https://critoxium.com/shop/

Terkini

Khairy Jamaluddin dan Mohd Rafizi Ramli Pemimpin Masa Depan


Oleh Mohd Sayuti Omar

Dua sosok pemimpin muda yang mengisi slog Di Bidai Mata Ku  kali ini adalah Khairy Jamaluddin dan Mohd Rafizi Ramli.

Kedua-dua pemuda ini saya lihat mempunyai bakat dan memiliki keistimewaan tersendiri untuk muncul sebagai pemimpin Malaysia di masa depan sekiranya mereka istiqamah dengan perjuangan siasah masing-masing.

Kedua-dua berusia hampir sebaya, Rafizi lebih tua setahun berbanding Khairy, berusia 43 tahun manakala Khairy 42 tahun. Usia sebegini kalau mengikut sunnah Nabi Muhamad sudah matang kerana pada takah usia sebeginilah Muhammad diangkat dan dipilih menjadi khalifah dan Rasul.

Kedua mereka ini mempunya latar belakang pendidikan Barat (sekular). Pembawaan mereka dalam bersiasah dan mengeluarkan pendapat berbeza dengan rakan sebanya mereka khasnya yang berpendidikan di Timur Tengah atau dalam negara. Sesuai dengan ilmu moden dimiliki mereka,
mereka dilihat lebih praktikal, berani, sistemetik berbanding dengan rakan mereka yang berpendidikan di Timur Tengah yang lebih kepada berteori dengan berpandukan kepada sejarah silam.

Sistem pendidikan yang mereka lalui juga menjarak dan membezakan mereka dengan kelompok itu yang berterusan bertelagah dalam soal remeh temeh.

Ini dapat dilihat apabila mereka berbahas di parlimen selaku ahli parlimen; idea, pandangan, hujah atau pun solusi yang mereka berikan jelas dan sesuatu yang praktikal.

 Mereka juga masing-masing menunjukkan sikap agresif. Di pentas mereka tidak sepenuhnya beretorik tetapi bersikap realis.

Keduanya sudah beristeri, mempunyai anak dan mengamalkan monogami?

Dari segi sikap dan jiwa, Khairy lebih berjiwa melankolik berbanding dengan Rafizi. Ini dapat dilihat kepada penampilannya, sekali berjabang dan menunjukkan wajah serious, frustasi.

Pencapaian keduanya dalam politik cukup memberangsangkan dan mereka menyerlahkan cita-cita besar untuk jadi pemimpin. Khairy kini adalah ahli Parlimen Rembau, dan menjadi menteri, manakala Rafizi penganggur setelah tidak dibenarkan bertanding. dalam Piraum 14. Sebelumnya adalah ahli Parlimen Pandan.

Dari segi keberanian Rafizi lebih berani berbanding dengan Khairy, keberaniannya mendedahkan penyelewengan pemimpin menyebabkan beliau naik turun mahkamah dan hampir diringkukkan dalam penjara. Khairy tidak merasai apa dilamai Rafizi ini.

Bagaimana pun Khairy seorang tidak mudah dicocok hidung. Keberaniannya menentang Zahid Hamidi bagi merebut jawatan presiden menjelaskan sikap dan komitmen beliau serta menjelaskan yang beliau ada wawasan tersendiri dalam kepimpinan politik.

Pencapaian politik mereka sudah berkedudukan namun belum menyentuh kelambu klimeks. Rafizi pernah jadi Setiausaha Agung parti dan juga (kini) Naib Presiden. Pernah mencuba untuk melonjak jadi timbalan presiden tetapi kalah dalam pertewasan.

Khairy pernah jadi Ketua Pemuda, dan mencuba untuk jadi presiden parti tetapi tewas. Percubaan dan sejarah mereka itu menunjukkan mereka ambisius untuk jadi pemimpin.

Saya tidak mahu menyentuh skop lebih luas mengenai mereka, misalnya pergaulan dan rangkaian mereka dengan dunia luar, cuma ingin menyorot apa yang berbekas di birai mata saya mengenai kedua mereka. Saya lebih memerhati kepada karektor mereka berbanding pencapaian akademik serta aktiviti dan kerjayaan yang lain mereka.

Keraktor mereka bagi saya keduanya agak gasan dan sombong. Bagi saya mereka egois. Ini mungkin berlaku kerana latar belakang pendidikan mereka. Mereka kurang lemah lembut dalam berpolitik, yang saya sifatkan tidak begitu "berdiplomasi", menyebabkan mereka dilihat sebagai ego.

Ini tidak hairan kenapa berlaku demikian kerana mereka banyak terdedah dengan dunia luar yang berbeza dengan tradisi dan budaya bangsa. Pengaruhi dan suasana luar mengepung diri mereka.

 Mereka terlihat demikian kerana mereka sebelum ini banyak mengamalkan pelbagai teori formula dalam pendidikan dan jarang membaca pantun, syair dan pujangga bangsa. Mereka banyak berjalan dan melilau di kelab hiburan bukannya meninjau pantai merasai tepukan angin spoi-spoi bahasa.

Justeru karektor dan keperibadian mereka demikian tidak mudah untuk diterima oleh masyarakat negara ini khasnya orang Melayu. Mereka yang sudah terbius dengan politik Islam kononnya seseorang itu harus fasih dan fakeh mengenai agama, tidak gampang menerima mereka, melainkan mereka dapat mewaraskan semula politik negara ini, baharulah kehadiran mereka dirasakan penting.

Secara peribadi saya mahu melihat suatu hari nanti kedua mereka dapat menyatukan idea dan perjuangan untuk bangsa dan negara. Kita tidak mahu kerana sadisme politik jahiliah yang diamalkan selama ini, kita akan kehilangan salah seorang daripada mereka, atau kedua-duanya sekali. Sebelum ini negara sudah banyak kehilangan tokoh-tokoh kepimpinan yang menunjukkan kemampuan serta berbakat, tetapi hilang satu demi satu kerana amalan politik Jahiliah

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.