https://critoxium.com/shop/

Terkini

Majoriti, pluraliti, kerajaan perpaduan atau pilihan raya?

Oleh Muhamad Nadzri Mohamed Noor

 Lewat petang ini Yang di-Pertuan Agong baru sahaja selesai menemubual 221 ahli parlimen dari kesemua 222 orang dipercayai bagi maksud mendapatkan kepastian mereka sama ada mahu menyokong kepimpinan Mahathir Mohamad atau mengadakan pilihan raya baharu.

BN dan PAS semalam sepakat untuk mengadakan pilihan raya baharu. Jumlah mereka kini ada 60 kerusi.

Namun, ahli-ahli parlimen PH dilaporkan menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri mereka. Jumlah ahli parlimen ketiga-tiga parti yang tinggal dalam PH kini adalah 92 orang.

Lain-lain parti termasuk Bersatu, GPS, Warisan dan bebas menunjukkan sokongan kepada Mahathir. Jumlah mereka pula adalah 70 orang.

Apakah makna di sebalik politik angka ini? Permainan masih terbuka dan perebutan ke tampuk kuasa masih berterusan.

Pertama, nampaknya terdapat tiga paksi-paksi kuasa yang terbentuk di Malaysia sejak lewat malam semalam. Pertama, kumpulan yang menyokong Mahathir. Kedua, kumpulan yang menyokong Anwar. Dan ketiga, kem Muafakat Nasional.

Jika pengundian benar-benar dilakukan secara en bloc dan partisan sebagaimana dalam situasi di atas, tiada pihak dijangka, termasuk kumpulan Mahathir, boleh membentuk majoriti, iaitu sokongan ahli parlimen melebihi 111 orang.

Kumpulan Anwar pula nampaknya mempunyai pluraliti di parlimen, meskipun tidak mendapat majoriti, sekiranya benar sokongan kepada beliau hanya di kalangan ahli parlimen PH sahaja dan secara penuh.

Justeru jika pilihan raya cuba dielakkan, maka beberapa pilihan muncul. Antaranya, pertama, adalah dengan menubuhkan kerajaan perpaduan, sebagaimana diusulkan kumpulan yang menyokong Mahathir. Mahathir juga mencadangkan penubuhan kerajaan perpaduan berdasarkan gabungan majoriti secara individu, dan bukan kumpulan. Hal ini bagi mengelak mana-mana parti yang bersaiz besar seperti Umno, PKR dan DAP menguasai dan mempengaruhi kerajaan pimpinan beliau.

Kedua, mungkin perlu dipertimbangkan keperluan untuk membentuk kerajaan secara minoriti.

Kerajaan seumpama ini belum pernah berlaku di Malaysia, namun hal yang biasa di Eropah termasuk di dalam sistem demokrasi berparlimen United Kingdom (UK) yang menjadi sering ikutan dan rujukan Malaysia.

Dengan praktik politik yang semakin terpecah-pecah menjadi lumrah, kewujudan kerajaan minoriti semakin juga semakin normal. Pentadbiran Theresa May di UK pada 2017 adalah kerajaan minoriti.

Dalam konteks ini Anwar dan PH mempunyai kelebihan, meskipun tiada majoriti di parlimen, tetapi merupakan parti yang mempunyai sokongan terbanyak di parlimen. Dari sudut perlembagaan, konsep ini boleh menimbulkan persoalan undang-undang kerana terma "keyakinan majoriti ahli Dewan Rakyat" ada tercatat di dalam fasal 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Namun hal ini tidak semesti dibaca secara literal, sebaliknya juga secara substantif berdasarkan keperluan dan kepentingan semasa, bagi maksud menolak keadaan di mana berlaku deadlock (tersimpul mati - tiada pakatan/parti yang mempunyai majoriti).

Ketiga, jika kedua-dua ini tidak dapat dilakukan, maka pilihan raya adalah jalan yang tinggal untuk keluar dari keadaan deadlock ini.

Namun tiada jaminan keadaan akan lebih baik dari keadaan semasa, dan kemungkinan keadaan deadlock juga akan sekali lagi berlaku, kerana politik Malaysia kini begitu terpecah-pecah dan tinggi persaingannya.

Jika ini berlaku ia tentu sekali lagi merugikan kerana belanja yang besar diperlukan untuk mencapai tujuan ini. Kestabilan politik negara juga masih belum reda sepenuhnya, begitu juga dengan keadaan ekonomi kita dan antarabangsa.

Namun pilihan raya juga boleh menawarkan keputusan yang lain, dengan dinamik baharu yang mungkin membolehkan pencapaian majoriti yang jelas pada pemenangnya nanti.

Mengadakan pilihan raya semula dalam waktu ini mungkin boleh memberi kesan yang besar kepada ekonomi dan masyarakat Malaysia yang semakin terkesan dengan kelembapan ekonomi global dan kebangkitan politik identiti dan populisme lewat ini. Selain ia juga mungkin akan menambah banyak lagi politicking di tanah air.

Justeru konsep kerajaan perpaduan, atau lebih ke hadapan lagi adalah konsep kerajaan minoriti perlu dipertimbangkan sebaik-baiknya kerana ia adalah sesuatu yang semakin normal, dan hal yang lebih praktikal di dalam sistem parti yang terpecah-pecah. Namun hal ini tentu sekali hanya apabila ketiadaan majoriti, dan atas sebab-sebab keperluan yang penting dalam mewujudkan kerajaan, mengekalkan kestabilan dan mengelakkan situasi deadlock. Pilihan raya yang baharu juga mempunyai kelebihan dan mungkin juga boleh menjadi jalan keluar kepada keadaan deadlock kini.

Apapun terpulang kepada kebijaksanaan agong dan kerajaan interim dalam menyelesaikan kemelut politik dan memutuskan perkara ini, dalam memastikan kelangsungan negara, kestabilan ekonomi dan kebajikan rakyat terus terpelihara.

Daulat Tuanku, dirgahayu Malaysia!

DR MUHAMAD NADZRI MOHAMED NOOR adalah penganalisis politik.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.