https://critoxium.com/shop/

Terkini

PN bebas amalkan rasuah, kronisme sebab takda janji dalam manifesto?

Isu tender terbuka dan ketelusan ini tidak sepatutnya terikat kepada PH yang janjikan dalam manifesto saja, ia adalah prinsip asas dalam good governance yang seharusnya terpakai untuk setiap kerajaan yang memerintah.

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika berucap di Parlimen mendakwa bahawa 101 projek bernilai RM6.61 bilion telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan melalui rundingan langsung di bawah pemerintahan bekas Pakatan Harapan.

Amalan tender terbuka dan prinsip transparen ini bagi mengelak atau neminimumkan salahguna kuasa dan korupsi yang sudah membengkak dan membarah dengan teruk dalam pemerintahan 60 tahun BN-Perikatan.

Rasuah dan kuasa bagai kembar siam yang tidak dapat dipisahkan. Tanpa kawalan dan disiplin tinggi, baik melalui penguatkuasaan undang-undang yang tegas dan integriti mantap, golongan berkuasa mudah terjebak dalam kancah rasuah ini.

Biarpun kerajaan bertukar pada 10 Mei 2018, masih banyak konsesi atau kontrak bernilai tinggi untuk tempoh jangka panjang sudah dimeterai lama dulu secara rundingan terus dan terpaksa diteruskan saja walaupun selepas kerajaan bertukar.

Masa BN, terlalu banyak projek berkos tinggi, seperti berkaitan pembinaan-penyelenggaraan jalan raya dan hospital dianugerahkan secara rundingan terus kepada syarikat kroni dan suku- sakat. Ia ibarat skim cepat kaya. Kos projek automatik mencanak tinggi. Persen tertentu daripada kos itu bertukar tangan di bawah meja!
Saya akui PH juga ada kesilapan dan kesalahan semasa 22 bulan mentadbir, namun ia mempunyai tekad politik yang cukup tinggi serta rekod kerja yang membanggakan untuk membawa pembaharuan dan reformasi, terutama dalam aspek good governance dan antirasuah.
Di bawah PH, seperti penegasan Lim Guan Eng, terdapat pengecualian tender terbuka dibenarkan oleh Kementerian Kewangan berpandukan garis panduan kerajaan.

Antaranya, kata Lim, seperti perolehan masa krisis atau bencana alam, perolehan berkepentingan nasional dan melibatkan keselamatan negara (tentera dan polis) dan kepakaran khusus (one of a kind).

Terlalu jauh, umpama langit dengan bumi, untuk dibandingkan PH dengan prestasi buruk- huduh regim BN-Perikatan, khususnya di zaman Najib Razak yang terkenal di seluruh planet bumi ini dengan skandal mega 1MDB dan rangkaian jenayah rasuah lainnya lagi.

Sepatutnya YB Baling, YB Tanjong Karang, YB Pasir Salak, YB Arau dan rakan- rakan sejamaah dengannya tahu diri dengan prestasi busuk BN selama ini, dan berhentilah mempamerkan aksi memualkan di Dewan Rakyat.

Sepatutnya isu good governance, antirasuah, elak pembaziran, ketelusan, rule of law dan seumpamanya tidak dijadikan senjata politik untuk merendahkan saingan semata-mata. Setiap parti politik atau pemerintah harus komited dengan prinsip-prinsip mulia good governance.

Malah, rakyat (pengundi) mesti memberi penekanan penting terhadap aspek ini sebelum menyokong mana-mana parti atau calon yang bertanding pilihan raya.
Tidak semestinya apabila sesuatu parti atau gabungan parti tidak menjanjikannya dalam manifesto, maka ia boleh terlepas daripada terikat dengan prinsip mulia itu sekiranya menang.
Isu antirasuah, tender terbuka, media bebas dan seumpamanya, bukan terbatas kepada PH sahaja, hanya kerana gabungan parti itu menjanjikannya dalam PRU14, ia sepatutnya nengikat semua pentadbiran kerajaan, termasuk kerajaan yang dibentuk secara pintu belakang, tanpa mandat rakyat.

Namun hati kecil saya berbisik, mungkin hajat umum untuk melihat senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion itu didedahkan mungkin tidak kesampaian kerana impak politik isu tender terbuka ini cukup serius dan boleh menggugat kerajaan.

Mulanya ada pandangan menjangkakan ia sengaja dihebohkan untuk menenggelamkan isu menteri tidak kuarantin kendiri, “musang berjanggut” dan “antara dua darjat”, tetapi dampaknya seperti lebih menghakis sokongan kepada kerajaan.

Dari FB AHMAD LUTFI OTHMAN

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.