https://critoxium.com/shop/

Terkini

Salahuddin jelaskan kenapa tak jumpa Sultan Johor

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menjelaskan beliau tidak dapat bertemu dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail semalam kerana mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Adun Simpang Jeram itu tidak sempat untuk balik ke Johor dan akan bertemu dengan Sultan Ibrahim dalam masa terdekat bagi menyatakan pihak yang disokong.

“Pertemuan dengan Sultan Johor dibuat pada hari yang sama. (Pertemuan) dibuka dari 2 petang hingga 5 petang.

“Saya menunaikan tanggungjawab saya di Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi FMT.
Salahuddin hari ini dalam perjalanan ke Johor.

“Saya cuba hari ini atau esok. Kalau diizinkan, saya mahu nyatakan sokongan secara terbuka,” katanya.

Istana Johor hari ini mengisytiharkan Umno dan PPBM Johor mewujudkan gabungan baru dan memperolehi bilangan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baru.

Istana Johor membuat pengumuman itu selepas Sultan Johor berpuas hati gabungan Umno-PPBM di Johor mempunyai majoriti cukup, dengan 28 ahli Dewan Undangan Negeri memilih gabungan baru berbanding 26 memilih Pakatan Harapan.

Menurut kenyataan itu, daripada 56 Adun yang dipanggil, 2 orang tidak dapat menghadirkan diri iaitu Salahuddin dari Amanah, dan Adun Puteri Wangsa, Mazlan Bujang dari PPBM.

Mazlan ketika dihubungi mendakwa sudah bertemu dengan Sultan Johor semalam tetapi meminta penangguhan untuk membuat keputusan.

Pengerusi PPBM Johor itu bagaimanapun enggan mengulas kenyataan Sultan Johor hari ini.

“Saya tiada komen mengenai kenyataan Sultan Johor.

“Saya akan membuat keputusan dalam masa terdekat,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.