https://critoxium.com/shop/

Terkini

Amat bersejarah episod ini kerana DAP mempertahankan PAS

Oleh Abd Malek Hussin

Aku merakamkan sejarah menghadiri sidang Dewan Rakyat pada hari Selasa, 8 November 1977 bagi mengikuti perbahasan Rang Undang-undang Kuasa-kuasa Darurat (Kelantan).‬

‪Sidang itu amat bersejarah dalam hidup aku kerana hari itu adalah kali pertama aku menghadiri sidang Dewan Rakyat. Aku berusia 21 tahun pada ketika itu.‬

‪Cukup bermakna aku mengikuti kerana Dewan Rakyat membahas suatu usul Kerajaan BN untuk mendaruratkan Negeri Kelantan yang didominasikan PAS ketika PAS menganggotai BN.‬

‪Darurat diisytiharkan bagi mengatasi kemelut krisis politik perebutan kuasa dalam Kerajaan Kelantan pimpinan Menteri Besar Datuk Mohamad Nasir yang digulingkan melalui usul undi tidak percaya ‘Kumpulan 20’ ADUN PAS yang diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri pada 15 Oktober 1977.‬

‪Rusuhan meletus di Kelantan akibat kemarahan rakyat kepada PAS yang menumbangkan kerajaan MB Datuk Mohamad Nasir. Haruhara, kemusnahan harta benda dan krisis politik yang berterusan menjadi alasan kepada UMNO yang berkuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan darurat bagi tujuan merampas kuasa dari PAS di Kelantan.‬

‪Pada 8 November 1977, Perdana Menteri Datuk Hussein Onn selaku Presiden UMNO dan BN membentangkan sendiri usul Rang Undang-undang Kuasa-kuasa Darurat (Kelantan) dan disokong oleh Menteri Buruh dan Tenaga Rakyat, Datuk Lee San Choon yang juga Presiden MCA.‬

‪Sangat bersejarah perbahasan Dewan pada hari itu. ‬

‪Aku mengikuti perbahasan dua tokoh PAS saling tajam berbeza pendirian mengenai usul Perdana Menteri, iaitu antara Yang Di-Pertua PAS, Datuk Mohd Asri Muda yang menentang usul dan Timbalan Yang Di-Pertua PAS, Datuk Hassan Adli Arshad yang menyokong usul.‬

‪Berucap menentang keras usul PM selama sejam, Datuk Asri yang hampir lima tahun menjadi Menteri Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah membidas Kerajaan BN yang “memperkosa Fasal 150 Perlembagaan untuk mewujudkan kuasa darurat bagi mengambilalih pemerintahan Negeri Kelantan”.‬

‪Mengenai pendiriannya terhadap BN dan Kerajaan, Datuk Asri berkata, “Saya dan rakan- rakan saya terpaksa keluar daripada Jemaah Menteri atau Kerajaan ialah kerana hendak mencari keadilan. Saya hendak menjaga nama baik Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri yang ada sekarang, supaya jangan saya berdiri di kerusi Menteri itu bercakap menentang Perdana Menteri sendiri. Saya merelakan diri meninggalkan tempat itu datang ke mari untuk menyatakan pendirian. Keputusan keluar daripada Kerajaan — bukan keluar daripada Barisan Nasional — dibuat oleh parti dan sebagai manusia ber-parti, manusia politik yang berparti, mesti patuh kepada arahan parti, demikian PAS, demikian UMNO, demikian DAP, demikian apa-apa parti sekalipun.”‬

‪Mempertegaskannya lagi, Datuk Asri berkata, “Parti PAS telah memutuskan semua Menteri, semua Timbalan Menteri dan semua Setiausaha Parlimen mestilah berhenti kalau Rang Undang-undang ini hendak dibawa juga. Sebab Rang Undang-undang ini kami merasakan satu Rang Undang-undang yang akan memperkosakan hak-hak demokrasi walaupun undang-undang demokrasi membenarkannya.”‬

‪Ketika giliran Datuk Hassan Adli, beliau nyatakan pendirian berbeza dengan Datuk Asri dengan berkata, “Saya boleh katakan di sini saya telahpun duduk di dalam parti ini selama lebih dari- pada 20 tahun, saya telah berjuang di dalam parti ini tidak untuk mencari kekayaan. Saya sedar apa yang berlaku yang akan dilakukan oleh Ketua Parti itu terhadap saya, tetapi saya yakin bahawa pendirian yang saya ambil ini untuk menyokong Rang Undang-undang ini ialah demi kepentingan umat negeri Kelantan sendiri. Saya sedar bahawa Ketua Parti itu boleh melakukan apa yang diistilahkan sebagai ''tindakan disiplin" kepada saya dan ini adalah terserah kepada kemahuannya.”‬

‪Berikutan dengan pendirian Datuk Hassan Adli, beliau terpecat sebagai anggota PAS dan Timbalan Yang Di-Pertua PAS kerana melanggar pendirian parti menentang Rang Undang-undang Darurat Kelantan.‬

‪Aku juga mengikuti perbahasan Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang yang berbahas menentang usul. Aku amat tertarik dengan hujah-hujah perbahasannya.‬

‪Lim Kit Siang berkata, kesal dengan tindakan Kerajaan membawa ke Parlimen usul “perisytiharan darurat dan penguat-kuasaan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dengan tujuan menggantungkan Perlembagaan Negeri Kelantan dan mengadakan pemerintahan ala-Mageran di negeri tersebut merupakan suatu "subversion" kepada basis demokratik Perlembagaan Malaysia.”‬

‪Lim Kit Siang kemudiannya menggesa penyelesaian kemelut politik Kelantan harus mengikut prinsip amalan demokrasi dan bukannya pengisytiharan darurat. Beliau berkata, “Sebenarnya, dalam Kelantan tidak ada krisis Perlembagaan oleh kerana parti-parti yang majoriti yang boleh melantik seorang Menteri Besar. Kalau kita memegang teguh kepada prinsip demokrasi bahawa kuasa ialah akhirnya daripada rakyat, satu cara atau satu formula yang baik ialah untuk mengadakan pilihanraya besar di Negeri Kelantan supaya orang ramai dapat satu peluang untuk menentukan siapa yang mereka mahu membentuk Kerajaan yang baru, mengikut cara demokrasi. Lagi satu jalan ialah untuk parti-parti yang mempunyai majoriti control bebas berhak melantik Menteri Besar.”‬

‪Setelah dibahaskan oleh ramai lagi ahli-ahli Dewan dari berbagai parti, Dewan Rakyat menjalankan pengundian belah-bahagian.‬

‪Keputusannya — Yang Bersetuju 118; Yang Tidak Bersetuju 18.‬

‪Paling menariknya, 11 MP PAS dan 7 MP DAP bersama-sama menentang Rang Undang-undang Kuasa-kuasa Darurat (Kelantan) yang dikemukakan UMNO dan BN. ‬

‪Amat bersejarah episod ini kerana DAP berpendirian menegakkan demokrasi mempertahankan PAS, sementara UMNO mengancamnya dan Timbalan Yang Di-Pertua PAS sendiri menentang pendirian PAS bagi menolak usul Kerajaan BN untuk mendaruratkan Negeri Kelantan dan menghalang PAS daripada membentuk kerajaan di Kelantan.‬

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.