https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mahafiraun Bangkit Kembali

Oleh Mohd Sayuti Omar

Salam Subuh dan selamat pagi duhai rakan dan teman-teman semua. Saya yakin ada yang tidak lena tidur semalam, gelisah dan resah sampai ke pagi. Semuanya kerana terkesima dengan peristiwa "rampasan kerajaan" semalam.

 Tentu yang ada berdoa memohon kepada Allah Swt menyelamatkan keadaan, bukan menyelamatkan Anwar Ibrahim atau sesiapa, menyelamatkan negara tercinta kerana kesan rampasan itu bukan mengecewakan Anwar secara peribadi tetapi semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Saya yakin ada juga yang tidak habis memaki hamun dan menyumpah kepada perampas dan dalangnya. Kesal dan kecewa kepada mereka dan apa yang terjadi. Paling dikesali kepada mereka bersifat munafik, jahat dan celaka.

Seperti saya cuba bayangkan semalam dalam babak rampasan kerajaan ini orang tidak marah dan terkilan dengan perampas-perampas bantuan atau yang sekongkol dengan penggerak utamanya, seperti Pas, Umno dan lain-lain.

Mereka pembangkang memang menumpang hidup dan sanggup makan bangkai demi survival mereka, sanggup dan tergamak melakukan apa sahaja. Tetapi yang dikesali dan marah kepada penggerak utamanya, Mahathir bin Mohamad Kutty dan Mohamed Azmin Ali al Samburiti. Inilah syaitan politik di negara ini.

Iya sebelum ini saya boleh bersikap tasamuh dengan tindak tanduk mereka berdua ini. Kita menganggap mereka hanya setakat bergurau biawak sahaja untuk mencari kekuatan untuk kerajaan dan demi rakyat. Tetapi setelah ia melampau, sehari ke sehari tindak tanduk mereka sangat keji, daripada gurau biawak kepada gurau kerbau, maka kita semua kehilangan maaf buat mereka berdua.

Hari ini saya tanpa prejudis dan taksub saya mengityharkan mereka berdua adalah perosak negara dan penghancur harapan dan impian rakyat ada mereka berdua, Mahathir dan Azmin Ali. Tidak salah kalau hendak menukar kerajaan, tetapi bukan dengan cara keji dan khianat. Kamu menjunjung undang-undang demokrasi kemudian kamu mengkhianati.

Tanpa gerakan, cita-cita dan jiwa syaitan mereka berdua tidak mungkin peristiwa rampasan itu akan berlaku. Merekalah perancang, penggerak dan pengadu domba. Atas apa yang berlaku rakyat yang cintakan kedamaian, mempercayai kepada sisa-sisa kebenaran dalam demokrasi tidak akan memaafkan mereka sampai kapan pun. Dan saya akan menyumpah Mahathir atas perbuatannya sampai ke liang lahad.

Apa lagi kalau tidak dinamakan munafik, jahat, apabila hari ini berjanji, sebelum hari dikambus malam ia sudah mengkhianati janji itu. Cis, celaka.

Dan kepada yang menyokong mufakat rampasan itu, anda mungkin seronok melahap harta dan kuasa dirampas, tetapi yakin dan percayalah bukan senang untuk anda mengunyah kemudian menelannya.

Duhai teman dan sahabat, hari ini kerajaan PH masih wujud, dan kita menunggu hingga mentari terik dan berdiri atas kepala nanti baru kita dapat melihatkan apakan ia akan mati dan kehilangan nyawa hari ini. Yang termampu kini hanya berserah dan bertawakal kepada Allah sahaja.

Cuma dalam menanti ini kita kena ingat kepada sumpah dan janji Iblis bahawa mereka akan mengkhianati anak Adam sampai ke hari kiamat. Trims.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.