https://critoxium.com/shop/

Terkini

Senarai pekerjaan ‘tiada masa depan’ akan diedar ke sekolah

PUTRAJAYA: Sekolah akan dibekalkan dengan senarai pekerjaan yang dikategorikan berisiko pada masa depan sebagai rujukan pelajar untuk memilih jurusan di institusi pendidikan tinggi, kata Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran.

Beliau berkata ia akan membantu pelajar mengelak memilih bidang pengajian yang tidak mempunyai masa depan atau sedia berdepan risiko tidak memiliki pekerjaan selepas menamatkan pengajian.
“Saya telah bercakap dengan lebih 400 guru dan majoriti mereka keliru tentang realiti semasa berkenaan bidang pekerjaan yang mungkin tidak lagi relevan atau wujud dalam tempoh tiga atau lima tahun akan datang.

“Sebab itu kementerian bersedia dengan senarai pekerjaan yang dikategorikan kritikal pada masa depan untuk diedarkan kepada semua sekolah selewat-lewatnya akhir Disember ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2019, semalam.
Kula Segaran berkata proses menyenarai bidang pekerjaan itu disediakan dengan kerjasama Bank Dunia, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (Iimia) serta Talent Corp.

Beliau berkata pandangan daripada empat entiti berkaitan bidang pekerjaan tersebut diambil sebagai panduan dan kemudiannya diolah mengikut keadaan semasa di negara ini sebelum diedarkan.
Ditanya apakah pekerjaan yang berada dalam senarai tersebut, Kula Segaran membayangkan ia bukan bidang pekerjaan terkenal tetapi memberi pulangan wang yang banyak kepada mereka yang terlibat di dalamnya.

“Ledakan IR 4.0 (Revolusi Industri 4.0), memungkinkan 30% pekerjaan sedia ada ketika ini tidak lagi relevan pada masa akan datang, bermakna pelajar dan ibu bapa perlu diberi panduan agar lebih bersedia menghadapinya,” katanya.

Sementara itu, pelajar jurusan teknologi baik pulih badan kenderaan daripada Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu, Sabah, Juvert Soii dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2019, sekali gus membawa pulang wang tunai RM10,000 dan piala.

Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri adalah anugerah tertinggi dalam pertandingan kemahiran yang mula diperkenalkan pada 1991.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.