Bukti Muhyiddin sogok wakil rakyat dan hidupkan kembali warisan regim BN
Oleh Ahmad Lutfi Othman
Saya perhatikan, biarpun perdana menteri kerajaan pintu belakang, Muhyiddin Yassin ghairah melantik politikus parti pemerintah, khususnya berstatus ahli Parlimen, sebagai pengerusi syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) atau agensi kerajaan berimbuhan lumayan, menggantikan tokoh profesional yang sebenarnya baru saja dilantik Kerajaan PH, rakyat seakan menerima sahaja.
Sebelum pelantikan beramai-ramai itu dibuat, Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hasan, yang juga Menteri Undang-Undang, mendedahkannya lebih awal lagi. Katanya, ahli Parlimen kerajaan yang tidak memegang apa-apa jawatan dalam Kabinet yang diperbesarkan saiz itu, juga bukan timbalan menteri, akan diberikan jawatan pengerusi GLC. Selain itu, beberapa pemimpin kanan komponen gabungan longgar Perikatan Nasional (PN), dianugerahkan jawatan duta khas perdana menteri bertaraf menteri.
Apabila terbongkar klip audio Muhyiddin semasa mesyuarat pimpinan tertinggi Bersatu pada 23 Februari lalu, yang mengesahkan taktik menambat kesetiaan ahli-ahli Parlimen khususnya Umno itu, ia tidak mengejutkan lagi. Ahli-ahli mesyuarat, berdasarkan klip audio tersebut, seperti bersetuju dan menyokong penuh pendekatan sogokan jawatan GLC yang dicadangkan Muhyiddin.
Benar, PN naik secara “rampasan kuasa tanpa darah” dan tidak pernah menjanjikan apa-apa agenda pembaharuan, tetapi Muhyiddin selepas angkat sumpah perdana menteri pernah menegaskan mahu menampilkan pemerintahan berintegriti dan bersih rasuah. Benar, PH juga ada membuat lantikan tokoh politik mengetuai agensi kerajaan tertentu dan mengundang kritikan, namun tidaklah seburuk yang diamalkan PN.
Di bawah pentadbiran PN, yang mewarisi budaya politik naungan Barisan Nasional (BN), agihan jawatan pengerusi GLC ini dibuat secara terbuka dan dizahirkan motif politiknya oleh Muhyuddin sendiri. Ia juga meliputi hampir semua GLC strategik, sedangkan di bawah PH, pengerusinya lebih banyak disandang oleh tokoh-tokoh profesional yang berpengalaman luas.
Saya tidak mempunyai fakta terpernci yang boleh membandingkan pelantikan politikus oleh Muhyuddin, khususnya wakil rakyat pemerintah, dengan lantikan tokoh profesional atau bekas pegawai kanan kerajaan di bawah pentadbiran PH. Namun, cukuplah dengan memberi contoh rambang beberapa GLC tertentu.
Misalnya, Tenaga Nasional Berhad (TNB); pengerusi barunya, Mahdzir Khalid, naib presiden Umno, juga ahli Parlimen Padang Terap, menggantikan Ahmad Badri Mohd Zahir, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan. Bekas perdana menteri, Mahathir Mohamad dan mantan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menegur pelantikan Mahdzir ini serta mengaitkannya dengan pertuduhan rasuah isteri bekas PM, Rosmah Mansor, membabitkan projek solar Kementerian Pendidikan bernilai lebih RM1 bilion. Mahdzir, bekas Menteri Pendidikan di zaman Najib Razak.
Dua lagi kes, merujuk badan berkanun di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR), iaitu Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Pengerusi barunya yang dilantik Muhyiddin adalah dua wakil rakyat parti pemerintah, menggantikan bekas pegawai kanan kerajaan yang berpengalaman luas. Naib Presiden Bersatu-Muhyiddin, Abdul Rashid Asari, yang juga Adun Selat Kelang, dilantik pengerusi baru LLM menggantikan Zohari Akob, mantan Ketua Setiausaha KKR.
Manakala ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), pengerusi baru CIDB mengambil tempat bekas Ketua Pengarah Kerja Raya, Dr Meor Abd Aziz, yang bersara daripada perkhidmatan awam pada September 2019. Zohari pula baru saja dilantik pengerusi LLM, pada awal tahun 2019. Maknanya, kedua-dua mereka dilantik oleh kerajaan PH yang mengutamakan tokoh profesional dan ditamatkan tugas sebelum kontrak berakhir.
Cuba semak pula beberapa lagi (cukup dengan paparan dua tiga jawatan) GLC atau agensi kerajaan, seperti syarikat perkapalan Antarabangsa MISC, Prasarana, Felda dan Uda Holding.
Noh Omar, ahli Parlimen Tanjong Karang dan bekas Pengerusi Umno Selangor, menggantikan pengerusi MISC yang dimiliki Petronas, Abd Halim Mohyiddin, tokoh profesional berpengalaman. Sementara Tajuddin Abd Rahman, ahli Parlimen Pasir Salak, yang dilihat rapat dengan Najib dilantik Pengerusi Prasarana, menggantikan bekas Hakim Besar Malaya, Zaharah Ibrahim yang baru memegang jawatan itu pada 11 Nov 2019.
Sementara tokoh korporat yang berpengalaman dalam bidang perladangan, Mohd Bakke Salleh, ditamatkan khidmat sebagai Pengerusi Felda walaupun kontraknya hanya akan berakhir pada 30 Jun 2021. Beliau digantikan oleh ahli Parlimen Besut, Idris Jusoh, yang juga bekas Pengerusi Umno Terengganu. Pentadbiran Najib melantik Isa Samad, bekas menteri besar Negeri Sembilan sebagai Pengerusi Felda, tetapi kemudiannya berdepan tuduhan rasuah dan pecah amanah. Pengurusan Felda juga sering dikaitkan dengan manipulasi politik BN.
Contoh terakhir adalah Pengerusi Uda Holdings, Jalaluddin Alias, ahli Parliman Jelebu merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno. Di bawah era PH, pada Mac 2019, Hisham Hamdan, Pengarah Eksekutif Pelaburan Khazanah Nasional, personaliti yang tidak dikaitkan dengan parti politik, dilantik ke jawatan itu.
Beberapa kes di atas menunjukkan dengan jelas pentadbiran PN mengeksploitasi GLC dan agensi berkanun untuk memantapkan pengaruh politik dan mengikat sokongan wakil-wakil rakyat. Kes-kes yang terpilih itu juga membuktikan, biarpun ada kelemahan tertentu PH, namun nampak pentadbiran Mahathir cuba melaksanakan beberapa pembaharuan, termasuk berkaitan GLC. Golongan profesional dan yang berpengalaman luas diberikan peluang, menggantikan politikus yang berpengaruh (baca bermaharajalela) di zaman BN dahulu. Sayang sekali, usaha perubahan itu terhenti apabila rampasan kuasa berlaku pada hujung Feb lalu.
Di bawah regim Umno-BN dahulu, GLC dan badan berkanun strategik yang dikuasai politikus dipergunakan semahunya oleh elit politik khususnya semasa kempen pilihan raya. Dana awam dicurahkan untuk mengekalkan sokongan terhadap pemerintah. Sebahagian elaun yang lumayan turut diperuntukkan untuk membantu kempen BN selain kemudahan agensi berkenaan diperalatkan seumpama aset parti. Apakah kita bersedia untuk kembali ke era gelap ini?

Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.