https://critoxium.com/shop/

Terkini

Isu pencerobohan kapal China di perairan Malaysia: Mana peranan Duta Khas?

Duta Khas ke China, Tiong King Sing dikritik seolah-olah meremehkan insiden provokasi kapal Petronas di perairan Malaysia, selepas mengeluarkan kenyataan bahawa kapal asing yang disyaki melanggar perairan negara telah berlaku dari masa ke semasa sejak di zaman BN dan Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Biro Antarabangsa AMANAH, Raja Kamarul Bahrin Shah, mempersoalkan adakah Tiong sedar insiden yang mengorbankan lapan nyawa warga Vietnam di perairan negara itu dalam satu rempuhan bot oleh kapal ronda China

Beliau turut mengingatkan, bagaimana China tidak menghormati keputusan Tribunal Antarabangsa yang telah menolak tuntutan pulau-pulau Laut China Selatan, malah tetap meneruskan pembinaan pengkalan Navy dan landasan kapal terbang gred tentera.

“Ini berlaku berdekatan perairan Serawak dan Sabah.

“Lebih menghairankan, Tiong adalah ahli Parlimen Bintulu di mana Sarawak mempunyai kepentingan telaga minyak dan gas serta keselamatan rakyat asal Sarawak dan Malaysia.
“Adakah Tiong menganggap tugas Duta Khas ke China hanya melibatkan majlis memotong ribon? Atau mengutamakan bidang perniagaan dan perdagangan seperti BN dahulu di mana situasi imbangan perdagangan berat sebelah yang akhirnya merugikan Malaysia?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Kadir Jasin membangkitkan isu pencerobohan kapal China di perairan Malaysia.
Beliau berkata, secara kebetulan sebaik saja Tiong dilantik sebagai Duta Khas bertaraf Menteri, China menghantar dua buah kapal masuk Zon Ekonomi Eksekutif (EEZ).

“Ini kerja dia lah. Selesaikan isu rumit dengan China. Bukan nak bangga dengan kedudukan dan ganjaran saja,” tulisnya dalam catatan Facebook semalam.

Sementara itu Kamarul berkata, kenyataan wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin pada semalam, hanyalah untuk menyedarkan tentang tanggungjawab berat yang perlu dipikul seorang Duta Khas bertaraf Menteri.

Kamarul yang juga Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata lagi, dalam keadaan kuasa besar Amerika dan Britain terikat dengan wabak Covid-19, China yang sudah mula pulih akan cuba mendominasi pentas perniagaan dan ketenteraan global.

Jelasnya, dengan kuasa kewangan serta ketenteraan yang hebat, China menerusi sistem kerajaan komunis boleh menggerakkan industri dan rakyatnya dengan lebih cepat dan hebat untuk menjadi kuasa dominan dunia.

Apakan lagi rantau ASEAN yang kerdil ini jika Malaysia terus kaku dan tidak tegas, katanya.
Tambahnya lagi, sekiranya Malaysia dan negara ASEAN tidak bersuara membela maruah negara sendiri, tidak perlu diharapkan kuasa besar lain yang akan bergelut untuk survival negara sendiri.

“Kami mendesak kerajaan Malaysia membela kedaulatan Negara sebagai keutamaan dan jangan kembali ke zaman gelap BN dimana kita melutut pada China untuk keuntungan perdagangan.

“Walaupun kerajaan PN merupakan kerajaan yang bukan dipilih rakyat tetapi yang pecah masuk masuk melalui pintu belakang, kerajaan tanpa restu dan redha rakyat ini perlu membuktikan kesungguhan dan kewibawaan diri.

“Janganlah pula kerajaan pintu belakang PN ini merestui budaya kuasa asing China untuk menceroboh masuk pintu belakang demi menakluki perairan serta kepulauan negara yang baru sahaja dinodai oleh pencerobohan dalaman,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.