https://critoxium.com/shop/

Terkini

Skim kontrak kakitangan awam boleh bantu individu minat berniaga, kata NGO

KUCHING: Kakitangan kerajaan yang minat berniaga boleh mendapat manfaat daripada cadangan skim kontrak pada masa depan, kata Philip Wong, pengarah Institut Hal Ehwal Awam Sarawak.

Cadangan skim kontrak bertujuan menggantikan skim jawatan tetap dan berpencen dengan matlamat mengurangkan beban bayaran pencen yang kini berjumlah RM28 bilion.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Borhan Dolah berkata, cadangan skim itu hanya melibatkan pelantikan baru dan akan menawarkan gaji, kebajikan dan perlindungan lebih baik.

Wong berkata, cadangan itu boleh menggalakkan kakitangan yang berdaya usaha berpindah ke sektor swasta jika mendapat peluang.
“Pada masa ini, kerana adanya skim pencen, ramai yang keberatan berbuat demikian kerana takut kehilangan pencen mereka.”

Katanya, ramai kakitangan awam mungkin mahu menjalankan perniagaan mereka sendiri, tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian kerana mahukan pencen.

Ini katanya, boleh menghasilkan kakitangan yang tidak produktif dan gembira bekerja.

Dalam pada itu, ketua penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Idris Buang meminta cadangan itu dikaji lebih teliti dan menggesa ia tidak dilaksanakan secara terburu-buru.

“Isu ini menuntut pertimbangan ke atas banyak perkara yang dekat dengan hati pegawai kerajaan seperti keselamatan sosial semasa persaraan, penjagaan kesihatan, kemiskinan pada usia tua dan sebagainya.

“Ia melibatkan kelangsungan hidup negara ini sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru beliau menggesa kerajaan supaya menjalankan kajian menyeluruh dengan mengambil kira input semua pemegang taruh, pertubuhan bukan kerajaan dan pakar.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.