juga mesti ambil kira pandangan dan nasihat Hadi dan golongan ulama.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.