https://critoxium.com/shop/

Terkini

Ezam Dan Azmin Kembar Siam Kepada Anwar


Oleh Mohd Sayuti Omar

Saya mengenali kedua sosok ini di era Reformasi, mereka berdua sebagai pahlawan atau sangsetia Anwar Ibrahim.

 Dalam menulis mengenai mereka saya menyifatkan mereka adalah kembar siam kepada Anwar.

Ezam di kanan Azmin dikiri. Kedua mereka menjadi buruan polis di era reformasi dan mereka "melarikan" diri hingga ke Makkah.

Sama-sama berjumpa dengan seorang Imam di Bukit Jiad untuk memohon dan mengadakan solat hajat minta perlindungan daripada ditangkap polis disamping menyelamatkan juga Anwar dan perjuangan Reformasi. 

Mereka mula renggang, berebut uri sehinggakan Ezam terpisah daripada Anwar. Ezam seorang yang lebih mengalah dan tidak suka bergaduh. Tidak juga pandai membodek boss mereka, Anwar seperti Azmin.

Kekurangan itu menyebabkan Ezam tertanggal daripada Anwar.

 Dan Azmin pula makin mengada-ngada apabila Anwar dibebaskan, dan mula menjadi kaduk naik junjung selepas PKR mencatat kemenangan, merasa dirinya lebih hebat daripada Anwar.

Semasa Anwar dalam penjara Ezamlah dilihat lebih banyak memperjuangkan nasib Anwar, menjelajah ke seantero negara menggerakkan semangat rakyat. Sumpah Pemuda adalah sejarah dicipta Ezam sebagai satu agenda golongan muda dalam PKR.

Pendek cerita, Ezam terpaksa keluar rumah kerana kalah dalam bersaingan dengan Azmin untuk merebut hati dan jiwa Anwar.

Tindakan Ezam itu menjadikan Azmin makin bermaharajalela dan mengganas kemudiannya menjelma menjadi si Kitol.

Terbalik....Azmin sudah meninggalkan rumah ditinggalkan Ezam dan Anwar sekali. Bukan itu sahaja, sambil meninggal dan merobekkan rumah beliau memburuk dan mengkhianati Anwar yang menjadi teras melonjakkannya ke atas.

Ezam pulang yang meninggalkan rumah kerana tidak mahu bergaduh dengan si bapak, kembali setelah melihat si bapak sudah lemah dimamah usia dan dianiayai. Tidak siapa menyuruh, Ezam sedang mempersiapkan diri untuk membela atas perbuatan khianat Azmin ke atas Anwar. Pembelaan itu adalah bukti kasih dan setia sejati Ezam dalam bersahabat tidak pernah terenjat.

Meskipun begitu, pengembalian Ezam diragui sesetengah orang. Mereka yang tidak faham dengan apa yang berlaku sebelum ini, terus membenci Ezam dan tidak pula cuba membandingkan timbangan dosa Ezam dan Azmin terhadap Anwar. Apakah para pengikut Anwar membenci kedua-dua mereka?

Demi merealisasikan pembelaan Ezam dan mahu melihat siapa sebenarnya antara keduanya lebih diterima rakyat atas pengorbanan, jasa dan budi mereka, saya cadangkan agar keduanya diletakkan berentap di kerusi parlimen Gombak dalam Piraum akan datang. PKR mungkin boleh menamakan Ezam sebagai calon mereka untuk "beragun" dengan Azmin

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.