https://critoxium.com/shop/

Terkini

Persaraan usia 60 tahun ideal bagi rakyat negara ini, kata Faiz

Persaraan dalam usia 60 tahun adalah ideal dan amat sesuai bagi rakyat negara ini, kata Ahli Dewan Undang Negeri Permatang Pasir Muhammad Faiz Fadzil.

Beliau berkata, apa yang diperlukan ialah mereka yang sihat fizikal dan mental serta sesuai untuk melaksanakan tanggungjawab dan tugas yang diberikan.

“Generasi muda yang mempunyai minda dan idea yang baru untuk mencernakan pembangunan negara khususnya dalam bidang ekonomi dan teknologi amat diperlukan.

“Malah industri revolusi 4.0 yang turut mendedahkan generasi muda dengan pelbagai pengetahuan amat diperlukan oleh negara bagi meningkatkan industri tersebut.

“Sekiranya proposal untuk melanjutkan usia persaraan tersebut menjadi realiti, maka sudah pasti peluang dan ruang kerjaya bagi generasi muda akan menguncup dan berkurangan, ” ujarnya ketika diminta mengulas mengenai cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk meningkatkan had umur bersara mandatori kepada 65 tahun.

Faiz juga menambah, setakat ini kadar pengangguran dalam negara adalah sebanyak 10.7 peratus atau hampir mencecah sejumlah 500,000 anak muda.

Sejajar dengan itu katanya, bagi memastikan sokongan dan dokongan dapat diberikan kepada ibu bapa yang bersara, sistem pendidikan negara harus dipinda bagi mendidik generasi muda supaya lebih bertanggungjawab kepada keluarga.

Tegasnya lagi, pendidikan sivil harus dijadikan subjek wajib bagi memastikan kebertanggungjawaban ini dapat direalisasikan khususnya bagi golongan muda tersebut.

Semalam Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga membantah cadangan MTUC kerana berpandangan golongan muda harus diberi  peluang pekerjaan lebih luas dan kenaikan pangkat.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.