https://critoxium.com/shop/

Terkini

Anwar kesal Putrajaya abai isu lanjutan moratorium pinjaman bersasar


PETALING JAYA: Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini menyatakan kekesalannya terhadap tindakan Putrajaya yang bertegas untuk tidak melanjutkan moratorium pinjaman selama 3 bulan seperti yang digesa sebelum ini.

Anwar berkata, moratorium diberikan itu tidak semestinya moratorium penuh namun baginya, ia adalah suatu pengabaian tanggungjawab serius apabila kerajaan gagal mengenakan moratorium bersasar.

“Kepimpinan yang ada pada hari ini juga lemah tatkala meletakkan para peminjam di bawah telunjuk institusi bank,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bank Negara Malaysia (BNM) pada 25 Mac lalu mengumumkan pelaksanaan moratorium bagi semua pembayaran semula pinjaman, termasuk gadai janji dan sewa beli oleh individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi tempoh 6 bulan, bermula 1 April 2020.

Penangguhan pembayaran balik pinjaman itu adalah langkah tambahan dilaksanakan BNM untuk mengurangkan beban perniagaan dan isi rumah yang terkesan dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19.

Anwar berkata, walaupun laporan bank menyatakan sebanyak 98% atau 380,000 peminjam sudah diberikan dukungan kewangan institusi bank, namun ia seharusnya mengambil kira 8.3 juta peminjam di seluruh negara.

“Secara ringkasnya, bank-bank hanya dapat berhubung dengan 17% dari jumlah keseluruhan peminjam. Angka ini tidak begitu meyakinkan, dan ia mencerminkan betapa kerajaan dan bank masih belum memahami sentimen keseluruhan peminjam,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut menggesa Putrajaya segera mengkaji semula langkah itu selain melaksanakan moratorium pinjaman secara bersasar.

Katanya, fokus utama perlu diberi kepada peminjam yang berpendapatan rendah dan pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana.

“Kita belum nampak sebarang dampak pemulihan yang berkesan, terutamanya aspek sumber pendapatan golongan berpendapatan rendah atau aliran masuk yang stabil kepada pengusaha-pengusaha kecil di Malaysia,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.