Masa semakin suntuk untuk PH bangkit dari kelesuan
Oleh MOHD ARIF JUHANI
Pusinglah dengan 1001 alasan apa sekalipun, hakikatnya Warisan Plus telah tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 yang berlangsung pada 26 September lalu.
Sesetengah pihak cuba menyedapkan hati dengan menyenaraikan bilangan kerusi yang diperoleh Warisan Plus yang mana lebih tinggi berbanding musuh politiknya seperti Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Tiada guna juga sesetengah pihak berkongsi angka statistik undi popular yang menunjukkan Warisan Plus lebih tinggi berbanding Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Semuanya telah ditakdirkan bahawa Warisan Plus tewas dalam usaha menyekat rampasan kuasa di peringkat negeri daripada berlaku di Sabah.
Memang banyak alasan boleh dikemukakan punca kekalahan. Paling tidak, ada yang menggunakan dalih bahawa peratusan turun mengundi yang rendah kerana pengundi luar tidak pulang ke kampung untuk mengundi.
Ada yang menjadikan peningkatan penularan pandemik Covid-19 juga sebagai alasan. Semuanya memang masuk akal tetapi dalam politik, penentu pada akhirnya adalah berapa majoriti yang diperoleh.
Kini, sukar dinafikan bahawa apa yang dihadapi Warisan Plus di Sabah kini mula mengundang kebimbangan dalam kalangan Pakatan Harapan (PH).
Sebelum PRN berlangsung, dalam kalangan PH menganggap Sabah adalah penentu penting kepada kelangsungan nyawa politik mereka di Semenanjung.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim antara yang menyebut bahawa hasil keputusan PRN itu nanti akan membawa simbolik kehendak rakyat sama ada cenderung kepada PN atau PH sebagai kerajaan.
Beliau menambah bahawa keputusan PRN itu juga akan menjadi penentu kepada pembubaran Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Bahasa mudahnya, jika Warisan Plus menang, maka pembubaran Parlimen tidak akan dibuat dalam tempoh terdekat.
Hal ini turut diakui oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ketika berada di Sabah. Katanya, “PRN Sabah ini adalah penentu masa depan di Sabah. Di peringkat nasional kita belum putuskan bila hendak mengadakan PRU. Kalau di Sabah kita sudah menang, kita cepat-cepatlah mengadakan PRU di peringkat pusat.”
Walaupun jika ditinjau kebanyakan pendapat, tidak banyak yang optimis Parlimen akan dibubarkan segera selepas GRS menang.
Benar, PN sekarang berada dalam situasi yang selesa. Tambahan pula Pengerusi PN Sabah, Hajiji Noor dari Bersatu mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah ke-16, tetapi apa yang diperoleh itu tidak memberikan keyakinan kepada Muhyiddin membubarkan Parlimen.
Benar juga bahawa PN dan BN dalam situasi tegang berdasarkan beberapa laporan media yang menunjukkan pendirian tidak sebulu antara kalangan pemimpin blok parti pemerintah itu.
Tetapi seperti disaksikan oleh banyak pihak, mereka masih mampu membentuk kerajaan negeri di Sabah walaupun bermula tempang dengan insiden pertindihan kerusi dan kenyataan tidak sepakat tentang siapa calon Ketua Menteri Sabah.
Situasi ini jauh berbeza dengan Warisan Plus yang teguh di belakang kepimpinan Shafie Apdal. Pertarungan di media sosial juga menunjukkan Warisan Plus jauh ke hadapan berbanding lawan politiknya.
Justeru, walaupun seteru politik PH itu berada dalam suasana pergolakan dalaman tetapi apa yang pasti kedudukan mereka masih kukuh dan mendapat kepercayaan pengundi untuk membentuk kerajaan negeri.
Soalan yang perlu ditanya kepada PH pula, apakah harapan masih ada untuk PH kembali merampas mandat yang telah dicuri pada Februari lalu?
Masih segar untuk diingatkan apa yang telah dibangkitkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tatkala kempen PRN masih berlangsung.
Tidak semena-mena beliau membangkitkan soal Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri jika Anwar Ibrahim gagal memperoleh sokongan ahli Parlimen yang lain untuk merampas semula mandat rakyat.
Sukar dipastikan di mana letaknya keperluan hal demikian dibangkitkan. Boleh jadi itu adalah bahan kempen dengan harapan pengundi di Sabah akan terpukau dan tertarik lalu diterjemahkan dalam bentuk undi kepada Warisan Plus.
Jika berlaku sebaliknya iaitu Warisan Plus berjaya mengekalkan mandat yang lebih besar dan kukuh di Sabah, maka bersemangatlah harapan para pimpinan PH pula untuk membawa momentum tersebut ke Semenanjung dalam misi untuk merampas mandat yang dicuri.
Malangnya, Warisan Plus tetap tewas manakala hubungan sesama komponen Pakatan Harapan pula kekal dingin dan tidak menentu hala tujunya.
Tidak lama selepas tewas, Tun Mahathir Mohamad pula masih kembali menegaskan pencalonan Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri. Dalam suasana dingin kini, kenyataan ini tidak ubah seperti mencurah garam ke atas luka.
Maka dalam situasi sekarang, mengaku sahajalah bahawa PH semakin lesu mencari formula terbaik walaupun Anwar Ibrahim mendakwa dalam satu sidang media (juga semasa kempen PRN Sabah berlangsung) bahawa beliau telah memperoleh sokongan besar bagi menjatuhkan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin.
Walaupun AMANAH dan DAP menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Anwar sebagai bakal Perdana Menteri tetapi boleh diperhatikan bahawa kenyataan Anwar tidak menimbulkan keterujaan. Besar kemungkinan mereka bimbang kegagalan 16 September 2008 akan berulang.
Mesyuarat Bulanan Majlis Presiden PH yang berlangsung pada 28 September lalu juga tidak menunjukkan sebarang hasil keputusan yang meyakinkan rakyat, malah kebanyakan pimpinan enggan memberi sebarang ulasan ketika disoal media.
Rakyat sedang memperhatikan kelesuan dan ketidaktentuan hala tuju PH ketika ini. Tatkala PN dan BN masih bergembira mengagihkan hasil ghanimah sesama sendiri, mengukuhkan jentera dan sokongan akar umbi.
PH perlu segera mengambil keputusan dan tindakan. AMANAH yang menganggap dirinya sebagai jurudamai dalam PH perlu segera berperanan menguruskan krisis ketidakpercayaan antara Anwar dan Mahathir.
Sama ada kembali ke meja muafakat dan mengembalikan semangat para
petugas PH atau terus bernostalgia tentang kerajaan 22 bulan dahulu,
masa sudah semakin suntuk kepada PH menghadapi PRU15.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.