https://critoxium.com/shop/

Terkini

Seragam undang-undang syariah jika mahu dihormati, kata peguam syarie

PETALING JAYA: Undang-undang syariah di negara ini akan lebih dihormati jika ia diseragamkan kerana situasi masa kini menyebabkan undang-undang itu dipandang rendah akibat wujudnya perbezaan di setiap negeri.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, menjadi harapannya untuk melihat undang-undang syariah diseragamkan kerana ia bukan sahaja memudahkan tugas peguam syarie, malah memudahkan rakyat memahami undang-undang berkenaan.

“Kita sokong kalau ia diseragamkan kerana isu sekarang ini adalah mahkamah syariah berada di bawah bidang kuasa negeri.

“Berlaku kesukaran buat pengamal undang-undang kerana apabila ada perbezaan antara negeri, kita kena baca undang-undang di sesebuah negeri itu,” katanya
Sebelum ini, bekas mufti Terengganu, Ismail Yahya dilaporkan berkata, umat Islam di Malaysia tidak dilayan secara adil kerana undang-undang syariah tidak seragam antara negeri.

Ismail yang juga bekas ketua hakim syariah di Terengganu berkata, kempen menghentikan perkahwinan bawah umur dalam kalangan orang Islam gagal kerana beberapa negeri mempunyai kuasa membenarkan gadis semuda 16 tahun berkahwin.

Namun, katanya, terdapat kisah kejayaan pemusatan perkara berkaitan Islam, contohnya Tabung Haji dan perbankan Islam.

Terdahulu, Presiden PKR Anwar Ibrahim turut mencadangkan mufti daripada semua negeri membincangkan penyeragaman undang-undang syariah. Baginya, terdapat kewajaran dalam cadangan itu, tetapi beliau menekankan sesetengah aspek undang-undang syariah perlu ditafsir secara neutral.

Mengulas lanjut, Musa berkata, tidak dinafikan isu melibatkan kuasa raja-raja sebagai ketua agama Islam di negeri akan menjadi perhatian sekiranya undang-undang syariah diseragamkan.

Namun katanya, sultan-sultan di negeri akan lebih dihormati dan disayangi rakyat sekiranya undang-undang berkenaan dapat diseragamkan.

“Kita faham perkara ini kena ada kesepakatan. Ingin dinyatakan, walaupun menyamakan undang-undang, kuasa sultan di negeri-negeri tetap tidak akan terhakis.

“Malah, orang akan pandang tinggi lagi kuasa raja-raja kerana mereka boleh bersatu,” katanya.

Menurutnya, beliau sendiri tidak memahami apakah rasional di sebalik pengasingan undang-undang syariah bagi negeri-negeri kerana terdapat beberapa perkara melibatkan urusan agama Islam seperti Tabung Haji, perbankan Islam dan isu berkaitan halal ditadbir kerajaan persekutuan.

“Saya sendiri tidak pasti kenapa ia berlaku, sepatutnya ada persefahaman antara negeri dan kerjasama antara negeri supaya tidak wujud perbezaan.

“Berbeza dengan peguam sivil yang mempunyai undang-undang seragam dan terpakai di seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.