https://critoxium.com/shop/

Terkini

'Kita dalam PH sama taraf, saling memerlukan'

Oleh ARIF ATAN

Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Wira Dr Hatta Ramli menyifatkan gabungan empat parti dalam Pakatan Harapan (PH) sebagai saling melengkapi dan tidak timbul soal siapa yang paling penting.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan itu, kedudukan PH dalam kerajaan akan terjejas sekiranya salah satu komponen parti disisihkan.

"Keempat-empat parti adalah sama-sama teras (kerajaan PH). Tidak ada lebih, tidak ada kurang.

"Walaupun kedudukan dalam kerajaan, jumlah Ahli Parlimen AMANAH kurang tetapi tanpa salah satu, akan tempang," katanya dalam Bicara Menteri di Jom Channel, 27 Januari lalu.

Beliau menjelaskan kehadiran AMANAH adalah untuk bersama-sama membina dan mengukuhkan kerajaan PH.

"Selang selepas enam hari AMANAH ditubuhkan, Pakatan Harapan pula dibentuk. Itu ertinya penerimaan rakan-rakan kita iaitu PKR dan DAP. Kemudiannya muncul Bersatu. Kita menerima (Bersatu) seperti rakan-rakan yang lama tadi," ujarnya yang kali pertama hadir dalam slot itu.

Ahli Parlimen Lumut itu berkata, kepimpinan PH sebenarnya tidak mengambil kira jumlah kerusi yang dimenangi dalam agihan portfolio sebaliknya peranan yang dimainkan dalam pilihanraya.

"Kita adalah gabungan empat parti yang kukuh dan kita di AMANAH berbangga bersama-sama PH.

"Sebagai parti yang jumlah kerusi Parlimennya terkecil, peranan yang diberi kepada kita adalah cukup besar hinggakan ada yang bertanya, bagaimana AMANAH mendapat lima menteri dan lima timbalan menteri.

"Kesepakatan kita bersama-sama rakan komponen memenangkan PH. Penghargaan ini diberi kepada AMANAH sebagai tanda persahabatan yang erat itu.

"Kita memang berbangga berkhidmat kepada kerajaan sebagai satu penghormatan kepada kita di AMANAH selepas bergiat dalam  politik sekian lama," jelasnya.

Dr Hatta berkata, rakyat terbukti telah memberi peluang kepada PH untuk mentadbir negara.

"Kalau boleh kita mahu kekalkan peranan keempat-empat parti itu. Masing-masing adalah teras dalam PH.

"Kita dalam PH ini sama tarafnya dan saling memerlukan. Kalau tanpa salah satu, tidak wujudlah PH.

"Yang lebih penting ialah kebersamaan. Pada PRU-14 lalu, kita gunakan lambang PKR. PKR berbesar hati membenarkannya. Tiga lagi parti bersedia menerimanya dengan hati terbuka.

"Itu jarang-jarang berlaku. PH menang atas lambang PKR. Dan apabila membentuk PKR mempunyai jumlah kerusi yang jauh paling banyak," katanya.

Sehubungan itu, Dr Hatta mengingatkan agar semua parti komponen PH terus memelihara kebersamaan dan menunaikan tanggungjawab kepada rakyat.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.