https://critoxium.com/shop/

Terkini

Perjuangan untuk memerangi pandemik Covid-19 masih belum berakhir


Oleh Bartholomew Chan

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau PKPB dilanjutkan untuk tempoh 1 bulan lagi sehingga 9 Jun 2020.

Pengumuman berkenaan sudah dijangka memandangkan masih ada kawasan-kawasan tertentu yang mencatatkan bilangan jangkitan yang tinggi.

Keputusan untuk melanjutkan PKPB ini juga bagi memberikan ruang dan masa kepada barisan hadapan untuk memerangi pandemik Covid-19 yang masih ada dalam komuniti.

Ternyata, langkah berkenaan adalah tindakan terbaik dalam usaha Kerajaan untuk terus memutuskan rangkaian pandemik itu. Tatkala negara-negara lain mula membuka semula kegiatan ekonomi mereka, Malaysia mengambil pendekatan yang berhati-hati agar tidak melakukan kesilapan seperti mana yang dialami oleh Jepun dan Kanada.

Potensi untuk bilangan kes jangkitan melonjak semula sememangnya ada. Kini, kita mendengar ada kluster pekerja asing, kluster pasar pagi di Petaling Jaya dan juga kluster tapak pembinaan. Jika kluster-kluster sedemikian dibiarkan begitu juga, maka tidak hairanlah selepas ini jangkitan akan naik semula.

Mungkin ada antara kalangan rakyat yang tidak sependapat dengan tindakan Kerajaan untuk terus melanjutkan PKPB ini. Namun begitu, kesihatan rakyat negara harus menjadi keutamaan. Sekiranya semua rakyat sakit, bagaimanakah ekonomi negara dapat digerakkan semula?

Oleh itu, bersabarlah wahai rakyat Malaysia. Kita sudah pun mengharungi empat fasa PKP sepanjang 2 bulan lalu dan syukur sepanjang tempoh tersebut, rakyat masih dapat menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu.

Perjuangan untuk memutuskan rantaian Covid-19 belum berakhir dan barisan hadapan memerlukan sokongan anda untuk memerangi pandemik ini.

Sentiasa patuh kepada arahan yang diberikan. Jaga kebersihan diri dengan membasuh tangan dengan kerap menggunakan hand sanitiser atau sabun. Amalkan penjarakan sosial ketika berada di tempat-tempat awam. Pakai pelitup muka jika anda bergejala.
Bantulah mereka untuk membantu diri anda!

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.