https://critoxium.com/shop/

Terkini

Krisis Covid-19: Bersatu membina semula negara

1. Suasana krisis adalah situasi yang melanda sesebuah negara yang menjejaskan kehidupan dan aktiviti masyarakat dari sudut keselamatan mereka. Ia boleh berlaku dalam berbagai bentuk samada bencana alam, serangan bersenjata, keperluan asas terjejas dan terancam mahupun jika berlaku serangan siber menjejaskan seluruh infrastruktur negara.

2. Dalam kes covid, ancamannya ialah kesihatan awam yang terjejas akibat wabak virus yang belum ada penemuan vaksin. Ia menjadi pandemik global secara resmi pada 11 Mac yang menandakan bahawa Covid-19 telah tersebar luas dan setiap kerajaan dunia dan rakyat perlu menanganinya sebagai krisis kesihatan awam yang mengancam keselamatan nyawa penduduk dunia.
3. Impak ekonomi kepada dunia dan negara kita secara khusus telah meninggalkan bekas yang mendalam kepada sektor swasta khususnya kerana dibuang kerja, diberi cuti tanpa gaji ataupun arahan pemotongan gaji dan elaun. Syarikat terpaksa menampung kerugian dan hampir 8 juta pekerja swasta di negara ini terjejas teruk justeru memberi kesan kepada kerajaan kerana enjin pembangunan negara terjejas.
4. Peranan kerajaan menjadi sangat penting pada masa krisis kerana ia terpaksa berbelanja pakej stimulus yang besar. Malaysia telah memperuntukkan sekitar RM20 bilion secara terus untuk membantu rakyat yang terjejas dan secara tidak langsung dengan mengambil kira keperluan kecairan dan keperluan ekonomi perlu digerakkan semula setelah terhenti semasa PKP dalam waktu yang agak panjang. Pada waktu yang sama kerajaan berada pada posisi tertekan antara keupayaan sumber kewangan yang terhad dan kos yang besar untuk menjaga kebajikan rakyat serta pada waktu yang sama usaha pemulihan ekonomi yang terjejas teruk.

5. Dalam mengendalikan suasana ini keberkesanan kerajaan menyampaikan RM20 bilion kepada sasaran diikuti dengan penuh berhati-hati. Soal integriti, ketelusan dan penyelarasan setiap agensi penyampai menjadi tekanan kepada seluruh jentera kerajaan yang terlibat. Dalam pada itu, kita dikejutkan siastaan SPRM ke atas Kementerian Kesihatan Malaysia di mana peruntukkan RM30 juta yang dikatakan diberikan kepada sebuah syarikat yang tidak layak. Begitu juga nilai bantuan makanan asas yang diperuntukkan bernilai RM100 didapati diagihkan pada nilai RM30 sahaja.
Integriti yang dipertikaikan semasa krisis boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan ini akan membantut usaha memulihkan keadaan.

6. Satu ciri yang diperlukan semasa krisis ialah kadar kepantasan kerajaan bertindak dan ia memberi kesan kepada persepsi rakyat tentang sejauhmana keberkesanan jentera kerajaan dan kepimpinan negara mengendalikan keadaan. Kerajaan- kerajaan di Amerika, Barat dan Eropah yang mengamalkan keterbukaan dikritik teruk oleh rakyatnya walaupun sesetengah kerajaan dunia seperti Jerman dikatakan paling efektif dalam mengurus krisis Covid-19.

7. Sebagai rekod, semasa tercetus covid di Wuhan, Kerajaan PH masih memerintah dan telah pun membuat langkah menangani keadaan dari Disember sehingga hujung pertengahan Februari. Malangnya ‘Langkah Sheraton’ bermula pada 23 Feb 2020 semasa covid telahpun mengambil mangsanya dan menyebabkan suasana politik nasional terumbang ambing selama seminggu sekaligus hilang tumpuan kepada peningkatan kes-kes mangsa covid.

8. Pada 1 Mac Perdana Menteri baru Tan Sri Mahyudin Yasin angkat sumpah membentuk kerajaan baru dan telah meninggalkan kesan mendalam kepada politik nasional dengan label kerajaan tanpa mandat rakyat. Keadaan ini telah mencipta jurang lebih luas antara penyokong PH dan mereka yang menyokong PN sekaligus menyukarkan pembentukan solidariti dan konsensus semasa krisis. Rakyat yang sepatutnya menumpukan perhatian kepada krisis diheret dengan isu politik hasil daripada rasa tidak puas hati pihak penyokong masing-masing.
9. Ketelusan kerajaan PN terus dipertikai kerana keengganan kerajaan memanggil sidang parlimen tergempar lebih awal untuk membahaskan pakej rangsangan. Hanya pada 18 Mei nanti satu sidang selama satu hari sahaja diadakan atas sebab keperluan perundangan. Kerajaan PN telah menidakkan satu amalan biasa mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen iaitu memanggil sidang tergempar semasa krisis untuk dibincang secara telus. Sebab PKP bukan alasan untuk tidak boleh bersidang, ia tetap dapat dilangsungkan samada secara maya atau secara penjarakan. Keputusan dasar besar semasa krisis tidak boleh diputuskan oleh pihak eksekutif semata-mata, ia memerlukan konsensus untuk membuktikan solidariti negara menghadapi krisis, malangnya peluang ini disiakan oleh PN.
10. Tindakan ini membentuk persepsi awal sikap tidak menghormati instituisi parlimen yang merupakan tempat utama keputusan besar negara dibuat bagi membincangkan keadaan gawat dunia dan negara. Keadaan menjadi lebih buruk, apabila Perdana Menteri Muhyidin mengakui semasa mengumumkan pakej rangsangan pertama bahawa beliau memimpin sebuah kerajaan tanpa mandat rakyat (KTMR). Seluruh negara sedia maklum kemunculan kerajaan PN adalah hasil beberapa usaha dari dalam kerajaan PH dahulu (fraksi PKR dan PPBM) untuk berunding cara sulit dengan parti komponen luar PH seperti Umno, Pas dan GPS untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang mendapat mandat rakyat.

11. Setiap tindakan kerajaan PN mengendalikan krisis covid dihantui dengan imej kerajaan tanpa mandat (KTMR) dan dihambat perasaan ‘bersalah’ lalu menjejaskan hubungan kepercayaan antara rakyat dan kerajaan. Dalam suasana krisis kepercayaan kepada kerajaan sangat penting dan kerajaan PN telah hilang satu syarat penting ini dalam mengendalikan krisis.

12. Kejayaan sesuatu krisis turut ditentukan dengan sejauhmana kerajaan memberi fokus sepenuhnya kepada masalah yang dihadapi, ia akan menghasilkan keputusan-keputusan yang mengambil kira semua aspek untuk mengurangkan risiko. Malangnya, tumpuan menyelesaikan masalah teralih apabila kerajaan PN lebih tertumpu untuk ‘membalas jasa’ rakan konspiratornya dari Umno dan Pas serta kelompok fraksi yang mendokongnya. Untuk kekal berkuasa Perdana Menteri tertekan oleh desakan rakan-rakan komponen PN agar mengagihkan jawatan-jawatan penting kerajaan termasuk saiz kabinet seramai 70 orang yang dianggap terlalu besar.

13. Kepantasan masa untuk bertindak memberi kesan kepada cara krisis diuruskan. Antara kejayaan Jerman berbanding dengan Amerika ialah kadar kepantasan keputusan dibuat dan kadar penyampaian pakej selamatkan ekonomi diagihkan. Termasuk kadar kepantasan ialah penyelarasan yang baik antara kuasa persekutuan dan negeri-negeri untuk menjayakan keputusan-keputusan penting negara.
14. Keputusan membuka ekonomi 4 Mei adalah contoh penyelarasan yang lemah kerana walaupun Kerajaan Persekutuan mengarahkan aktiviti ekonomi dibuka di seluruh negara, tujuh negeri enggan patuhi seperti Sabah, Sarawak, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Pahang dan Kelantan. Malah Menteri Kanan DS Azmin Ali mengeluarkan kenyataan dalam nada mengugut negeri-negeri agar menghormati keputusan peringkat persekutuan.
15. Kita harus menerima kenyataan bahawa kelemahan dalam penyampaian sentiasa akan menjadi penilaian terhadap mana-mana prestasi kerajaan dan satu mekanisma semak-imbang sangat diperlukan. Insiden politik nasional semasa kemuncak covid 19 melanda negara adalah episod yang semua rakyat terpaksa telan dengan kepahitan. Kita diuji antara meneruskan rasa tidak puas hati sebahagian kita terhadap apa yang berlaku pada politik negara ataupun menyelesaikan bersama krisis pandemik yang punya kepentingan nasional yang lebih besar.

16. Di saat kesukaran ini, kita perlu memilih kepentingan nasional untuk memulihkan negara dengan membetuli keadaan melalui sama-sama kita membina daya tahan nasional. Negara perlu bangkit dengan seluruh rakyat berganding bahu membina kubu kukuh ketahanan negara. Ini bukan bermakna tidak ada perbezaan politik tetapi titik kesatuan adalah berpaksikan keutamaan kepentingan negara dan membina budaya konsensus melalui perdebatan sehat.
17. Ketahanan nasional atau ketahanan negara ditakrifkan dengan makna kekuatan negara dan kekebalannya untuk berhadapan dengan krisis serta kadar kepantasan negara mampu bangkit kembali setelah berlalunya krisis. Dalam konteks Malaysia, ketahanan negara bergantung kepada dua paksi yang selama ini membentuk polisi pembangunan negara, iaitu pertumbuhan ekonomi dan perpaduan nasional.
18. Buat masa ini semua rakyat perlu bekerjasama untuk menentang pihak yang punya kepentingan diri dan mengambil kesempatan untuk memenuhi agenda kelompok dan kumpulan masing-masing.

Golongan oportunis semasa krisis adalah mereka yang masih diheret dengan menyebarkan kebencian kelompok, kebencian kaum dan kebencian agama sesama rakyat. Mereka gagal memahami konsep kerakyatan yang melihat berbagai bangsa dan etnik di Malaysia sebagai warganegara dan rakyat yang cintakan negara. Mereka menggunakan agama dan bangsa untuk mewajarkan kebencian mereka kepada kaum lain dan agama lain untuk tujuan kuasa dan kepentingan diri.

19. Rakyat harus bersatu dalam membina ketahanan negara dengan menentang perasuah-perasuah yang penting diri kerana terdorong atas kepentingan wang di atas penderitaan rakyat. Sejauh mana solidariti kita menentang mereka akan menentukan kejayaan rakyat Malaysia melalui krisis pandemik ini. Ini bukan masanya kita mempertahankan kelompok kita tetapi inilah masanya kita mempertahankan kepentingan negara bersama. Politik ini adalah asas kepada membentuk perpaduan nasional melalui budaya memupuk konsensus kepada perkara-perkara prinsip yang menjayakan integriti sebuah negara.

20. Saya yakin dalam masa krisis ini rakyat Malaysia punya daya ketahanan yang tinggi bagi membantu negara kita bangkit semula dan opitimis Malaysia akan menjadi lebih kuat dari sebelumnya dengan solidariti yang telah kita pupuk semasa krisis. Saya yakin kepada prinsip dalam mengendalikan krisis iatu dalam setiap krisis ada peluang dan peluang terbaik yang kita ada hari ini ialah membina bersama daya ketahanan nasional.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.