https://critoxium.com/shop/

Terkini

Samsuri Perdana Menteri Dalam Bayang Hadi?


Oleh Fathi Aris Omar

Apa makna DS Dr Samsuri Mokhtar dilantik kepalai PN? Apa kesannya, dalam dan luar gabungan?

Dalam gabungan:

1. Isyarat PAS, atau lebih tepat TS Abdul Hadi Awang, mahu Dr Sam mengetuai PAS. Jika mampu ketuai gabungan, maka wajar juga ketuai PAS.

Jika belum ke peringkat presiden, sekurang- kurangnya timbalan presiden PAS dahulu. Ertinya Dr Samsuri wajah masa depan parti.

Pelantikan ini isyarat atau trajectory PAS pasca- Abdul Hadi. Selama ini Dr Samsuri lambat muncul tetapi pemain simpanan itu kini jadi super sub!

2. Geng ustaz masih berpengaruh tetapi bukan lagi satu-satunya pilihan PAS. Cakap-cakap "kepemimpinan ulama" diberi tafsir baharu, ketua tidak mestinya ustaz tetapi aktivis bukan agamawan.

Setelah 45 tahun konsep ini bergerak yang menyaksikan geng ustaz memberi ruh kepada parti, Abdul Hadi merombak semula masa depan PAS.

3. Sekali gus, point 1 dan 2 di atas, membayangkan perubahan strategik dalam tasawwur Abdul Hadi yang mahu meninggalkan dekad 1980-an.

Tafsir agama ala fundamentalis totok dan panas era kepemimpinan ulama, Amanat Hadi, 'asabiyyah, fatwa syahid Memali, hizbullah atau taghut yang sinonim dengan 1980-an.

Sejak PAS tidak minat ulangi isu Amanat dan Memali, sejak ia mahu mendekati Umno dan potong pulut dengan keris, sejak itulah bermula era baharu dalam parti ini.

Dr Samsuri sebagai satu lagi langkah meremaja parti yang sebelum ini terjerat dalam dichotomy "ulama vs profesional." Sama dengan kenyataan Abdul Hadi baru-baru ini, pertembungan PAS dengan Umno "bukanlah isu akidah".

4. Lagipun era kebangkitan Islam seperti hujung 1970-an dan 1980-an sudah tidak relevan.

Zaman revolusi Iran, perang Afghanistan, kitab Syed Qutb dan semua wacana PAS 40 tahun dahulu sudah jauh berubah. Simbolnya pada sosok Dr Sam yang mengikuti usrah sejak awal 1980-an.

Zaman ini berjilbab, berusrah dan membaca al-Ma'thurat sudah menjadi arus perdana. Tidak seperti zaman Dr Sam sertai usrah empat dekad lalu.

5. Cuma PN masih berdepan cabaran besar apabila sekutu Melayu dan bukan Melayu masih lemah. Walau PAS boleh saingi Umno di lubuk asalnya tetapi ia perlu sekutu Melayu untuk tambah tarikan.

Sekutu bukan Melayu pula tidak mampu saingi DAP yang mengepung pengundi bukan Melayu sejak 2008. Kedua-dua PAS-PN dan Umno-BN sedang mencari-cari formula ini.

Luar gabungan:

6. Jika PAS makin kuat, sasaran utamanya Umno, bukan sangat PH. Sendi kekuatan PH ini pada DAP dan (jika dapat) sekutu Melayu macam PAS (2008 dan 2013) dan Bersatu (2018).

PKR ini parti centrist, moderat dan bandar. Macam parti liberal di Barat atau negara maju yang ada pengaruh tetapi tersepit antara konservatif dan kiri.

7. Dengan munculnya Dr Samsuri atau pengukuhan PN, Umnolah yang berada dalam dilema. Sebab dua parti ini bersaing merebut pengundi yang sama. Contoh nyata, peralihan undi Umno pada PRU 2022.

Jadi Umno kena fikir banyak kali, sama ada mahu bergerak solo seperti 2022 atau (a) kerjasama dengan PH, atau (b) kerjasama dengan PAS-PN.

Dua kali persaingan tiga penjuru (2018 dan 2022), kedua-dua PRU ini mengurangkan undi Umno. Jadi ke mana arah Umno nanti?

8. Bukan hanya PN dan Umno bergelut, PKR dan DAP juga bergelut. Dr Samsuri dianggap cuba merawat masalah PN tetapi rawatan masalah dalam PKR dan DAP masih belum jelas.

Pertemuan DAP pada Julai ini menarik diperhati. Namun, hakikatnya idea pertemuan itu sendiri sudah nampak bodoh dan agak gila!

Ia tidak boleh menilai kedudukan dalam kerajaan seperti itu. DAP kena tegas, ia mahu bawa perangai DS Rafizi Ramli atau mahu bersekutu macam Umno.

Ia tidak boleh mentadbir tanpa kecaman. Kecaman macam MCA dahulu rutin bagi parti kerajaan. Kuasa tidak datang dengan kerusi empuk tanpa caci maki, pertikaian dan kekeliruan dasar.

Rafizi memang begitu, lebih suka PKR bangkang demi menjaga ketulenan reformasi. DAP tidak boleh bawa perangai Rafizi demi selamat undi PRU-16.

Rafizi tidak kisah PKR jadi pembangkang. Dia lebih risau PKR hanyut dalam ujian kuasa. Dia tidak nampak logika berpolitik, berani lawan tetapi tidak berani menang (yakni ambil tanggungjawab kuasa).

DAP juga tidak boleh bawa perangai PAS dengan agenda hudud dan negara Islam. Yakni kembali ke modal retorika paling asasi demi tipu pengundi setiap kali rasa kurang sokongan.

9. Dr Samsuri, Anthony Loke atau Rafizi berada dalam lingkungan usia yang sama. Ketiga-tiganya sedang merumus hala tuju parti atau gabungan dalam landskap baharu dan tidak menentu.

Apakah sejarah dan tradisi masih relevan? Atau peluang masa depan semata-mata datang hari ini?

Semua parti dipaksa membuat uji kaji. PN pilih Dr Samsuri. DAP buat keputusan pada Julai. PKR dan Umno bila lagi? Ke mana arahnya?

TAMBAHAN setakat 8.15 pagi. Coretan ini akan dikemas kini, jika perlu. Tanggapan ini akan disusuli coretan lain apabila ada perkembangan berkaitan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.