Membaca sentimen masyarakat Cina di Tanjung Piai
Oleh Lim Hong Siang
Barangkali ini kali pertama suasana ceramah anjuran
DAP lebih hambar berbanding MCA di khalayak masyarakat Cina, untuk sekian lama.
Sungguhpun DAP mengalami kekalahan yang teruk dalam pilihan raya umum pada
tahun 1995, juga tahun 2004, tetapi suasana dan sambutan massa tetap hangat seandainya
tokoh tertentu seperti Lim Kit Siang turun sebagai pemidato. Cuma malangnya, kehadiran,
sorakan dan tepukan tidak diterjemahkan kepada kertas undi pada hari pengundian.
Sebaliknya, MCA memang jauh ketinggalan dalam bab
ceramah, atau rapat umum selama ini. Pidato dan pemidatonya membosankan. Malah,
mereka dibebankan untuk membela diri atas segala penyelewengan yang berlaku
dalam pemerintahan mereka – sama ada dilakukan mereka sendiri, ataupun rakan
sekutunya dalam Barisan Nasional. Justeru itu, cabutan bertuah, hadiah dan
sebagainya ditaburkan untuk menarik kehadiran massa, agar tidak kekok dengan
kerusi yang lebih daripada hadirinnya.
Akhirnya roda nasib berputar. Sejak menjadi pembangkang,
MCA mengitar semula retorik dan gaya pemimpin DAP untuk mengasak musuh
ketatnya. Barangkali DAP menganggap ia tidak adil untuk dirinya, semata-mata kerana
dirinya belum menyelesaikan apa yang gagal diselesaikan MCA untuk 61 tahun. Hakikatnya
pernah juga sesetengah DAP mendakwa bahawa adanya isu yang boleh diselesaikan
sebaik sahaja mereka menawan Putrajaya, misalnya pengiktirafan UEC. Keterlanjuran
sebegini dijadikan modal oleh MCA untuk terus menyerang DAP.
Sementara itu, setelah menganggotai kerajaan
persekutuan, DAP perlu bertanggungjawab ke atas segala baik-buruk yang dilakukan
sepanjang 18 bulan ini, sama ada dirinya, mahupun sekutunya dalam Pakatan
Harapan. Sudah tentu lebih banyak yang dijanjikan daripada yang dilaksanakan. Pemidatonya
mula melembutkan nada, kalau diapi-apikan pidatonya pun, dianggap tidak serasi
dengan imejnya sebagai kerajaan. Jadi, sambutan yang hambar daripada
penyokongnya tidak sukar untuk dijangkakan, apatah lagi jika tidak dirangsang dengan
cabutan bertuah dan hadiah yang lumayan.
Senario ini menjelaskan mengapa pemimpin MCA semakin teruja,
dan pemimpin PH (terutamanya DAP) menjadi serba-salah dalam penampilannya di
depan masyarakat Cina. Perubahan ini padahal sesuatu yang lumrah. Mustahil
sesebuah parti politik mampu mengekalkan peratusan undi sesebuah komuniti pada
paras 80% ke atas untuk selama-lamanya, bukan?
Persoalan yang dilontarkan di atas bukan bertujuan
untuk menjustifikasikan kegagalan PH meraih sokongan masyarakat Cina, sebaliknya
sebagai peringatan bahawa masyarakat Cina umumnya telah mencurahkan sokongan majoriti
pada paras 70% (PRU 2008), sebelum melonjak kepada 85%(PRU 2013) dan 95%(PRU
2018) kepada parti komponen PH untuk tempoh lebih sedekad kebelakangan.
Sokongan pada paras 95% adalah tidak normal, dan angka
ini akan kembali normal pada satu hari nanti. Bagaimanapun, ini tidak bermakna
PH harus melepas tangan untuk membiarkan penurunan secara mendadak. Sebaliknya,
sentimen masyarakat Cina perlu ditelaah secara rasional, kerana seandainya
mesej yang ingin disampaikan itu disalah-tafsir, maka ia bakal mengundang kekalahan
yang lebih besar pada masa depan.
Misalnya, setelah merasai suasana yang berbeza dalam
masyarakat Cina kali ini, ada yang melontarkan tuduhan melulu bahawa Cina hanya
akan mengundi calon Cina, kerana bersikap rasis. Tuduhan ini bukan sahaja mengeruhkan
keadaan, malah dianggap meleset kerana data Institut Darul Ehsan (IDE) menunjukkan
bahawa kira-kira 64% pengundi Cina menyokong PH dalam PRU14, yang menyaksikan
pertembungan antara arwah Md Farid Md Rafik (PPBM) dengan Wee Jeck Seng (MCA)
di Tanjung Piai. Dengan kata lain, majoriti pengundi Cina masih menyokong calon
Melayu sungguhpun ditawarkan pilihan calon Cina.
Jadi, apakah sebenarnya yang menjurus kepada
kekecewaan masyarakat Cina, sehingga mula menunjukkan bibit-bibit untuk
menyokong MCA – yang tidak terpisah daripada UMNO-PAS, dengan pendekatan politik
yang lebih “eksklusif” sebelumnya?
Isunya bertimbun-timbun, dan saya tidak mengatakan
bahawa semua tuntutan masyarakat Cina itu wajar. Tetapi saya perlu menyatakan
bahawa suasana kemurungan menyelubungi masyarakat Cina selepas berlangsungnya
Kongres Maruah Melayu, lebih-lebih lagi dengan kenyataan bahawa “Malaysia milik
Melayu”. Ia agak mengguris hati, malah dalam kalangan aktivis yang
bertungkus-lumus untuk membebaskan bumi ini dari regim kleptokrasi dalam PRU14.
Mungkin ada yang akan mendakwa bahawa ini bukan kenyataan bagi pihak kerajaan,
tetapi hakikatnya kehadiran perdana menteri bersama menterinya dalam majlis itu
mengundang persepsi bahawa PH merestui kenyataan sedemikian.
Sentimen ini wajar disantuni sebaik-baiknya, daripada terus
menyerang MCA atau UMNO-PAS, malah Najib Razak dengan sindiran yang sinis dan nada
yang keras. Zaman menyindir, menuding jari kepada BN telah berakhir, setelah BN
tumbang dan menjadi pembangkang. PH kini harus menampilkan diri sebagai
pemerintah yang matang, dengan prestasi pentadbiran yang mantap, dan wawasan
yang berpandangan jauh. Ramai dalam kalangan kita masih kurang pasti apakah
Malaysia telah diselamatkan selepas PRU14, tetapi apa yang pasti, PH gagal
menyelamatkan dirinya dengan mempersalahkan BN lagi. (tamat)
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.