https://critoxium.com/shop/

Terkini

“Masa sama-sama pembangkang dulu pun, Pas tolak Anwar calon PM”

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Semasa Anwar Ibrahim dipecat jawatan timbalan perdana menteri dan seterusnya keahlian Umno pada September 1998, Pas tidak mengambil masa panjang untuk bersama-sama memperjuangkan keadilan untuknya.

Dipelopori penubuhan Gerak dan siri jelajah seluruh negara, malah Presiden Pas, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor, dilihat sentiasa memberikan dukungan kuat buat sahabat karibnya yang teraniaya itu.

Sumbangan Pas ternyata banyak membantu penyokong Anwar menubuhkan — dan mengembangkan — parti baharu, Parti Keadilan Nasional, yang kemudiannya mencorakkan dinamika politik tersendiri dan perlahan-lahan meranapkan dominasi Umno-BN.

Bukan rahsia umum lagi, terdapat ramai aktivis Pas bersikap terbuka dan turut merancakkan usaha menolong PKN bertapak di kawasan tertentu. Bagi mereka, tidak timbul soal saingan, yang penting sama-sama menawarkan pilihan terbaik buat pengundi.

Hubungan erat pemimpin Pas, khususnya Ustaz Fadzil dengan Anwar bermula dalam ABIM apabila kedua-duanya pernah bergandingan sebelum Anwar ditahan ISA pada 1974. Susulan krisis politik Kelantan 1977, beberapa pemimpin kanan ABIM menyertai Pas, termasuk Ustaz Fadzil.

Bagaimanapun, menjelang PRU1982, kejutan berlaku apabila Anwar mengisytihar sokongan kepada presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad dan menjadi calon BN dalam pilihan raya itu di Permatang Pauh yang sebelumnya dimenangi Pas pada 1978. Perang dingin Pas-ABIM pun bermula.

Dalam banyak keadaan, Anwar seperti menjadi benteng terakhir Umno berdepan dengan Pas, terutama isu-isu berkaitan agama. Anwar turut dipertanggungjawab melaksanakan dasar penerapan nilai-nilai Islam.

Sehingga dipecat pada 1998, hubungan Anwar-Pas boleh difahami memandangkan posisi strategik Anwar dalam kerajaan dan Umno. Namun, dipercayai Ustaz Fadzil tetap meneruskan persahabatan dengan Anwar, menyebabkan Pas mudah mengerahkan sokongan kepadanya apabila era Reformasi tercetus.

Hasilnya, melalui PRU1999, Pas memperolehi kemenangan besar. Pembentukan Barisan Alternatif, merangkumi DAP juga suatu rekod. Terengganu direbut dan Kelantan dipertahan. Penguasaan 27 kerusi Parlimen adalah pencapaian terbaik sepanjang sejarah. Ustaz Fadzil dipilih ketua pembangkang.

Dalam pilihan raya tersebut, Anwar yang dipenjarakan adalah ikon baharu dan faktor pemersatu pembangkang. Anwar juga calon perdana menteri jika BN dapat dikalahkan. Poster mata lebamnya menjadi imej paling popular dalam kempen. Lidah rasmi Pas, Harakah dijual hampir 400,000 naskhah, dicetak dua kali seminggu, meningkat hampir enam kali ganda. Majoriti pengundi Melayu menolak Umno.

Barisan Alternatif yang dipimpin Pas tidak kekal lama. Kontroversi negara Islam dan tragedi 911 membibitkan pergeseran dalaman. Kematian Ustaz Fadzil menyerlahkan jalur keras dalam Pas.

Peralihan kuasa Dr Mahathir kepada Abdullah Ahmad Badawi menjadikan PRU2004 rekod terbaik BN; lebih 90 peratus kerusi Parlimen dikuasainya dan Terengganu ditawan balik. Dokumen Negara Islam Pas tidak mendapat sambutan baik masyarakat.

Tanpa sebarang harapan, keputusan PRU2008 mencipta fenomena. Pemerhati melihat tsunami Cina menghantar isyarat jelas kepada BN. Majoriti dua pertiga di Parlimen dinafikan. Lima negeri tumbang kepada pakatan oposisi, yang kemudiannya membentuk Pakatan Rakyat. Malah ada ura-ura kerajaan bakal bertukar jika sebilangan ahli Parlimen BN berpaling tadah.

Malangnya, masa sama, Pas dilanda konflik dalaman ekoran tawaran Umno membentuk kerajaan perpaduan di beberapa negeri, khususnya Perak dan Selangor. Isu-isu seperti survival politik Melayu-Islam terancam dan dominasi DAP mula dimainkan. Anwar pula perlahan-lahan ditonjolkan sebagai tokoh berfikiran liberal dan pro-Barat. Kes Liwat II memburukkan lagi keadaan.

PRU2013 membawa bersama momentum lima tahun sebelum itu. Impian menubuhkan kerajaan baharu cukup membara. Anwar buat pertama kali mengemudi pakatan pembangkang secara nyata. Sayangnya, konsensus gagal diperolehi untuk menamakan calon perdana menteri, jika Pakatan Rakyat menang.

Difahamkan Pas menolak cadangan menamakan Anwar, personaliti yang mengubah lanskap politik negara sejak 1998. Tiada alasan jelas diberikan tetapi dipercayai kerana pemimpin tertentu Pas mula melihatnya sebagai liabiliti terhadap masyarakat Melayu. Rekod kes liwat yang diputuskan mahkamah juga banyak mencalarkan reputusai bekas TPM itu. Maknanya, Anwar bukan lagi wira tetapi sosok yang dicurigai. Sebaliknya ada usaha Pas untuk membawa Tengku Razaleigh Hamzah — yang masih aktif dalam Umno — sebagai calon PM Pakatan Rakyat. Satu percubaan yang tidak masuk akal!

Konvensyen Pakatan Rakyat menjelang PRU13 di Shah Alam tidak berjaya mencapai kata putus menamakan calon perdana menteri. Pas dikatakan punca kegagalan yang bersifat antiklimak itu. Ada pihak berpandangan, selagi Pas dipimpin Ustaz Abdul Hadi Awang, sukar sekali untuk menjernihkan kembali hubungan dengan Anwar.

Justeru, bukan perkara pelik, apabila baru-baru ini Pas mencadangkan untuk membawa ke Dewan Rakyat usul percaya kepada Dr Mahathir sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal ini. Usul ini adalah usaha berterusan Pas “menangguk di air keruh” dan mengadu-domba kerajaan Pakatan Harapan.

Semasa dalam koalisi bersama Anwar dahulu pun Pas tidak dapat menyembunyikan rasa kurang senang dengan Presiden PKR itu, inikan pula selepas berpakat dengan Umno bagi menjatuhkan kerajaan. Siang malam memerah otak untuk memburukkan kerajaan.

Menjelang PRU14, Pas lebih senang dengan Perdana Menteri Najib Razak, sang kleptokrat global, berbanding Mahathir yang berusaha gigih menggembleng setiap potensi untuk menumbangkan regim Umno-BN. Pelbagai inisiatif Mahathir-Bersatu untuk membawa Pas bersama dalam “grand coalition” tetapi ditolak. Kononnya Pas memilih pendekatan sebagai “penasihat” tetapi sebenarnya ia satu strategi untuk memecahkan undi pembangkang, bagi mengekalkan Najib. Ternyata ia taktik makan tuan dan pemimpin Pas berputih-mata melihat PH menubuhkan kerajaan baharu, malah lebih kecewa lagi “para pengkhianat” daripada Parti Amanah Negara dilantik menteri.

Tidak sukar untuk memahami sifir politik Machiavelli Pas. Apa jua isu atau perkara yang dilihat menguntungkan politiknya, maka itulah pegangan Pas. Semasa PRU14, Najib menjadi pilihan, dengan harapan membentuk kerajaan bersama BN. Kini, isu peralihan kuasa nampak menjadi pergeseran dalam PH, khususnya di antara penyokong Mahathir-Anwar. Lalu, kontroversi ini dimanipulasi sepenuhnya Pas, dengan harapan meraih keuntungan maksimum.

Aneh sekali membaca kenyataan Timbalan Presiden Pas, yang membayangkan kesediaan parti Islam itu menerima proses pembetukan kerajaan “pintu belakang” atau “melalui tingkap” sekalipun, asalkan tidak bercanggah dengan Perlembagaan. Lebih mengejutkan, Tuan Ibrahim Tuan Man merujuk kepada kes kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak pada 2009, selepas beberapa Adun PKR dan DAP “berpaling tadah”. Seolah-olah tiada lagi pertimbangan moral atau akhlak, asalkan menepati kehendak undang-undang.

Selain bertujuan merobek keutuhan PH, perseteruan pemimpin tertinggi Pas dengan Anwar mungkin faktor mereka lebih menyenangi Mahathir. Anwar juga dilihat bakal menyukarkan lagi Pas (dan Umno) dalam PRU15. Tidak syak, pembangkang cukup ghairah memasang angan-angan menguasai Putrajaya, terutama selepas calon-calon PH dikalahkan dalam siri pilihan raya kecil. Pada andaian mereka, PH berdepan krisis besar jika proses peralihan kuasa berjaya digagalkan. Sekiranya Mahathir bukan lagi perdana menteri interim, kesepakatan PH nescaya musnah. Sedangkan empat komponen PH yang bersatu, dan persefahaman Mahathir-Anwar adalah pelengkap kepada kemenangan rakyat pada 9 Mei 2018.

Pertukaran teraju negara seringkali menyediakan iklim politik lebih kondusif buat penyandang apabila rakyat cenderung memberi peluang buat ketua yang baharu, manakala bagasi lama tidak begitu diambil kira. Meskipun Anwar juga terdedah dengan kelemahan dan imej kelabu, sekurang-kurangnya mendekati PRU15 yang kritikal itu, aura pembaharuan dijangka boleh mencipta gelombang positif. Sedangkan inilah peluang terbaik Pas bersama Umno memastikan slogan “kerajaan sepenggal” menjadi realiti.

Tidak kurang juga yang membuat andaian liar; mungkin ada “fail kes” tertentu Pas yang dipegang Mahathir menyebabkan terpaksa mengambil hati perdana menteri. Ataupun kenyataan pertama Anwar dalam ceramah pertamanya di Petaling Jaya selepas memperolehi pengampunan diraja, yang menekan misinya untuk merampas negeri Terengganu dan Kelantan menyebabkan Pas berkerat rotan.

Di pihak PH pula, harus dipelihara persefahaman di antara parti-parti komponen bagi melicinkan proses peralihan kuasa.

Buat Bersatu dan PKR, dua parti yang menonjol kepentingan masing-masing dalam polemik ini, perlu mengawal reaksi pemimpin khususnya di lapisan pertengahan. Peralihan kuasa perdana menteri membabitkan parti berbeda adalah eksperimen baharu yang menuntut ketelitian menangani persoalan-persoalan sensitif.

 Harus diakui timbul beberapa kebimbangan pihak tertentu ekoran peralihan ini dan ia wajar diberi perhatian serius.

 Mungkinkah asas-asas yang melatari perkongsian kuasa era Mahathir akan dikekalkan?

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.