https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mandat rakyat, agenda reformasi diketepikan melalui kerajaan pintu belakang?

Oleh Zakaria Musa

Ramai tertanya-tanya tentang berita angin usaha pembentukan kerajaan melalui pintu belakang yang heboh diperkatakan. Apakah pembangkang, khususnya BN-Pas, akan menyertai kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad, sekali gus mengetepikan sekutu yang ada?

Soalnya, mengapa idea songsang ini boleh timbul? Sedangkan semua sepakat bahawa kemenangan tanpa diduga 20 bulan lalu adalah hasil dukungan rakyat terhadap kerjasama erat empat parti.

Benarkah keutuhan kerajaan Pakatan Harapan yang mendapat mandat rakyat dalam PRU14, Mei 2018, sudai mulai goncang, susulan siri kekalahan dalam pilihan raya kecil, khususnya pukulan mengejutkan di Tanjung Piai?

Ataupun, ia satu respons terhadap proses peralihan kuasa yang nampak sukar, daripada Dr Mahathir kepada Anwar Ibrahim? Reaksi penyokong kedua-dua pemimpin besar ini kadang-kadang dilihat tidak terkawal sehingga boleh menggambarkan ia seolah-olah ulangan kepada pertembungan dahsyat 20 tahun lalu.

Kepada penyokong reformasi yang berjuang sekian lama, khabar angin ura-ura rundingan sulit untuk membentuk kerajaan pintu belakang itu sudah pasti menimbulkan keresahan dan kekecewaan amat sangat.

Ia juga satu pengkhianatan terbuka kepada suara berani rakyat yang bertindak nekad menumbangkan kerajaan kleptokrat Umno-BN. Ya, tidak mudah untuk mengheret turun elit politik yang berkuasa dan berkuku sejak enam dasawarsa lalu.

Apakah hanya kerana terdapat perbedaan yang sukar diuruskan di antara komponen Pakatan Harapan, maka jalan pintas yang mengecewakan rakyat dipilih? Sepatutnya berilah lebih banyak masa dan peluang untuk semua parti-individu dalam PH berinteraksi serta cuba belajar untuk saling memahami bagi memantapkan pentadbiran kerajaan.



Begitu juga dengan proses peralihan kuasa; ia harus diuruskan secara berhemat dan bijaksana. Elakkan daripada pertelagahan terbuka yang menghiris hati banyak pihak. Mahathir dan Anwar bukan lagi seteru; ini bukan pertandingan kalah mati. Desakan dan gesaan harus dilakukan dalam adab kekeluargaan, bukan mengulangi babak gelita.

Apa pun senario sulitnya, betapa sukar pun menghadapi perselisihan dalaman yang mungkin timbul di antara PH, segalanya harus dibincang dan dirongkai; yang pasti tidak sama sekali membentuk pakatan dengan Umno atau Pas. Jika mahu bentuk persefahaman baharu, ia hendaklah diusulkan untuk menghadapi PRU15 nanti.

Benar, Bersatu yang diketuai perdana menteri, hanya mempunyai bilangan ahli parlimen yang relatif kecil, berbanding PKR dan DAP. Walaupun jumlahnya meningkat dua kali ganda selepas penyertaan wakil rakyat BN, ia masih kecil. Sebenarnya ini merupakan eksperimen politik Malaysia Baharu yang menarik. Ujian terhadap amalan pengkongsian kuasa; Mahathir sendiri mengemukakan konsep “equal partner” dalam kabinet dan pentadbirannya.

Rakyat sedang memerhati dengan tekun pentadbiran PH berusaha memulihkan negara, seperti janji pilihan raya. Banyak agenda pembaharuan yang telah dijayakan, namun mereka mengharapkan lebih banyak lagi terutama untuk meningkatkan kualiti hidup. Jangan bazirkan masa dengan pertelingkahan politik yang berpanjangan.

Seharusnya sudah memadai dengan mandat rakyat dalam PRU14, terutama dalam konteks pemerintahan penggal pertama. Manfaatkan peluang yang ada, sehingga PRU15, untuk meraih sokongan dan keyakinan rakyat. Tunjukkan PH sebuah kerajaan yang berkesan dan gabungan parti yang saling memahami, bertoleransi jika timbul perbedaan, dan meninggalkan budaya pembangkang.


Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.