https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mufti: Tiada sumpah laknat dalam perundangan Islam

Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad berkata istilah sumpah laknat tidak ada dalam perundangan Islam kecuali membabitkan perkara mengenai "li'an".

Dalam Islam, ucapan li'an dilakukan oleh suami yang nampak isterinya berzina dengan lelaki lain, tetapi tidak dapat mendatangkan seramai empat orang saksi.

Manakala Istilah "mubahalah" (saling laknat melaknati) yang disebutkan dalam Surah Ali Imran ayat ke-61 pula tidak merujuk kepada perundangan Islam, kata Zulkifli.

"Sebaliknya ia (mubahalah) dikategorikan dalam sumpah membabitkan perdebatan bagi menyokong hujah yang benar dan menolak hujah palsu.

"Mubahalah tidak menjadi satu tuntutan sekiranya kes masih berjalan di mahkamah.

"Bahkan proses keadilan di mahkamah, tidak eksklusif pada sumpah sahaja, bahkan pembuktian yang lain seperti pengakuan, penyaksian dan pembuktian di hadapan hakim," katanya.

Zulkifli juga berkata, dalam prinsip perundangan Islam, sumpah hanya diambil kira atau dilakukan apabila diminta oleh 'qadhi' atau hakim.

Sumpah di mahkamah

Jumaat lalu, bekas perdana menteri Najib Razak melafazkan sumpah laknat di Masjid Kampung Baru bagi menafikan pembabitannya dalam pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Sumpah laknat itu dibuat selepas bekas pegawai polis, Azilah Hadri yang disabitkan bersalah membunuh Altantuya membuat dakwaan mengejutkan melalui Sumpah Berkanun (SD) dari Penjara Kajang.

Banduan yang sedang menunggu hukuman gantung itu mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada Najib (ketika kejadian merupakan timbalan perdana menter) dan rakan rapatnya, Abdul Razak Baginda.

Dalam pengakuan julung-julung kalinya itu, Azilah mendakwa dia dan pegawai polis Sirul Azhar Umar hanya mengikuti arahan “shoot to kill” (tembak mati) sebagai anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) polis.

Perincian itu dimasukkan dalam permohonan yang difailkan Azilah kepada Mahkamah Persekutuan bagi menyemak semula keputusan bersalah dan hukuman mati terhadapnya.

Dia juga memohon perbicaraan semula bagi mengemukakan bukti penuh berkaitan operasi sulit itu di mahkamah terbuka supaya “keadilan dapat ditegakkan”.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Zulkifli juga berkata bahawa sesuatu sumpah, sekiranya perlu dilakukan, adalah lebih baik dilakukan di mahkamah.

"Pada masa kini, telah wujudnya mahkamah untuk penyelesaian isu perundangan.
"Justeru, kami berpendapat mahkamah adalah tempat yang lebih sesuai dan tepat untuk melakukan sumpah, jika diperlukan," katanya.

Kata Zulkifli, masjid tidak seharusnya dijadikan tempat untuk sumpah laknat kerana masjid antaranya berperanan sebagai pusat pembinaan kerohanian, pengukuhan sosial umat Islam dan tempat pembelajaran serta pendidikan.

"Pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) wajar mewujudkan dan menguatkuasakan apa-apa peraturan yang melarang apa-apa majlis yang berkaitan dengan sumpah atau sumpah laknat yang melibatkan kepentingan awam atau kes yang sedang dibicarakan di mahkamah, bagi mengelakkan institusi masjid dimanipulasi oleh mana-mana pihak. "Berkenaan isu sumpah dan mubahalah, pihak kami akan menerbitkan satu Bayan Linnas khas dengan tajuk Mubahalah: Fiqh dan Isunya dalam masa terdekat," katanya lagi.
















Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.